August 12, 2013

Penyampaian Kursus Kreatif Di Teluk Kemang, Port Dickson


BBB, 04 Syawal 1434 = 11 Ogos 2013 (Ahad):

Kursus dan penginapan bertempat di beberapa buah bungalow kayu kerajaan yang sudah agak lama yang sebuah daripadanya tempat dijalankan kursus dan sebuah sebagai kantin. Kursus lebih kurang dua minggu itu (10 – 23 November 1974) dijalankan secara kuliah dan bengkel. Sesi kuliah dihadiri oleh semua peserta, manakala sesi bengkel dihadiri oleh penulis karya dengan penyampai kursus di dalam bidang berkenaan dengan beberapa penulis – menurut bidang (jika puisi di kalangan penulis puisi). Pada satu peringkat penulis dengan penyampai kursus sahaja. Dalam kata lain jika bidang seseorang penulis adalah puisi, maka dia tak menghadiri bengkel cerpen, novel, drama dan sebagainya. Kursus dan bengkel berjalan menurut program berikut:

Hari pertama 10 November 1974 (Ahad):

Tiba di tempat kursus dan mendaftar, maka pada malamnya, ialah Majlis Pertemuan Antara Penulis secara santai – Briefing telah diadakan di DBP pada tengaharinya sebelum bertolak.

11 November (Isnin):

Pada pagi-pagi hari antara peserta mengambil peluang berlari di Pantai Teluk Kemang untuk mencergaskan badan dan minda juga mencari ilham ?
Program bermula dari jam 9.00 -10.45. Kursus bertajuk `Konsep Seni` secara umum disampaikan oleh Muhammad Haji Salleh. Slot ini diikuti oleh semua peserta. Yang ditekankan, bahawa menulis bidang kreatif, sama ada puisi, cerpen, novel atau drama adalah berlainan dari menulis esei atau laporan. Penulisan kreatif melibatkan seni dan menggunakan bahasa secara kreatif yang melibatkan elemen imaginatif, intuitif dan konotatif. Kemampuan penulis dan kekuatanya, bergantung pada kemampuannya mengeksplotasi elemen-lemen berkenaan. Namun penulis juga kata Muhammad mesti seorang yang kaya dengan pengalaman dan sudah pasti juga berilmu. Muhammad sebagai seorang penyair lebih banyak menyentuh persoalan yang lebih dekat dengan puisi, di samping mengambil contoh puisi-puisi kalangan penyair seperti Usman Awang, Baha Zain dan lain-lain.

Slot kedua kedua jam 11.15 – 1.00 tengahari –Kursus berjudul Mempertajam sensitiviti dan persepsi, disampaikan oleh Shahnon Ahmad seorang novelis dan cerpenis terkenal – Antara novel paling terkenalnya ialah Ranjau Sepanjang Jalan dan cerpennya, Kalau ibu sampai takah tiga. Menulis novel juga, walaupun berdasarkan peristiwa atau pengalaman realiti, ianya ditulis secara kreatif imaginatif, Ada teknik dan kaedah penyusunan. Di dalam hal ini menurut Shahnon semua penulisan kreatif termasuk novel dan cerpen memerlukan ketajamaan sensitiviti dan persepsi terhadap sesuatu tema dan persoalan yang mau ditulis. Penggunaan bahasa yang hidup dan kukuh sesuai dengan masyarakat atau watak yang digambarkan. Sesungguhnya elemen-elemen inilah yang menonjolkan identiti seseorang novelis. Demikian Shahnon dengan identitinya dan yang lain dengan identiti masing-masing.

Jam 3.00 – 4.45 petang hari kedua ini disampaikan oleh A. Samad Ismail Ketua Pengarang NST. Selain dari terkenal di dalam bidang kewartawanan, beliau juga menulis novel dan cerpen. Antara novelnya Kail Panjang Sejengkal. Antara cerpennya terhimpun dalam antologi, Mekar Dan Segar. Dalam mana-mana kursus penulisan yang Penulis ikuti yang disampaikan oleh A. Samad Ismail, beliau amat menekankan `Intro` dalam penulisan. Intro amat penting bagi memikat dan menarik minat pembaca. Ianya hendaklah bermula dengan sesuatu yang menarik, mengejut dan memancing rasa ingin tahu pembaca. Berita juga jika diterima oleh pihak akhbar, jika tidak menarik akan terus dibakulsampahkan. Dalam penulisan hendaklah bersifat padat dan tidak meleret-leret. Dalam penyampaian kursusnya sungguhpun beliau serius, tapi selalu diselang seli dengan unsur-unsur lucu, ketawa dan kadang-kadang erotik. Pada malamnya kursus disampaikan oleh Abu Bakar Hamid dengan tajuk `Konsepsi Seni Sastera`. Beliau bukan dari kalangan penulis kreatif. Beliau lebih dikenali sebagai Penulis esei dan kritikan, sebab itu kursus yang disampaikan adalah lebih bersifat akademik; Ianya juga merupakan lanjutan dari tajuk-tajuk yang dibentang sejak dari pagi.

