August 6, 2013

Alam Adalah Sebuah Muzium

-->
BBB,  27 Ramadhan 1434 = 05 Ogos 2013 (Isnin):


Pengwujudan muzium bertujuan untuk mengabadikan koleksi pilihan sebagai kenangan, untuk penyelidikan dan kepuasan naluri – tuntutan minda dan estetika. Koleksi hanya serpihan dari kewujudan yang lebih besar yang tak terkeluar dari rasa ingin tahu, tetapi terhad oleh ketidakmampuan mendapat bahan dan terhad dari segi ruang.

Telah diperkatakan bahawa, bahan permuziuman terdiri dari bahan bersifat objek dan juga bersifat subjek. Bahan sebenarnya amat banyak, apa yang disentuh insan saja tidak terkira, tetapi di sana tak terpermenai banyaknya bahan yang diingin tahu oleh insan dan layak bertaraf bahan permuziuman bermula dari bahan di sekeliling membawa ke seluruh dunia, bahkan menginjak kepada alam semesta yang terdiri dari planet-planet, gugusan-gugusan bintang dalam galaksi-galaksi yang satu galaksi sahaja antaranya sejauh 100,000 tahun cahaya merentasinya (Colin Ronan, Alam Semesta, Fajar Bakti Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1979: 78). Bukankah Astronomi dan peralatan mengkajinya juga menjadi sebahagian bahan permuziuman ? Begitu juga batu bulan yang dibawa turun oleh angkasawan menjadi bahan yang amat tinggi nilainya dari segi permuziuman kerana nadirnya ?

Permuziuman di muzium adalah usaha kecil, tetapi bermakna oleh pihak kerajaan, agensi, badan, bahkan orang perseorangan atas dasar tanggungjawab dan minat bagi membekalkan maklumat dan informasi kepada khalayak. Muzium sebenarnya ialah sebuah perpustakaan yang menyediakan bahan primer kepada khalayak memahami, menghayati dan mengintepretasi. Sebagaimana perpustakaan dapat membekalkan maklumat secara tertulis mengenai kepelbagaian bahan, maka muzium pada hakikatnya lebih banyak menyediakan bahan primer dari segi permuziuman kepada khalayak, tidak cukup dengan perkara-perkara yang dapat dimuat di dalam bangunan, tetapi melimpah ruah ke alam terbuka hingga kepada cakerawala.


Lantaran cintakan ilmu, pelajar, mahasiswa dan orang awam ke perpustakaan, tidak cukup dengan itu, melempahruah mereka di mana ada pengajaran, seminar dan wacana keilmuan. Bagi masyarakat berbudaya tinggi sebagaimana pemerintah bertanggungjawab menyediakan perpustakaan, demikian juga muzium, maka sebagaimana perpustakaan menjadi tempat kunjungan bagi masyarakat berbudaya tinggi, maka demikian muzium juga menjadi tempat kunjungan menandakan mereka masyarakat yang mempunyai kesedaran minda intelektual dan apresiasi seni dan jiwa bertaraf tinggi.

Bagi mereka yang mempunyai minda dan jiwa bertaraf tinggi, mereka tidak cukup dan tidak puas setakat, mengunjungi muzium-muzium tempatan dan fenomena alam yang juga menjadi bahan permuziuman, sebab itu sebahagian dari mereka berangkat ke luar Negara bagi mengunjungi setengahnya tempat yang telah diketahui, tetapi mau mempastikan penyaksian dengan mata kepala seperti mengunjungi maqam Rasulullah s.a.w. di Madinah al-Munawwarah. Mengunjungi kesan-kesan pemerintahan Islam di Spanyol seperti di Granada, Toledo, Andalus dan sebagainya. Mengunjungi bagi menikmati seni bina Islam yang tinggi mutunya seperti di Samarqand di Afghanistan, Taj Mahal di India, mengunjungi bagi mengkagumi dan menikmati fenomena alam seperti Grand Canyon di Amerika Utara dan bahagaian perpantaian di selatan Cape Town di Afrika Selatan atau menikmati alam dan budaya di Bali, Indonesia dan sebagainya. Bagi golongan yang mempunyai taraf minda dan budaya tinggi yang menjadi agenda dalam kunjungan-kunjugan mereka di bandar-bandar besar dan ibu kota ialah melawat ke muzium-muzium yang dengan lawatan ke sini sekaligus dapat memahami sejarah, latar budaya dan warisan Negara berkenaan. Lawatan ke tempat-tempat menarik lebih kepada situasi biasa, tetapi melawat ke muzium dapat menelusuri sejarah dan warisan bagi masyarakat berkenaan. Kedua-duanya adalah melengkapkan.

