August 9, 2013

Konsep Iqra`, Aayaat & Kalimat

BBB, 01 Syawal 1434 = 08 Ogos 2013 (Khamis):


Telah disentuh bahawa muzium adalah persis sebuah perpustakaan. Kedua-duanya berfungsi bagi menyampaikan maklumat. Perpustakaan menyediakan maklumat melalui perantaraan buku-buku, ditambah dengan peralatan komunikasi moden melalui internet dan letronik. Tetapi muzium menyediakan maklumat dengan bahan-bahan primer yang biasanya bersifat benda yang dapat dilihat atau dicapai melalui perantaraan indera-indera yang lain. Juga bersifat non-benda seperti secara konsepsi.

Kedua-duanya dapat dicapai maklumat melalui semangat `Iqra` (al-`Alaq: 1) yang membuka pintu kepada ilmu pengetahuan. Membaca maksudnya mengenal dan menguasai huruf-huruf dalam penulisan bagi sesuatu bahasa dan dapat membaca tulisan dan buku-buku di dalam bahasa berkenaan. Mengetahui abjad di dalam bahasa Melayu, jawi atau rumi, maka dapat dipelajari tulisan dan pembacaan buku-buku dalam bahasa Melayu. Demikianlah tulisan dan bahasa-bahasa yang lain. Budaya membaca sedemikian masih lagi menjadi kaedah mantap bagi menguasai ilmu pengetahuan, ditambah dengan pendekatan-pendekatan moden. Menyedari kepentingan membaca diwujudkan perpustakaan di pekan dan bandar bagi menyediakan peluang kepada pelajar-pelajar mendapat ilmu dari sumber buku secara membaca di perpustakaan atau – secara pinjaman. Mewujudkan perpustakaan bagi sesebuah universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi, bahkan bagi sebuah sekolah sebagai suatu kemestian.

Tradisi membaca adalah mekanisme pertama bagi mendapat ilmu pengetahuan. Penghasilan buku-buku terus dilakukan bagi memenuhi pembacaan masyarakat.
Muzium pada dasarnya sama fungsinya dengan perpustakaan dengan menyediakan bahan-bahan primer untuk dibaca.  Cuma kaedah pembacaan adalah berlaian dari perpustakaan. Bahan-bahan sendiri pada hakikatnya sebagai huruf universal yang boleh diistilahkan sebagai tanda, lambang atau isyarat. Bagi maksud ini,

Di dalam al-Qur`an disebut sebagai `Aayaat.

Contoh beberapa ayat Qur`an bermaksud:
  1. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pertukaran malam dan siang nescaya menjadi `aayaat` bagi yang mempunyai fikiran ( Ali Imran: 190).
  2. Kami akan memperlihatkan kepada mereka `aayaat` kekuasaan kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri (Fussilat: 53)
  3. Demikianlah Allah menerangkan `aayaat`Nya kepada manusia, semoga mereka bertaqwa (al-Baqarah: 187).
  4. Dan di antara  aayaat Nya yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah, setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi (al-Rum: 20)
  5. Dan di antara `aayaat` yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya bahawa Ia menciptkan untukamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya. Dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang berfikir (al-Rum: 21).

Dapatlah difahamkan bahawa segala kejadian dan ciptaan Allah di dalam kewujudan ini adalah merupakan `aayaat` atau tanda-tanda yang dapat dibaca dan difahami. Pembacaan adalah melalui minda, akal, persepsi, tanggapan, intuisi rasa dan sebagainya yang sebenarnya telah disediakan Allah di dalam diri manusia sendiri. Sebagai contoh pembacaan secara universal yang dapat dibaca, apabila hari redup, awan dilangit menghitam dan guruh berdentum dapat dibaca bahawa ia adalah pertanda hari hendak hujan. Air yang dimasak yang panasnya melebihi 90 darjah F.H. membuat air akan mendidih. Tangisan seorang anak kecil menandakan ia lapar atau sakit.

Dalam kata lain pembacaaan buku di dalam perpustakaan adalah secara langsung melalui huruf yang dilambangkan di dalam tulisan, tetapi pembacaan bahan-bahan primer yang dipamirkan di dalam muzium melalui benda-benda atau artifek-artifek yang dihasilkan. Misalnya sebuah mangkuk seramik yang pecah yang ditemui melalui usaha carigali secara arkiologi dari zaman dinasti tertentu Maharaja Cina menentukan tarikh dan kelamaan artifek berkenaan. Peralatan batu yang diguna oleh masyarakat purba di dalam sesebuah gua mencerminkan zaman peralatan tersebut dihasilkan – Neolitik atau mesolitik dan sebagainya. Demikian penemuan kepingan shilling hasil penggalian dapat ditentu tarikhnya daripada gambar raja atau ungkapan pada permukaan shilling, jika tarikh tidak kedapatan. Demikian kaedah pembacaan melalui aayaat.

Pembacaan secara aayaat sebenarnya lebih luas dan lebih universal sifatnya. Kaedah-kaedahnya lebih mendalam bagi pakar-pakar di dalam bidang-bidang kelilmuan masing-masing. Misalnya sesebuah rangka mayat manusia purba yang dietemui melalui carigali dapat ditentukan takrikhnya misalnya berumur sepuluh ribu tahun dahulu melalui carbon dan ujian-ujian ilmiah yang lain. Penemuan kulit-kulit kerang dan hidupan laut di bawah permukaan tanah di bahagian darat menandakan kawasan itu adalah pernah menjadi kawasan pantai sebelum dilitupi tanah setelah berlaku proses penambahan tanah.

Aaayaat dengan makna yang lebih dekat, juga diisyaratkan oleh al-Qur`an sebagai `kalimat`. Dalam kata lain dari himpunan`kalimat` di dalam bahasa biasa  menjadi aayaat. Boleh ditafsirkan bahawa, satu ciptaan Allah sebagai satu kalimat yang daripada berbagai kejadian adalah menjadi sebagai `aayaat` Allah. Ayat al-Qur`an (maksud) di bawah mengisyaratkan kepada maksud tersebut dan lebih luas daripada itu:

`Katakanlah (wahai Muhammad), kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis `Kalimah-Kalimah` Tuhanku, sudah tentu  akan habis kering lautan itu sebelum habis `Kalimah-Kalimah` Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.`` (Al-Kahfi: 109).

Dapatlah difahamkan bahawa `Kalimat` dan `Ayat-Ayat` Allah amat banyak sebanyak kewujudan dicipta Allah. Ianya sudah tentu lebih banyak daripada yang ditulis manusia di dalam buku. Dalam erti kata yang lain bahan-bahan muzium yang banyak itu begitu banyak untuk dibaca. Pembacaan memerlukan ketajamaan minda, akal. hati-nurani, jiwa, persepsi, intuisi dan sebagainya.

Namun baik pembacaan melalui tulisan atau melalui `aayaat` dan `Kalimat` melengkapi maklumat dan keilmuan kurniaan Tuhan. Menaggapi maksud di atas, Penulis pernah terilham dan merakamkan tanggapan di dalam sebuah puisi berikut:

Hikmat Tuhan

Alam
Padamu lambang-lambang universal
Mengatasi huruf-huruf
Dibaca akal.

Betapa tepunya pengertian
Tiada kata sempurna terucapkan
Jika laut tinta
Pohon-pohon penanya
Dada langit kertasnya
Kering tinta
Tumpul pena
Habis kertasnya
Tiada terakam
Hikmat Tuhan.

(Shafie Abu Bakar, Wajah Diri, DBP, Kuala Lumpur, 1995: Kulit luar – belakang).

Sekian.

No comments:

Post a Comment