12 November  (Selasa)

Pada hari-hari lain, kursus yang disampaikan tidaklah sebanyak dan sepadat seperti hari kedua (pertama Kursus). Ini memberi peluang untuk peserta sebagai penulis-penulis kreatif untuk berkarya. Pada hari kedua ini, hanya dua kursus disampaikan, iaitu, ``Konsep Seni Sastera` jam 9.00 – 10.45 pagi untuk bidang sajak disampaikan oleh Ali Ahmad (Alis Murni). Beliau menyampaikan kursus dari sudut kritikan. Pada masa itu beliau mempunyai ruang kritikan puisi pada setiap keluaran Dewan Masyarakat. Penekanan dilihat dari segi ketepatan dan kesesuaian apa yang ditulis dalam puisi dari sudut seni sastera.

Kertas kedua jam 11.15-1.00 disampaikan oleh Shahnon Ahmad sekali lagi, kali ini berjudul , ``Apresiasi Cerpen` dengan menggunakan cerpen `Bawok` oleh Omar Khayyam seorang penulis Indonesia terkenal pada masa itu. Cerpen agak panjang, tetapi menarik. Ianya bersifat pembedahan bagi memperlihatkan kekuatan cerpen berkenaan.
Pada sebelah petang sepatutnya `Apresiasi Novel` berdasarkan novel `Merahnya Merah` oleh Iwan Simatupang yang terkenal dengan novel-novel absurdnya seperti `Kwong`, Kering dan sebagainya. Tetapi oleh kerana peserta-peserta masih belum dapat menamatkan bacaan terhadap teks berkenaan, maka ditangguhkan kepada Selasa minggu berikutnya. Sebab itu pada petang dan malam tiada kursus/bengkel. Pada sebelah petang peserta biasanya bermain sepak raga bulatan yang bolanya disediakan, tapi sebahagian ada yang suka merayau di pantai.

13 November (Rabu):

Program pada hari ini ialah perbincangan mengenai puisi-puisi contoh oleh penyampai kursus, iaitu sajak-sajak Muhammad Haji Salleh dan Usman Awang – Petikan teks disediakan, yang mereka berdua selaku penyair turut hadir. Turut sama hadir ialah Pengkritik Ali Ahmad (Alis Murni).
Puisi Muhammad biasanya bersifat renungan, patah-patah dan intelektual dan puisi Usman bersifat lembut, imaginatif, mendalam dan kadang-kadang emosional. Berikut dari itu jam 11.00 pagi ceramah bidang drama yang disampaikan oleh Krishen Jit, seorang tokoh drama terkenal pada masa itu. Manakala pada sebelah malam ialah membincangkan rumusan dari apa yang telah diikuti oleh peserta-peserta tanpa dihadiri pensyarah-pensyarah dan pihak penganjur – DBP. Banyak rasa tidak puashati diluahkan oleh pihak peserta-peserta.

14 November (Khamis)


Perbincangan (Bengkel) tentang karya-karya yang dihantar peserta sebagai syarat kehadiran mereka. Sajak-sajak yang dibincangkan ialah 5 daripada 10 yang dihantar peserta, tetapi tidak semua dibincang – dibuat pilihan lagi. Sajak-sajak yang dibincangkan ialah sajak-sajak
Ahmad Sarju, Shafie Abu Bakar, T. Alias Taib, Omar Muhammad Nor dan Nahmar Jamil yang dikendalikan oleh Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain.  Pada sebelah petang rehat, tetapi pada sebelah malam ada perjumpaan antara peserta kursus dengan pihak pensyarah, iaitu Muhammad Haji Salleh, Ali Ahmad, Baha Zain dan Ajikik (Ismail Ahmad). Perbincangan antaranya tentang rungutan dan rasa tidak puashati peserta yang dibincangkan pada malam sebelumnya.

