BBB, 18 Syawal 1434 = 25 Ogos 2013 (Ahad):
Firman Allah:
``Mahasuci Engkau (Ya Allah) ! Kami tidak mempunyai
pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya
Engkau jualah Yang Amat Mengetahui lagi Amat Bijaksana.`` (Al-Baqarah: 32).
Sesungguhnya insan amat lemah dari ilmu pengetahuan dan
untuk mendapat maklumat pada peringkat permulaan ialah berguru dengan kehidupan
dan alam sekeliling itu sendiri. Sesungguhnya manusia pada peringkat permulaan
tidak mengetahui apa-apa. Berdepan dengan kewujudan perlu kepada pengenalan.
Peringkat permulaan ialah dengan memberi nama terhadap sesuatu, sebagaimana
firman Allah:
``Dia mengajarkan kepada Adam akan segala nama-nama benda
dan kegunaannya``
(Al-Baqarah: 31).
Penyimpan Khazanah Maklumat: Bahasa
Mengenali sesuatu dengan menamakannya bererti merokodkan
sesuatu apa yang dinamakan agar berbeda dengan yang lain, juga bererti membuka
pintu keilmuan. Bercakap bererti mengatur dengan fikiran untuk menyusun kata yang
ditanda dengan sebutan tertentu – di
dalam percakapan, berhubung dengan maklumat berkenaan.
Agak menarik tentang sejarah terciptanya perkataan-perkataan
di dalam saesuatu bahasa. Ianya sudah tentulah bermula dengan sesuatu yang dekat
dengan diri dan lebih mudah disebut seperti `ma` bagi ibu, `pa` bagi bapa, `bang`
bagi abang, `dik` bagi adik. Setengah perkataan digubah berasaskan bunyi
sesuatu itu seperti `gong` bagi yang berbunyi sedemikian, `pitpit` bagi burung
pipit kerana bunyinya sedemikian. Begitu juga `belatuk` bagi burung belatuk
kerana tabiatnya suka mengetuk-ngetuk batang kayu.
Tetapi banyak dari perkataan mistri dari segi sejarah
penciptaan yang terpaksa dibuat kajian.
Setengah perkataan adalah bersifat pinjaman hasil interaksi
masyarakat dengan masyarakat yang lain seperti `sembahyang` dipinjam dari
Sanskrit, `budi` dipijam dari Hindu, begitu juga `jaya`. Manakala `Sabar`,
`hadir`, `wahyu` `hisab` adalah dari bahasa Arab. Meja dan almari dari bahasa
Portugis dan enjin, gas, teknologi dari bahasa Inggeris dan berbagai lagi.
Satu proses dalam penghasilan bahasa ialah gambaran dari
suasana yang dialami diri:
``Perkembangan yang seterusnya dan yang amat penting ialah
kemunculan konsep-konsep yang tidak berkait dengan mana-mana benda yang nyata.
Kegembiraan dan kesedihan, konsep masa dan ruang dan hidup dan mati tidak wujud
di dalam alam kenyataan, tetapi mereka wujud di dalam alam perkataan-perkataan
dan alam konsep. Oleh itu dengan pertolongan perkataan-perkataan, manusia hari
ini boleh menggunakan konsep-konsep yang paling abstrak.``
(Aleksey A. Leontyev, Manusia Purba Menembusi Alam Pertuturan.
Kurier Unesco, Februari,1978: 15).
Istilah juga dicipta
secara lebih kompleks hasil dari pemikiran seperti nomber-nomber, lambang-lambang
matematik dan konsep-konsep sains.
Menama atau mengkonsepkan sesuatu menurut sistem bunyi yang
lazim digunakan bagi bahasa berkenaan yang antaranya dipengaruhi oleh alam
sekelilingnya. Misalnya sistem bunyi bagi perkataan Arab melibatkan penyebutan
dari bibir seperti fa, ma membawa ke hujung lidah seperti dal, dhal, ke kerongkong
seperti ha`, kha` dan hingga ke dalam dada seperti `ha` - marbutah (dibicarakan
secara linguistic dan tajwid). Manakala bahasa Inggeris lebih kepada dalam
mulut dari bibir . Tetapi bagi bahasa Melayu sebagai beberapa bahasa Timur
seperti Jepun penyebutan lebih ringan dan mudah serta mudah dipelajari, kerana
kata-kata asal Melayu disebut berdasarkan suku kata – kecuali istilah moden,
bukan asli Melayu yang bersifat pinjaman.
Menurut Aleksey A. Leontyev di atas. Selain dari perbezaan
sebutan perkataan berbeza di kalangan berbagai bahasa, tetapi ada
sebutan-sebutan bersamaan antarabangsa, menurutnya:
``Terdapat lagi satu ciri pada bahasa manusia yang diwarisi
dari nenek moyang peringkat haiwan, iaitu bunyi-bunyi bukan bahasa yang digunakan
untuk menyatakan perasaan-perasaan yang dasar tanpa menggunakan
perkataan-perkataan. Yakni ketakutan, kehairanan, kegembiraan, kesedihan,
penghormatan dsb. Kata-kata seruan biasanya mempunyai persamaan dari satu
bahasa lain. Orang Russia
menyatakan ``Akh !`` atau ``Okh !``untuk menyatakan perasaan terperanjat, orang
Perancis ``Oh-la-la`` orang Inggeris `Oh !``, orang Jerman ``Ho Ho`` dan orang
Papua dari sukubangsa Asman ``Woo``.
(Aleksey A. Leontyev, Februari, 1978: 17).
Bahasa adalah perakam maklumat, setiap bahasa berusaha
memberi kata atau istilah sebanyak mungkin bagi segala perkara di dalam bahasa
itu. Makin banyak bahasa sesuatu bangsa, makin kayalah bahasa berkenaan yang
dengan sendiri mencerminkan luasnya pengalaman bahasa berkenaan. Tetapi
perkembangan bahasa dipengaruhi kelompok yang menggunakannya dan cara hidup
penggunanya. Misalnya jika pengguna adalah dari masyarakat tani, maka istilah
yang berkembang dan bertambah adalah di dalam bidang pertanian, jika
masyarakatnya berorientasikan sains, maka lebih banyak bertambah
perkataan-perkataan yang berhubung dengan sains. Orang Melayu yang lebih
merupakan masyarakat tani, kaya dengan kata-kata yang berhubung dengan kerja masyarakat
berkenaan. Misalnya untuk memaksudkan perkataan angkat – ada berbagai-bagai
istilah yang mencerminkan perbezaan angkat seperti; angkat, pikul, jinjing, tatang,
tapu, junjung, kelek, tandu dan sebagainya.
Menurut Mohd Salleh Daud:
``Tiap-tiap bahasa itu adalah hasil dari sesuatu kebudayaan
Bahasa mengandungi perkataan-perkataan, kalimah-kalimah dan lafaz-lafaz yang
menggambarkan benda-benda yang nyata, buah fikiran, pendapat-pendapat serta
nilai-nilai yang bersangkut paut dengan, atau pun yang dapat dikenali sebagai
hasil perkembangan kebudayaan tadi.``
(Mohd. Salleh Daud, Bahasa dan Perhubungan, Dewan Bahasa,
Jil I, November, 1957: 139).
Selain daripada perbezaan bahasa antara bangsa oleh
perbezaan Negara, perbezaan bahasa juga berlaku di dalam bahasa yang sama oleh
kerana perbezaan profesyen. Bahasa petani lain dari bahasa peniaga, juga berbeza
dari bahasa nelayan. Selain daripada itu berlaku perbezaan sebutan kerana
dipengaruhi dialek setempat. Misalnya penyebutan dielek bahasa orang Kelantan
berbeza dari orang Pahang, orang Perak dan orang negeri Sembilan. Sebenarnya
dengan perbezaan bahasa dan dialek memperkayakan bahasa dan budaya bagi bahasa
berkenaan.
Apa pun perkataan, lebih-lebih lagi istilah ialah perakam
dan pengabadi ilmu yang didukung oleh istilah berkenaan. Bahasa yang
menggunakan istilah-istilah di dalam ayat-ayat mampu membawa penerangan tentang
sesuatu istilah dan juga bidang berkenaan. Rumusan bagi berbagai istilah
terhimpun dan disimpan di dalam kamus-kamus di dalam bahasa berkenaan, namun
kamus adalah dalam keadaan kaku berbanding penggunaannya di dalam ayat-ayat,
lebih-lebih lagi yang mendukung keilmuan. Kekayaan bahasa dari segi istilah
dihidup dan dilentur penggunaan dalam bidang keilmuan, sosial dan sebagainya.
Memetik pendapat saudara Rahman Shaari tentang bahasa di dalam puisinya
berjudul `Bahasa` yang memenangi Hadiah Sastera 1986/87: Fragmen darinya:
Bahasa adalah pengatur
Pucuk fikiran yang bertabur
Bahasa adalah pelentur
Ranting perasaan yang bersiur
Dengan bahasa
Terlihat fakta padu
Terlihat sinar ilmu
Terlihat cinta biru.
Kata saudara Rahman Shaari lagi:
Dengan bahasa
Pemimpin memaparkan arah
Di pentas siasah
Dengan bahasa
Orang beriman menikmati ibadah
Khusyuk dan pasrah.
(Rahman Shaari, Bahasa, dlm. Sayang Ottawa Sungainya Sejuk,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur :
1989: 10).
Sekian.
No comments:
Post a Comment