August 29, 2013

Sastera Prosa: Mengkreatifkan Cara Penyampaian - Sastera Rakyat

-->
BBB, 21 Syawal 1434 = 28 Ogos 2013 (Rabu):

Sastera prosa adalah perkembangan dari percakapan bagi menyampaikan maklumat secara kreatif yang berkembang menjadi cetera, cerita, kisah, hikayat, kaba dan sekarang berkembang kepada bentuk moden yang dikenali sebagai cerpen dan novel. Semua jenis sastera di atas boleh dirangkumkan di bawah cerita. Sebagaimana masyarakat moden kita mempunyai alat komunikasi moden seperti akhbar, radio, tv, internate, maka pada zaman tradisi antara alat komunikasi, hiburan dan menyampaikan pendidikan ialah melalui cerita lisan yang dikenali juga sebagai Cerita Rakyat. Menurut Liaw Yock Fang,

``Sastera Rakyat ialah sastera yang hidup di tengah-tengah rakyat. Dituturkan oleh ibu kepada anaknya yang dalam buaian. Atau tukang cerita kepada penduduk-penduduk kampung yang tidak tahu membaca dan menulis … Cerita yang semacam ini diturunkan secara lisan dari satu generasi kepada generasi yang lebih muda.``
(Liaw Yock Fang, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klassik, Pustaka Nasional, Singapura, 1978: 1).

Pendekatan bercerita Cerita Rakyat itu pula sangat terpengaruh dengan pandangan wujud dan pandangan alam masyarakat yang melahirkannya dan juga berkait dengan tahap pemikiran dan umur bagi peringkat yang menerima cerita. Pada dasarnya cerita disampaikan bertujuan untuk pendidikan. Umpamanya untuk menyampaikan maklumat, pendidikan akhlak, menaikkan semangat, bahkan bertujuan berhiburan.

Sebagaimana bidang puisi pada peringkat permulaan tumbuh dan berkembang secara lisan, maka demikian dengan cerita. Tema-tema cerita pada pada peringkat permulaan agak mudah agar mudah difahami masyarakat yang tidak tau menulis dan membaca. Cerita-cerita permulaan yang diklasifikasikan sebagai Cerita Rakyat ialah seperti cerita asal usul sesuatu tempat. Misalnya nama Bangi antaranya dikaitkan dengan kawasan perbukitan yang pokok-pokoknya berbunga dan  harum baunya `Wangi`, sebutan Wangi bertukar kepada `Bangi`.  (Shafie Abu Bakar, Bangi Bandar Ilmu, Sekretariat Bangi Bandar Ilmu, Bangi, 2011: 2).
Termasuk di bawah Cerita Rakyat juga ialah Cerita Binatang, iaitu seperti cerita Arnab Dengan Kura-Kura yang berlumba yang kerana kesombongan arnab kalah dalam perlumbaan. Watak-watak binatang di dalam cerita mampu bercakap dan berwatak semacam watak manusia. Cerita bertujuan untuk mendidik anak-anak agar tidak sombong dan takabur. Terdapat pula Sastera Rakyat bersifat Jenaka. Antara yang popular ialah seperti Cerita Pak Pandir yang berwatak bodoh yang tidak tanduknya melucukan dan merugikan, manakala cerita Lebai Malang yang menggambarkan orang tamak yang terlepas semua jemputan kenduri kerana tamak menyebabkan ia rugi. Cerita-cerita jenaka yang lain ialah Pak Kaduk, Pak Belalang, Si Luncai, Mat Jenin dan Musang Berjanggut.
 Cerita-cerita di atas setengahnya agak ringan, mudah dicerita oleh sesiapa dan mudah difahami dan diterima oleh khalayak pendengar. Walaupun cerita-cerita di atas banyak berunsur lucu dan hiburan, tetapi sarat dengan pendidikan dan pengajaran.

Cerita Penglipur Lara.