15 November – (Jumaat):

Menyambung perbincangan mengenai sajak-sajak peserta hingga ke tengahari dan tiada kegiatan lain pada hari ini selepas itu.

16 November (Sabtu):

Pada hari Sabtu jam 9.00 pagi ialah perbincangan mengenai cerpen disampaikan oleh A. Samad Ismail. Penyampaiannya adalah baik. A. Samad Ismail menyediakan kertas kerja. Tetapi sebelah petang kosong dari program.

17 November (Ahad):

Pada hari Ahad  ini tiada langsung program. Mungkin dikira sebagai hari minggu. Namun semakin akhir semakin tidak teratur dan kosong dari kegiatan. Peserta-peserta ada yang mengambil kesempatan keluar berjalan hingga ke Melaka.

18 November (Isnin):

Pada hari Isnin ini juga tiada apa kursus atau bengkel. Antara mereka termasuk Penulis keluar berjalan di Bandar Port Dickson.

19 November (Selasa):

Dari pagi hingga ke petang juga tiada sebarang program
Pada malam Selasa sebagaimana dijanjikan ialah ulasan terhadap novel Merahnya Merah oleh Abu Bakar Hamid. Novel Merahnya Merah dihasilkan oleh Iwan Simatupang bersifat absurd, sebagaimana ia juga menghasilkan Kwong dan Kering. Novel Merahnya Merah adalah mencanggahi realiti, dihidupkan secara imaginatif. Watak-watak tidak bernama dan tidak bertempat.
  
20 November  (Rabu):

9.00 – 10.45 pagi ada kursus disampaikan oleh Loyd Fernando Pensyarah Bahasa Inggeris di Universiti Malaya – Tajuk yang disampaikan ialah `Sastera dan Falsafah` agak berat judulnya.  Persoalan menyentuh tentang hakikat keindahan (estetika) fungsi sastera di dalam memupuk kesedaran sosial dan rasa kemanusiaan, Penulis turut bertanya dalam sesi soal jawab.

21 November  Khamis):

Slot 9.00 – 10.45 pagi diisi dengan ceramah oleh Dr. Awang Had Salleh tokoh pendidikan juga Penulis novel antaranya Biru Warna. Beliau menyampaikan kursus berjudul Sastera dan Sosiologi, petang perbincangan bebas mengenai apresiasi dan malam diisi dengan ceramah oleh Profesor Mohd Taib Osman berjudul Kesusasteraan dan Kebudayaan.  Seorang tokoh budaya dan sastera lama. Antara bukunya Tradisi Lisan Di Malaysia dan Kesusasteraan Melayu Lama.

22 November (Jumaat):

Pada hari terakhir Jumaat.  sebelah pagi ialah ceramah oleh sudara Kassim Ahmad dengan judul, Sastera Tradisi dan Sejarah. Saudara Kassim Ahmad terkenal dengan kajian Hikayat Hang Tuah, yang mengagungkan watak Hang Jebat sebagai wira - satu kelainan dari pengagungan terhadap watak Hang Tuah selama ini. Ceramahnya menarik dan banyak soalan-soalan yang dikemukakan termasuk dari Penulis. Pada sebelah petang ialah penyerahan bahan-bahan penulisan yang dihasilkan selama mengikuti kursus. Penulis menyerahkan Kumpulan Puisi 16 buah puisi – 6 buah puisi yang baru dihasilkan, manakala 10 yang pernah diserahkan dengan pembaikan..

Kursus dan bengkel adalah baik, Cuma kurang teratur terutama pada bahagian akhir kursus – bagai tidak terkawal. Sesungguhnya bagi penulis yang bersifat advanced itu masa mereka patut diisi dengan penghasilan karya, selain dari itu penceramah patut menyediaka kertas kerja. Setiausaha sepatutnya mencatat semua kegiatan. Dengan demikian segala kertaskerja dan hasil penulisan oleh para peserta  dan perbincangan dapat diterbitkan. Ianya dapat menjadi panduan dan rujukan.

Pada malam terakhir diadakan persembahan  apresiasi karya drama  termasklah oleh Abdul Aziz H.M. berjudul - Kuku Kakiku Kukikis-kikis. Persembahan dari hasil-hasil penulis patut juga diadakan seperti membaca puisi dan naskhah cerpen dan fragmen novel.

23 November 1974 (Sabtu).

Pulang dan berpisah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment