August 4, 2013

Permuziuman

-->
BBB, 25 Ramadhan 1434 = 04 Ogos 2013 (Sabtu):

Permuziuman adalah lebih dari makna muzium semata-mata yang maksud biasa sebagai ``Sejumlah koleksi yang dipamerkan dalam bangunan untuk dimanfaatkan oleh khalayak baik dari segi pendidikan atau penghayatan.`` Dimaksudkan dengan permuziuman adalah lebih besar dan luas daripada itu, iaitu:


``Segala objek dan subjek mempunyai hubungan dengan manusia atau hasil kegiatan mereka atau natural alamiah atau kedua-duanya bersifat unik, bernilai sejarah (kepurbaan), budaya, adat,  adab, nadir, menarik, estetik yang dapat memenuhi keperluan intelek, penghayatan, hiburan (menyenangkan) dan naluri ingin tahu serta menjadi warisan bagi yang mewarisinya. Faedahnya menyedari keagungan Pencipta, menanamkan rasa kecintaan & patriotisme, menambah maklumat dan ilmu pengetahuan, menyuburkan rasa kemanusiaan, keharmonian dan menjana sumber ekonomi.``

Ciri-ciri di atas tidak semestinya semuanya ada pada sesuatu objek atau subjek permuziuman. Mungkin sebahagian sahaja dari ciri-ciri di atas didapati, sebahagian lagi tidak dan kemungkinan semua ciri tersebut didapati.


Segala Objek:

Adalah bersifat benda atau material. Aspek ini paling banyak, tetapi dihadkan dengan ciri-ciri yang lain. Misalnya rumah terlampau banyak kewujudannya, tetapi rumah boleh jadi bahan permuziuman, jika misalnya rumah tradisional mempunyai keunikan dari segi seni binanya, misalnya berciri Bugis dan sukar ditemui lagi rumah seperti itu – Contoh rumah tradisional Bugis di Kampung Permatang, Kuala Selangor (Lawatan pernah dibuat ke rumah ini dengan satu rombongan  pada 29 Februari 2012. Mesyuarat bersetuju untuk memindahkan rumah tradisional Bugis ini ke pekarangan Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam. Urusan bayaran telah diatur, tapi hingga kini masih belum terlaksana). Sebahagian dari ciri-ciri kemuziuman terdapat pada rumah tradisional ini. Misalnya ada keunikan, purba dari segi pensejarahan, bernilai estetik, nadir dan lain-lain.

Contoh yang bersifat objek ialah `Perahu Besar` yang terdapat di Muzium meritim. Muzium Negeri Terengganu. Salah satu sebab mengapa bangunan Muzium Negeri Terengganu memilih tapak di Losong di tepi Sungai yang tidak begitu jauh dari muara Sungai Terengganu ialah bagi mempamerkan kegiatan miritim di Terengganu sebagai negeri yang memanjang dengan pantai. Sebahagian daripada penduduknya menggantungkan mata pencarian dari laut. Punca mata pencarian ini bukan semata-mata bersifat kegiatan nelayan – menangkap ikan di laut, tetapi sebahagian dari penduduknya yang tinggal berhampiran muara seperti Losong, Duyung dan Pulau Rusa melibatkan diri dalam pernigaan menggunakan `Perahu Besar`.  Peniaga-peniaga Perahu Besar ini membawa dagangan hasil mahsul dari negeri Terengganu seperti ikan, papan, bahan-bahan logam seperti parang, kapak, golok, keris dan cangkul, perhiasan emas dan perak yang ditukangi oleh tukang-tukang emas dan perak di Terengganu, kain songket dan batik,  berbagai hasil pertanian dan hutan dibawa Perahu Besar belayar di lautan menuju ke negeri Siam (Thailand), Kemboja, Campa, Vietnam, bahkan sampai ke negeri Cina menjual barang-barang dagangan dan dari sana pula mereka pula membawa balik barang-barang untuk didagangkan di Terengganu seperti beras, garam, benang tenunan, mangkok pinggan, tempayan dan berbagai-bagai lagi untuk didagangkan di Kuala Terengganu, terutama di kedai dan pasar Payang. Dengan wujudnya pengangkutan moden perniagaan menggunakan Perahu Besar yang memakai layer telah lama pupus. Tinggalan Perahu Besar yang hanya beberapa buah ini menjadi bahan Muzium Meritin yang menarik, di samping jenis-jenis perahu nelayan dan perahu-perahu yang digunakan di sungai. Perahu Besar memenuhi aspek permuziuman baik dari segi sejarah, unik, nadir dan budaya niaga masyarakat Melayu yang bergantung hidup dengan laut. Contoh terakhir dari segi permuziuman yang bersifat objektif dapat diambil dari runtuhan kota Melaka yang telah dibina Portugis selepas mereka menguasai Melaka pada tahun 1511. Walaupun Kota ini kelihatan runtuh dan tidak menarik, tetapi oleh kerana wujudnya nilai sejarah yang berhubung dengan Kerajaan Melaka dan Portugis, maka ianya menjadi sebagai monumen negeri Melaka dan Negara yang begitu bernilai. Ianya satu-satu yang wujud dan tiada yang lain seumpamanya di dunia ini.

Bersifat Subjektif

Maksudnya tidak bersifat benda yang mencerminkan peningkatan manusia dari segi berfikir dan kreatif, Melalui minda mereka boleh mewujudkan sesuatu yang bersifat subjektif sebagai realiti yang tidak boleh dinafikan. Misalnya kejayaan tokoh-tokoh merumuskan formula-formula matematik seperti oleh Abu Abdillah Muhammad bin Musa al-Khwarizmi yang menampilkan kaedah al-Jabar (al-Jibra) yang berlainan dari kaedah geometri. Dan Al-Biruni yang menyumbangkan Trigonometri Sfera dalam metametik. Mereka merupakan  Ilmuan Islam besar yang memberi sumbangan dalam bidang matematik (Hakim Mohammed Said, Al-Biruni (Terjemahan Abd. Latif Samian), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992, hlm. 110 & 157-158). Kaedah menggunakan angka dan ukur dan menemui formula yang terus boleh digunakan ada sumbangan besar dan warisan dibanggakan di kalangan orang Islam. Sebenarnya ianya sumbangan bersifat antarabangsa dan menjadi sebagai warisan dunia. Keistimewaan sumbangan Khawarizmi dan al-Biruni ialah nilai keilmuan yang dapat disumbangkan bagi kepentingan manusia sejagat.

Aspek yang bersifat subjektif lagi, lebih kepada kefahaman dan pengertian (sebelum diperturunkan kepada tulisan), ialah pantun, iaitu satu bentuk puisi terikat dua kerat atau lebih dan ada yang bersifat berkait. Bentuknya ialah ab ab yang suku kata pada setiap baris ialah 12. Dua baris pertama (kerat pertama)  dikenali sebagai pembayang dan dua baris kedua (kerat kedua) dikenali sebagai maksud. Ia diungkapkan bagi menyampaikan berbagai mesej misalnya kasih sayang, nasihat, gurau senda dan sebagainya. Masyarakat Melayu yang berbudaya biasanya memahami dan mungkin dapat menjawabnya. Contoh pantun bersifat kasih sayang:

Tuai padi antara masak
Kelak jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Contoh lagi (Bersifat pengajaran):

Surung papan tarik papan
Buah keranji dalam perahu
Suruh makan engkau makan
Suruh mengaji tidak tahu.

Pantun di atas memenuhi aspek estetika dan termasuk unsur pendidikan dan hiburan. Ianya mencerminkan nilai budaya masyarakat yang mendukungnya (Melayu).

Contoh yang bersifat subjektif, ialah penggunaan kaedah logik yang digunakan oleh Aristotle (384-322 S.M.), iaitu menyusun kata secara berpremis dan bernatijah yang memberi natijah yang logik dan betul. Kaedah ini digunakan di dalam Ilmu Kalam Islam di dalam membuktikan hujah-hujah. Ada 19 kaedah penyusunan kata. Contoh:

Kambing lebih besar dari kucing
Tetapi lembu lebih besar dari kambing
Sebab itu lembu lebih besar dari kucing

Kias-kias logik seperti ini banyak digunakan dalam pembuktian persoalan, terutama sifat Allah.

(Oemar Amin Hoesin, Filsafat Islam, Bulan Bintang, Jakarta, 1975: 55 – 60).

Kaedah logik ini menjadi warisan bukan saja bagi umat Islam, tetapi sebagai keilmuan warisan dunia.

Sekian.

No comments:

Post a Comment