Kisahnya biasa terjadi diistana. Mengagungkan raja yang memerintah. Berbagai peristiwa menghalang raja, misalnya tiada berputra, terpaksa mengembara, menghadapi berbagai-bagai ujian yang akhirnya mendapat kejayaan. Rakyat turut sama bergembira. Contoh cerita ialah Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal, Raja Donan, Raja Ambung,
(Liaw Yock Fang, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klassik, Pustaka Nasional, Singapura, 1978: 13 – 18).

Satu jenis cerita rakyat ialah Metos

Terdapat cerita-cerita rakyat (lisan) yang lebih berat yang biasanya dicerita oleh tukang-tukang cerita yang lebih mahir iaitu Metos menurut Zalila Sharif dan Jamilah Ahmad:

``Metos biasanya merupakan cerita-cerita sederhana yang terdiri dari beberapa motif. Dalam masyarakat yang sudah menganggapnya sebagai dongeng …Dalam masyarakat Iban  umpamanya, mitos mereka adalah berkisar di sekitar asal usul adat, upacara yang berkaitan padi, ramalan beburung dan organisasi sosial mereka.`` (Zalila Sharif & Jamilah Haji Ahmad, Kesusasteraan Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 107).

Metos antaranya rapat dengan kepercayaan agama Hindu-Budha, misalnya banyak  cerita-cerita dipengaruhi Hindu-Budha mengaitkan kelahiran anak raja dari buluh betung,  jelmaan dari buih dan menunggang gajah. Cerita metos ini bertujuan mengagungkan watak, misalnya turunan raja dengan mengaitkan dengan sifat-sifat ajaib dan super- natural, agar masyarakat memandang suci dan agung, menghormati dan mematuhinya.

Terdapat sastera rakyat yang kandungannya lebih berat dan jalan ceritanya lebih panjang dan disampaikan oleh tukang-tukang cerita yang lebih professional, tidak jarang dalam penyampaian cerita digunakan alat bunyian seperti cerita Hikayat Anggun Cik Tunggal yang dituturkan oleh Pawang Ana seorang Penglipurlara terkenal, Cerita Si Gembang atau Teluk Bidung Kota Lama yang dituturkan oleh Pak Nik Abdul Rahman bin Nik Dir yang terkenal di Kelantan sebagai Tok Dalang Wayang Kulit, Cerita Awang Lutung dituturkan oleh seorang Tukang Cerita di Kampung Mentuan, Daerah Bachok, Kelantan dan Hikayat Terung Pipit sebuah cerita rakyat penglipur lara dari daerah Kedah-Perlis (Mohd Taib Osman & Abu Hassan Sham, Warisan Prosa Klasik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur: 1983: 1 – 85).

Termasuk di bawah Sastera Rakyat ialah cerita yang bersifat legenda. Menurut Zalila & Jamilah, leginda:

``Adalah cerita prosa rakyat yang ditokohi manusia yang ada kalanya memiliki sifat-sifat luar biasa dan dibantu oleh kuasa atau makhluk ajaib. Cerita-cerita legenda juga dipercayai oleh penuturnya pernah benar-benar terjadi dan juga oleh masyarakatnya.
Antara tokoh-tokoh legenda ialah seperti Panglima Salleh di Johor dengan kisah parang terbangnya di dalam menghadapi musuhnya. Cerita Si Tenggang yang menderhakai ibunya, Puteri Saadong seorang Raja yang pernah memerintah Kelantan, Leginda Mahsuri di Pulau Langkawi.
(Zalila Sharif & Jamilah Haji Ahmad, 1993: 108 -110).

Jadi cerita legenda umumnya wataknya wujud, tetapi ditokok tambah bagi menunjukkan kehebatannya. Watak ditokok tambah terjadi juga kepada alim ulama. Misalnya Tok Pulau Manis, di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu Pengarang Sharah Hikam Melayu abad 18M., diceritakan semasa di Makkah dia boleh ghaib pulang ke Terengganu mengambil buah durian di hadapan rumahnya untuk ditunjukkan kepada sahabat-sahabatnyanya di Makkah bagaimana bentuk buah durian. Tuk Pulau Manis adalah seorang alim di Terengganu. Pengagungan terhadapnya menyebabkan cerita mengenainya ditokok tambah di luar dari rasional.

Kreatif

Cerita Rakyat mempunyai keindahan dan daya kreativiti tersendiri yang mencerminkan kemampuan Pencerita/Penutur menggunakan bahasa secara kreatif. Sebagai contoh gambaran Kuala Bandar Muar dalam cerita Malim Dewa:

``Terlalu amat besar takhta kerajaan baginda itu, cukup dengan sekalian orang besar-besar menteri hulubalang sida-sida bentara sekaliannya serta pula rakyat tenteranya. Maka terlalu indah negerinya itu:

Kota melintang empat persegi
Lompong meriam memutih kelihatan
Kedai beratur berbaris-baris
Pohon nyiur berbanjar-banjar
Pohon pinang seperti pagar
Istana besar sembilan ruang
Balai penghadapan pesiban agung
Tujuh ruang tujuh pemanah
Selejang kuda berlari-lari
Selelah burung terbang
Tiang sudut menteri delapan
Tiang panjang Maharaja Lela
Tiang tengah syukur menanti
Tiang dapur tanggung olek
Galang-galang ular berang
Kasau kecil puteri menyembah
Kasau lentik helang berbega
Penuh sesak hamba sahaya
Ada yang empat senama
Ada yang lima senama
Dilaung di rumah ditanah menyahut
Dilaung di tanah dirumah menyahut.

(Hikayat Malim Dewa, Malaya Publishing House Ltd., Singapura, 1960: 1).

Untuk menabalkan Tuanku Gombang Malim Dewa, setelah ayahanda baginda ghaib ke Makkah, maka dibuat pengumuman dan panggilan:

Pukul tabuh larangan
Palu gong pelaung
Titir canang pemanggil
Pasang bedil di atas kota
Meriam bergelar tong balam.

Mendengar pengumuman semua rakyat datang:

Yang capek datang bertongkat
Yang buta datang berpimpin
Yang pekak leka bertanya
Yang kurap mengekor angin.

(Hikayat Malim Dewa, 1960: 5).

Demikian indahnya ungkapan digubah Penutur yang pasti menjadi khazanah bahasa yang amat berharga. Gaya cerita dan gambaran estetik sedemikian terdapat juga di dalam cerita-cerita rakyat yang lain. Di dalam Hikayat Terung Pipit digambarkan oleh Penutur tentang panau seorang watak bernama Bongsu Emas bahawa:

Panau di kening bintang bertabur
Panau di pipi pauh dilayang
Panau di leher berintik kuang
Panau di lengan bergelang puyuh
Panau di rusuk bersiku keluang
Panau di belakang bertapak catur
Panau di dada boleh dibuat ganti hikayat Jawa.

(Panglima Ali Mudin Bin Panglima Hassan, Hikayat Terung Pipit, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1985: 26).

Kehebatan Meriam Siam Bayu Sang Gangga digambarkan di dalam Hikayat Terung Pipit:

Gentar bumi gunung berlaga
Jika orang mengandung putera sembilan bulan
Nescaya gugur belaka
Dan lagi kera di julai
Habis jatuh ke tanah yang rata
Dan kerang di arus pun
Habis naik ke daratan belaka
Dan kayu bakau dan tengar di pantai
Habis tinggal lurus sahaja
Dan dipusingnya tiga belit Pulau Perca
Daripada Mengkaleh dilangsungnya ke tanah Jawa
Dan penyudahannya dilangsung mati di tanah yang mulia
Di Hulu kepala kubur Tuk Hawa.

Demikian kreatif Penutur dan mengasyikkan pendengar. Cerita rakyat bersifat prosa disulam dengan gambaran-gambaran kreatif berestetik menjadikannya amat menarik.

Sekian.

No comments:

Post a Comment