August 10, 2013

Penerbitan Dewan Sastera Wadah Kegiatan Sastera

-->
BBB, 02 Syawal 1434 = 09 Ogos 2013 (Jumaat):


Sejak ditubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka- DBP (1956), maka institusi ini memperlihatkan komitmen sebagai institusi yang berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan dan Rasmi di Negara. Kedudukannya makin kukuh bermula dengan penubuhannya di Johor Baharu diketuai oleh Ungku Aziz dan berpindah ke Kuala Lumpur, Pusat Pemerintahan Negara - bertapak di Jalan Young dan kekal di Jalan Lapangan Terbang Lama hingga kini. Selain dari menerbitkan buku-buku DBP menerbitkan dua majalah utama pada peringkat permulaan, iaitu Dewan Bahasa (Sept. 1957) dan Dewan Masyarakat (Januari 1963). Dua majalah ini adalah menjadi contoh bagi karangan-karangan terbaik bagi tulisan-tulisan di dalam bahasa Melayu. Sebab itu bagi mereka yang menghadapi peperiksaan pada peringkat SPM dan STPM, bahkan di universiti, maka membaca majalah-majalah ini dapat meningkatkan kemampuan berbahasa Melayu. Penulis sendiri membeli keluaran majalah-majalah ini sejak mula diterbitkan sebagai bahan bantuan menghadapi peperiksaan-peperiksaan, disamping menyimpannya sebagai koleksi peribadi.

Selepas 1970 DBP menerbitkan beberapa buah majalah lagi, yang penting dan menjadi Fokus tulisan ini ialah Majalah Dewan Sastera (Sastra- ejaan masa itu). Majalah ini mula diterbitkan Januari 1971. Penerbitan majalah ini dapat dikatakan kena dan sesuai dengan masa, kerana ianya dapat memenuhi keperluan pengajian sastera yang di universiti-universiti, kegiatan-kegiatan sastera oleh badan-badan penulis dan persatuan-persatuan sastera tanahair dan peminat-peminat sastera di serata tanahair. Selama ini bidang sastera – termasuk penulisan kreatif dibimbing oleh akhbar-akhbar dan majalah-majalah yang memberi ruang bagi bidang sastera, maka dengan penerbitan Dewan Sastera, ianya menjadi wadah yang membimbing dan menggalakkan perkembangan sastera tanahair. Dari satu segi dilihat penerbitan Dewan Sastera selepas setengah tahun UKM ditubuhkan, juga selepas UM & USM sebelumnya yang menawarkan kursus sastera sebagai pengukuhan bidang tersebut di pengajian-pengajian tinggi di negera ini. Dalam kata pengantarnya Pemangku Pengarah DBP pada masa itu – Hassan bin Ahmad menulis:

``Dengan terbitnya Dewan Sastera ini maka Dewan Bahasa dan Pustaka melangkah setapak lagi ke hadapan dalam usahanya untuk menggalakkan pertumbuhan penulisan kreatif atau perkembangan sastera di negeri ini. Di masa-masa yang lepas selalu kita dengar rungutan tentang kurangnya kesempatan penampungan karya-karya kreatif, terutamanya karya-karya dihasilkan oleh generasi penulis-penulis muda hari ini.``
Kata Ketua Pengarangnya pula (KM = Kris Mas):

Dewan Sastera memasuki gelanggang ingin mencapai:

  • Penyelarasan emosi bangsa Malaysia
  • Kedamaian  - keharmonian yang tulin

                                                            (Dewan Sastera, Januari 1971, hlm. 2 & 3).

Dewan Sastera menampilkan motto pada kulit luar bahagian hadapan – Dewan Sastera Peneroka Sastera Kreatif – dengan kulit luar yang menarik samada lukisan bersifat abstrak, tokoh di dalam penulisan dan sebagainya. Dewan Sastera menyediakan ruangan bagi bidang cerpen, drama, puisi, esei, kritikan dan laporan-laporan kegiatan sastera.  Dewan Sastera dianggap medan bagi penulis-penulis mapan di dalam bidang-bidang berkenaan – ada sekali sekali ruang bagi penulis muda, tetapi untuk menembusi Dewan Sastera, maksudnya untuk mendapat tempat agak sukar. Penulis yang mengikuti Dewan Sastera sejak diterbitkan dan turut menghantar karya-karya, terutama puisi agak sukar mendapat tempat. Beberapa tahun menghantar puisi – umpamanya sejak Januari 1971 hingga Disember 1973 hanya diberi satu saja ruang untuk puisi Penulis  - (batasbatas artificial DS, Mei, 1971: 43).

Dewan Sastera berjaya memupuk bakat dan melahirkan penulis mapan.
Di dalam bidang cerpen seperti S. Othman Kelantan, Shahnon Ahmad, Ali Majod, Azizi Haji Abdullh, Anwar Ridhwan, Fatimah Busu dan lain-lain.
Di dalam bidang puisi seperti Kemala, T. Alias Taib, Muhammad Haji Salleh, A. Ghafar Ibrahim, Zurinah Hasan, Siti Zainan Ismail, Latiff Mohidin, Dharmawijaya, A. Samad Said, Nor Aini Muhammad, Suhaimi Haji Muhammad dan lain-lain.
Fragmen Novel seperti oleh Arena Wati, Abdullah Hussin, Khadijah Hashim dan lain-lain
Di dalam bidang drama seperti Nordin Ahmad, Kemala,  Anwar Ridhwan dan lain-lain.
Penulis-penulis esei seperti Baha Zain, Yahya Ismail, Alis Murni, Adam Abdul Kadir, Abu Bakar Hamid, Umar Junus, Affandi Hassan, Jaafa Hs, Hashim Awang dan lain-lain.
Seni lukis seperti Sulaiman Isa, Hassan Majid, Piyadasa, Ismail Zain, Sharifah Fatimah Zubair dan lain-lain.
Dengan perkembangan selanjutnya ramai lagi lahir penulis-penulis kreatif dan penulis-penulis akademik dan easiest.

Dengan pelancaran Dewan Sastera, maka pada Ogos 1971 dilancarkan penilaian Hadiah Sastera dan pada 18 April 1972,  Penyampaian Hadiah Sastera Negara pertama disampaikan oleh Tun Razak Perdana Menteri Malaysia. Penyampaian hadiah sedemikian kekal bagi dua tahun sekali ke awal 2000. Dalam tiga dekad dapat dikatakan perkembangan sastera tanahair begitu bersemarak. Tokoh-tokoh penulis kreatif tiga dekad mendominasi bidang sastera tanahair. Tempat mereka hingga kini belum dapat diganti oleh generasi muda penulis tanahair. Apalagi pada masa itu DBP menambahkan lagi beberapa penerbitan bagi memberi ruang penulis-penulis berbagai-bagai bidang dan lapangan menulis seperti Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Dewan Kosmo, bahkan Dewan Islam.

Dapat dikatakan selepas tahun 2000 adalah zaman menurun bagi perkembangan bahasa dan sastera tanahair, jika dulu majalah Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan sastera dan beberapa majalah yang lain menjadi pilihan untuk dibeli dan pemasarannya di merata tempat dan mudah didapat, tetapi majalah-majalah ini kini sukar didapati ataukah sudah tidak diterbitkan lagi ? Di samping itu kita dapati kegiatan sastera tanahair bagaikan mati, badan dan persatuan penulis tidak kedengaran. Bahasa dan sastera sebenarnya menuju kepupusan, mengapa terjadi demikian ?

Sekian.

No comments:

Post a Comment