Muzium dan permuziuman sebagaimana perpustakaan adalah agen bagi meningkatkan maklumat dan keilmuan, menjadi wadah untuk penyelidikan, menjadi bahan untuk dihayati tentang kemanusiaan dan diapresiasi dari segi seni, bahkan memberi kesedaran tentang budaya dan tamadun bangsa dan dapat dikomersilkan dari segi pelancongan.
Tetapi persoalannya adakah muzium kita menyediakan keperluan sebagai wadah atau agen meningkatkan minda masyarakat dengan keilmuan, meningkatkan apresiasi mereka menghayati bahan dan bermegah dengan pencapaian budaya yang dipaparkan.

Mungkin apa yang dipapar dan dibincangkan terlampau ideal. Masyarakat kita tidak sampai kepada kesedaran permuziuman yang dibincangkan. Bagi mereka muzium bukan satu institusi yang begitu penting dan kewujudan muzium bagi sebuah negeri sebagai melengkapkan institusi budaya di satu pusat pemerintahan. Namun kita berpendapat kerajaan mendirikan perpustakaan bagi melengkapkan infra-struktur bagi kemajuan negeri. Dalam kata lain muzium adalah agen kemajuan negeri dari segi budaya, warisan dan pendidikan. Kita tidak dapat menyalahkan khalayak jika kurang penghargaan dan apresiasi mereka terhadap muzium. Apalagi jika teguran mereka bertahun tidak diambil tindakan. Barangkali dan mungkin pasti kelemahan adalah dari pihak kita sendiri yang miskin dari idea dan takut menerima teguran, lantas tidak ada perubahan. Kalau kita tidak berani berubah kepada yang lebih bersifat positif, bagaimana mungkin kita mau menyedarkan masyarakat khalayak secara positif terhadap muzium dan permuziuman kita ?

Kita perlu berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang muzium, tetapi kita juga perlu bertanya, berpushatikah kita dengan kunjungan mereka terhadap muzium ? Kalau tidak tentu ada kelemahan kita. Misalnya tiada program menarik untuk mereka hadir, tiada penceriaan, bahkan tiada penambahan koleksi dan publisiti yang dapat menarik kehadiran mereka. Penampilan dan persembahan tidak berubah sejak sekian lama. Kita menyebut bahawa kunjugan ke muzium sebagai priority bagi pengunjung-pengunjung intelektual bila ke luar Negara, apakah muzium kita menjadi tumpuan pelawat dari luar Negara apabila tiba ke Negara dan negeri kita. Sebagaimana konsep permuziuman adalah luas dan tidak terhad kepada koleksi dalam bangunan, apakah kita benar-benar memberi perhatian terhadap warisan dan kekayaan alam yang menjadi kemegahan kita dan mempunyai daya tarikan kepada pengunjung-pengunjung dan para pelancong ? Adakah semua berkenaan berada di dalam senarai destinasi pelancongan ?

Jika tidak, sebagai muzium dan permuziuman sebenarnya kita terpinggir dan ketinggalan dari Alam Permuziuman.

Memajukan muzium bukan kerja berseorangan, perlukan pakar banyak bidang. Tidak hanya mengutamakan satu bidang lantaran kerana `pimpinan` misalnya minat terhadap bidang berkenaan dan orang yang sama ke sana ke mari membuat dan ikut membuat penyelidikan, sedangkan kepakaran dan hasil boleh dipersoalkan.


Terlalu banyak bidang permuziuman dari cakerawala di angkasa dengan kajian astronomi dan peralatan, turun ke laut lepas dengan bidang miritim dan kandungan sejarah dari segi lautan, kegiatan dan peralatan, naik ke darat terlalu amat banyak bidang yang boleh didekati dari segi arkeologi dan carigali ke fenomena alam, mengkaji tentang penduduk dan kegiatan, sejarah kependudukan dari awal hingga ke zaman tamadun dengan berbagai-bagai kegiatan dan tinggalan-tinggalan. Semuanya tidak dapat didekati dan dikaji secara berseorangan atau beberapa orang. Perlu kepada kelompok pakar di dalam berbagai-bagai bidang. Tentu institusi tidak dapat menyediakan tenaga pakar secara bersendirian, tetapi hendaklah melalui kerjasama dengan berbagai institusi berkenaan. Perlu lebih mengambil pendekatan ilmiah – banyakkan seminar dan wacana ilmiah di dalam berbagai bidang dengan pakar-pakar jemputan, bukannya hanya tumpuan kepada serpihan di dalam seni kraft sahaja.

Muzium adalah `Alam Terbentang` perlu kepada kekayaan idea, plan kerja dan tenaga untuk menyemarakkan kegiatan. Jangan takut pada kritikan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment