August 28, 2013

Sastera Sebagai Penyimpan Maklumat Memikat - Puisi

-->
BBB, 20 Syawal 1434 = 27 Ogos 2013 (Selasa):

Mengungkapkan bahasa adalah meluahkan pendapat atau pertanyaan secara teratur yang datangnya dari yang berfikir (manusia rasional di dalam ilmu mantiq dipanggil sebagai haiwan natiq - bercakap), kerana ada pada manusia akal (minda). Tetapi apa yang lahir di dalam pengungkapan bukan sahaja bersifat minda, tetapi juga elemen rasa, hati dan jiwa. Lantaran aspek-aspek ini menjadi sebahagian dari diri manusia. Manusia memang berfikir, selain dari bercakap mereka berfikir bagi menyelesaikan masalah, manjalankan urusan dan berbagai perancangan yang antaranya diluahkan melalui percakapan, penulisan atau rakaman. Selain dari itu manusia juga mengalamai berbagai-bagai situasi di dalam kehidupannya. Pada ketika-ketika dia serius, pada waktu yang lain dia riang, ada ketika dia duka, marah, santai, tenang dan tawaduk. Elemen-elemen dan mood seperti ini boleh mempengaruhi percakapan, penulisan dan rakaman seseorang di dalam bahasa biasa. Tetapi di dalam diri manusia ada aspek kemampuan seni dan kreativiti yang dipengaruhi perasaan dan hati nurani, di samping akli. Bagi yang berjiwa kreatif, dia melahirkan ungkapan-ungkapan yang mempunyai elemen-elemen seni yang pada peringkat permulaan bersifat asas dan bersahaja, tetapi ianya boleh berkembang kepada bidang yang khusus, menarik dan memikat baik di dalam ungkapan yang bersifat puisi, maupun yang bersifat prosa. Menggambarkan ungkapan-ungkapan sedemikian S. Takdir Alisjahbana mengatakan pada peringkat permulaan:

``Kita berhadapan dengan puisi dan prosa rakyat yang tidak tertulis dan tidak pula diketahui siapa yang menciptakannya. Sebahagian yang besar daripadanya mempunyai peranan dalam kehidupan masyarakat dan diucapkan pada kejadian-kejadian yang penting dalam kehidupan rakyat seperti waktu upacara perkahwinan, waktu mendirikan rumah, waktu menuai padi. Sebahagian berupa ratap tangis waktu orang meninggal, mantera-mantera untuk bermacam kejadian seperti berjalan di hutan, menyeberangi sungai, untuk menangkap buaya dan sebagainya.
(S.Takdir Alisjahbana, Kesusasteraan Indonesia Sebagai Cermin Pembebasan, Dewan Bahasa, Disember 1962: 534).

Apa yang terlahir pada masyarakat tradisi di atas adalah mencerminkan tahap budaya masyarakat tersebut yang sekaligus menyimpan khazanah budaya berkenaan. Kata Asmah Haji Omar:

``Bahawa bahasa mencerminkan kebudayaan penuturnya, yakni cara hidup mereka dan juga sekitaran fizikal dan sosial mereka. Fungsi bahasa yang seperti itu dipikul oleh perbendaharaan katanya.`` Tambah Asmah,

``Kemampuan manusia melakukan persepsi terhadap alam nyata di samping itu menimbulkan apa yang dipersepsikan dalam konsep-konsep yang diwujudkan oleh bahasa merupakan pandangan atau penglihatannya terhadap dunianya (worldview, weltanschauung).``
(Asmah Haji Omar, Prof. Dr., Bahasa Dan Alam Pemikiran Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1986: 2-4).

Bahasa puisi mempunyai perbezaan dari bahasa prosa. Ianya diungkapkan bukan secara langsung, tetapi berlapik, berimej, berlambang dan berhias dengan bunga-bunga bahasa. Perutusan bersifat berselindung yang perlu diperhati, diamati dan digali maksudnya. Kadang-kadang maksud berlapis dan memerlukan huraian dan tafsiran. Ini mencerminkan kehalusan rasa, seni bahasa, sastera dan budaya masyarakatnya. Ada berbagai-bagai bentuk puisi yang yang berkembang di dalam taman budaya bangsa. Ini mencerminkan kreativiti dan inovasi masyarakat yang melahirkannya.

a)      Puisi Bebas

Dilihat kepada pengungkapan puisi, dia berkembang dari puisi bebas yang dikategorikan sebagai sastera rakyat. Umpamanya dapat dilihat dari jampi pelindung bagi ibu yang melahirkan anak yang mencerminkan kepercayaan masyarakat tradisional dan pandangan alam – di sini bidan mengungkapkan:

Janganlah engkau mungkir setia padaku
Janganlah kau bawa bencana pada anak cucuku
Matilah engkau ditimpa daulat empat penjuru alam
Mati ditimpa malaikat empat puluh empat
Mati disula besi kawi
Mati dipanah halilintar
Mati disambar kilat senja
Mati ditimpa al-Qur`an tiga puluh juzuk
Mati ditimpa kalimah Allah.
(Zalila Sharif & Jamilah Haji Ahmad, Kesusasteraan Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993: 132).

b)      Teromba

Dalam teromba yang merupakan puisi bebas dapat dilihat tentang sistem masyarakat Beradat Perpatih di negeri Sembilan. Adat bagi mereka adalah aturan yang dingat yang merupakan budaya lisan diwarisi dari mulut ke mulut dan dipatuhi;

Sepanjang tutur nan yang didengar
Waris nan dijawat
Pusaka nan ditolong
Sepatah berpantang hilang
Sebaris berpantang lupa
Adat itu tersirat
Bukan tersurat.

Bagi pendukung Adat Perpatih, mereka menganggap adat yang diwarisi adalah aset yang amat berharga. Bagi mereka ajaran Adat Perpatih itu diamalkan dahulu, kini, esok dan sampai bila-bila sebagaimana ungkapan adat berikut:

Elok-elok jalan ke gua
Naik batang turun batang
Berjalan mari di hari petang
Adat Perpatih jadi petua
Ibarat bulan di pagar bintang
Kok tidak, bak aur dielak songsang.

(Mohd Rosli Saludin, Teromba Sebagai Wahana Komunikasi Adat Melayu Tradisional, Karisma Publications Sdn. Bhd., Shah Alam, 2010: 169).

Jadi Teromba sebagai Kitab Hidup di dalam ingatan dan diulang-ulang sebagai ingatan sebelum ianya diperturunkan pada zaman tulisan.

c) Pantun

Genre puisi tradisional yang paling penting dan paling asli sebagai puisi Melayu ialah pantun. Pantun boleh membawa berbagai tema dan bentuk seperti pantun sekerat, dua kerat dan lebih dan pantun berkait. Ciri pantun mempunyai pembayang dan maksud, tiap baris mempunyai antara 09 -12 suku kata, contoh:

Puas sudah kutanam padi
Nenas juga ditanam orang
Puas sudah kutanam budi
Emas juga dipandang orang

(Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989; 133)

Bagi puisi serangkap (dua baris), lebih pendek dan kurang suku kata. Contoh:

Ada hujan ada panas
Ada hari boleh balas.

Habis fakir jangan bohong
Salah jawab kena rempong

(Harun Mat Piah, 1989: 147).

Masyarakat Melayu melihat ciri keindahan antaranya bersifat berpasang-pasang hasil pemerhataian mereka terhadap fenomena alam. Misalnya manusia berpasang-pasang, lelaki perempuan. Anggota tubuh seperti kaki tangan berpasang-pasang. Keindahan bertambah indah jika ianya bersifat terselindung, jika ianya didedah secara terbuka, maka hilanglah daya tarikan dan rasa ingin tahu. Demikian maksud panting yang halus dan berlapis berselindung di sebalik pembayang dan maksud. Ianya perlu dicari, diteliti dan digali bagi memahaminya.

d) Syair

Syair dan juga nazam yang hampir sama cirinya adalah bentuk puisi yang berasal dari negeri Arab dan dipinjam menjadi puisi Melayu. Bentuknya a, a, a, a,. Biasanya membawa tema keagamaan dan nasihat. Contoh:

Sepatah pengajaran menambahi akal,
Baik daripada emas sebungkal,
Adanya lama disimpan kekal,
Terimalah dengan hati yang pukal.

Banyakkan jasa wahai teruna,
Hidupmu biar memberi guna,
Kamu yang mati jasa tak fana,
Lamun buahnya elok sempurna.

(Za`ba, Ilmu Mengarang Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1965: 229).

e) Gurindam

Gurindam ialah puisi dua-dua baris. Temanya membawa suasana riang, senda gurau dan tekateki. Tetapi puisi ini identik dengan Raja Ali Haji dengan Gurindam Dua Belas yang membawa tema keagamaan dan juga nasihat. Contoh:

Ini Gurindam Fasal yang Pertama

Barang siapa tiada memegang agama
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

Barangsiapa mengenal yang empat
Maka itulah orang yang makrifat.

Barang siapa mengenal Allah
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.

Barang siapa mengenal diri
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.

Barang siapa mengenal dunia
Tahulah ia barang yang terpedaya

Barang siapa mengenal Akhirat
Tahulah ia dunia mudarat.

(Abu Hassan Sham, Puisi-Puisi Raja Ali Haji, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 278).

f) Berbagai Puisi Yang Lain

Selain daripada lima jenis puisi di atas terdapat berbagai-bagai jenis puisi yang membawa berbagai persoalan dan maklumat yang juga sebagai arkif budaya baik dari segi bentuk, isi dan perutusan. Puisi-puisi yang lain ialah seloka, talibun, mantera, dikir, bahkan puisi moden iaitu Sajak yang sengaja tidak dibicarakan kerana lumrah diketahui adalah merupakan khazanah-khazanah maklumat yang menyimpan aspek-aspek budaya di dalam bentuk kreatif yang menjadi bahan perpustakaan dan arkif, bahkan permuziuman sebagai warisan generasi sekarang dan akan datang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment