August 3, 2013

Takmilah Permuziuman: Pembinaan Teori

-->
BBB, 24 Ramadhan 1434 = 02 Ogos 2013 (Jumaat):

Membina `Teori Permuziuman` berjenama `Takmilah Permuziuman` adalah sesuatu yang mencabar, menuntut keupayaan intelektual dalam membina teori yang memenuhi kriteria keilmiahan dan aplikasi mencakup ruanglingkup permuziuman dan apresiasi khalayak.

Apakah fungsi teori ?
Bagi memahami fungsi teori ada baiknya kita memahami, apa itu teori.
Teori antaranya adalah,``Prinsip-prinsip am atau asas-asas kasar yang menjadi dasar pembentukan (perkembangan) sesuatu pengetahuan.`` (Kamus Dewan, 2005: 1659).
Pendapat lain ialah, ``Supposition or system of ideas explaining something esp. one based on general principles independent of the facts, phenomena, etc. (The Concise Oxford Dictionary, 1989: 1109). Dan pendapat,``Body of scientific principles, opinion based on limited information or knowledge, main principles explanation of rules of a subject.`` (Kamus Inggeris-Melayu Dewan, 1992: 1712).

Jadi teori adalah peta rangka idea menyeluruh yang mengawal dan mencakupi di bawahnya aspek-aspek yang menjadi kandungan sesuatu teori. Teori menyatukan pandangan oleh prinsip, struktur, nilai dan aliran yang menciri dan mengidentiti teori berkenaan sekaligus membezakannya dari yang lain. Dengan teori memperkembangkan bidang yang dibicarakan  sebagai epistemology keilmuan berkenaan. Sebagai contoh bagi bidang sastera timbul banyak teori seperti strukturalisme, dekonstruksi, intertekstualiti, semiotic, resepsi, psikoanalisis dan sebagainya. Teori dijenamakan antaranya dengan melihat kepada kandungan teks, ada yang didasarkan kepada penerima dan ada pula dilihat pada kesan psikologi.
(Mana Sikana, Teori Sastera Dan Budaya Dalam Kajian Akademik, Jabatan Persuratan Melayu, UKM, 1997: 151-152).
 Bagi Takmilah permuziuman boleh dilihat kepada hakikat kejadian (termasuk bahan permuziuman) dalam hubungan dengan Pencipta, atau dilihat pada minda dan jiwa manusia yang relatifnya suka kepada sesuatu yang unik, unggul, berestetik, purba dan nadir yang sekaligus ingin memiliki dan mengabadikannya, bukan sekadar menyukai dan menyimpannya, tetapi dihayati, dikaji, dipelajari, bahkan menjadi bahan pendidikan, keilmuan dan respond kemasyarakatan.

Kesedaran tentang muzium dalam maksud mengapresiasi tentang bahan dan mengabadikannya adalah sesuatu yang bersifat naluri semula jadi dan universal. Seorang yang suka kepada alat senjata tradisional misalnya cuba menghimpun keris, pedang, tombak dan lembing menyimpan dan mempamerkannya sebagai bahan hiasan. Ia merupakan kesedaran  tentang muzium. Seorang yang lain berminat tentang alat-alat tangkapan ikan dan buruan, maka disimpan dalam ruang rumahnya sebagai koleksinya alat-alat seperti bubu, tuwau, serkap, jala, jerat, perangkap, jerangkap dan sebagainya. Begitulah ada yang tertarik kepada berbagai-bagai jenis kain tenunan dan sulaman sebagai koleksi simpanannya. Sebab itu bila berbicara asal usul kesedaran muzium adalah tidak adil hanya dikatakan bermula dari Yunani semata-mata tentang sejarah permulaan muzium lantaran kerana istilah  muzium diambil dan berasal dari `Mousaion` - istilah Yunani Purba yang bermaksud pusat penyimpanan bahan sejarah dan seni yang juga sebagai gedung ilmu.``
Zaman Yunani purba sebenarnya dalam lingkungan 1,000 tahun Sebelum Masihi, tetapi di sana ada kesedaran lebih awal tentang kepentingan muzium. Zaman kerajaan Babylion 10,000 S.M. lebih awal menyedari tanda muzium dengan pengekalan Taman Tergantung yang unik dan mengarkifkan naskhah undang-undangnya. Demikian kerajaan Mesir kuno lebih 5,000 tahun S.M. menyimpan dan mengekalkan tulisan bergambar pada tiang bangunan dan juga penulisan pada papyrusnya.
Pentingnya sejarah dan pengekalan maklumat tentang pengislaman masyarakat di Hulu Terengganu mendorong didirikan Batu Bersurat di Kampung Buluh di Hulu Terengganu yang Batu Bersurat tersebut bertarikh 4 Rajab 702H. = 22 Februari 1303. (Syed Muhammad Naguib al-Attas, The Correct Date of The Terengganu Inscription, Muzium Negara, Kuala Lumpur, 1970: 23).
Bagi mengekalkan Undang-Undang Adat yang belum ada tradisi tulisan, maka pimpinan adat di Negeri Sembilan menyimpan dan mengekalkannya di dalam pepatah, petitih dan teromba. Yang terkenal dengan Adat Perpatih yang berperaturan yang dilembagakan, contoh:

Adat bersendi Hukum
Hukum bersendi Kitabullah
Syariat mengata adat memakai
Adat sandar menyandar
Ibarat aur dengan tebing

(Mohd Rosli Saludin, Teromba, Karisma Publications Sdn. Bhd., Shah Alam, 2010: 144).

Banyak takrif yang boleh diberi tentang muzium, antaranya,
``Muzium adalah sebagai pusat penyimpanan barang-barang purba.``
Pendapat yang lain bahawa muzium sebagai,
``Pusat penyelidikan, pengumpulan, pemeliharaan, pendidikan dan penyebaran maklumat.`` dan menurut Douglas Allan Bekas Pengarah Royal Scottish Museum Edinburgh,
``…A Museum in it`s simples form consists of a building to house collection of objects for inspection, study and enjoyment…``
Ahmad Kamal Mohamad & Mohd. Zainudin Haji Abdullah, Sejarah Dan Perkembangan Muzium Selangor Sehingga Terbinanya  Muzium Sultan Alam Shah (1887-2002), Seri Alam, Jurnal Lembaga Muzium Selangor, Bil. 7, 2002/03, hlm. 127 -128).

Namun konsep muzium, walaupun dari segi tradisi biasanya disimpan bahan-bahan di dalam bangunan, tetapi bahan-bahan permuziuman tidak semestinya bahan-bahan yang boleh dipindah, tetapi boleh berada pada tempat asalnya secara `life` dan tidak semestinya dalam bangunan, contoh `Lombong Kapal Korek` bagi kawasan bijih timah. Bahan muzium juga boleh bersifat konsepsi seperti matematik, ada yang bersifat lisan dan estetik seperti `pantun`. Permuziuman melibatkan bahan benda dan non-benda yang dipulihara, dikekalkan dan diwarisi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment