BBB, 16 Syawal 1434 = 23 Ogos 2013 (Jumaat):
Falsafah Kewujudan yang terdiri dari Wujud Hakiki dan Wujud
Nisbi begitu luas huraian dan tafsiran dapat dilakukan. Telah dibicarakan
kesempurnaan pada peringkat Hakiki adalah menjadi penujuan bagi peringkat Nisbi
meningkatkan diri. Dalam pembicaraan Takmilah kelak station-station bagi
perjalanan dan peningkatan kualiti bukan satu, tetapi banyak. Tetapi dilihat
pada peringkat permulaan tentang perjalanan dan peningkatan kualiti kepada dua,
iaitu individu dan masyarakat. Antara keduanya yang mana satukah yang
mendahului? Antara keduanya tidak berpisahan. Sempurna individu insan adalah
dari dokongan kemasyarakatan. Terkedepannya masyarakat dengan adanya kepimpinan
di dalam masyarakat berkenaan. Namun bergeraknya masyarakat dengan adanya
dinamika-dinamika individu dalam masyarakat berkenaan. Dalam sesebuah
masyarakat tidak sunyi dari kepimpinan, sama ada besar atau kecil. Dalam
masyarakat sendiri wujudnya elemen-elemen, bahkan keperluan akan wujudnya
kepimpinan.
Dalam sebuah masyarakat kecil sebenarnya sudah ada budaya
kehidupan yang menjadi panduan bagi masyarakat itu. Misalnya sudah ada nilai
bagi nuklias keluarga yang dipupuk oleh kasih sayang ibu bapa terhadap
anak-anak dan penghormatan anak-anak terhadap ibu bapa dan keluarga terdekat.
Dalam kehidupan ekonomi, misalnya kalau pada peringkat permulaan mereka
mendapat makanan dengan mencari dan memungut dari hutan akan ubi, buah-buahan
dan daun-daunan secara meramu, tetapi hasil dari pengalaman dan kesedaran
kepimpinan, mereka mula memikir menanam keperluan makanan mereka, agar tidak
berterusan mencari. Dengan itu timbul konsep bertani. Bertani pula pada
peringkat awal dilakukan oleh individu dan keluarga, tetapi kemudian timbul
konsep tolong menolong yang dikenali dengan gotong royong – misalnya bagi
menanam padi huma di darat dan padi di dalam paya. Daripada pertanian yang
diusahakan masing-masing yang berlainan jenis tanaman, terbetik dalam kehidupan
keperluan bertukar-tukar barangan yang merupakan permulaan konsep berjual beli
secara barter trade.
Dalam usaha mencari rezeki, mereka tidak sahaja ke hutan dan
ke bukit tetapi juga ke sungai. Pada peringkat permulaan mereka mendapat rezeki
dengan memungut dari tepian dan dalam sungai, sama ada dari jenis ikan dan
tumbuh-tumbuhan. Akhirnya timbul idea menggunakan batang kayu yang dikerat
bulat. Mereka menaikinya dan menggerakkannya dengan galah dan pengayuh secara
basic atau ikat antara satu sama lain terutama dari buluh menjadi rakit,
kemudian timbul idea mengorek batang kayu dengan kapak batu menjadikannya
sebagai perahu dan menggunakan pengayuh yang membolehkan mereka bergerak lebih
jauh ke tengah sungai untuk mencari rezeki dan mungkin sampai ke permukaan
kuala. Dengan ini menjadikan darat dan sungai sebagai kawasan penempatan yang
penting.
Dari segi penempatan dalam perkembangan lanjut, khususnya
selepas berkemampuan menggunakan peralatan dari besi, budaya kehidupan bergerak
lebih maju. Kalau pada peringkat permulaan rumah dibina dari batang-batang kayu
bulat, dari buluh dan batang nibung, mereka mampu menggunakan kayu-kayu besar
dengan mengergaji dan menghasilkan papan. Mereka menghasilkan kediaman dengan
binaan rumah menggunakan papan yang tidak menggunakan paku.
Pada tahap ini sudah wujud komuniti masyarakat yang
mempunyai nilai budaya dan berperaturan yang didukung oleh masyarakat. Nilai
budaya yang telah terbina dalam masa yang relatifnya lama ini, ditanam ke dalam
minda generasi sebagai adab yang perlu diikuti, bahkan perlu dipatuhi. Ada ketua-ketua dan
pimpinan yang mengetuai kelompok dan menjaga adat dan aturan yang harus
dipatuhi masyarakat. Pembinaan nilai dan budaya masyarakat sebagai adat yang
diwarisi, turut bertambah dengan interaksi budaya dengan kelompok-kelompok lain
yang berdekatan, lantas berlaku pertukaran pengalaman. Misalnya berlaku
pertukaran hasil tanaman yang kedapatan di dalam satu masyarakat, tetapi tidak
terdapat di dalam kelompok masyarakat yang lain. Pembelajaran juga berlaku,
misalnya mempelajari cara membuat peralatan bertani, menghasilkan peralatan
bagi keperluan makanan seperti periuk, belanga, mangkuk pinggan dari tanah liat
dan sebagainya. Jika pada peringkat permulaan pakaian yang biasa digunakan
ialah dari daun-daun biasa kemudian dianyam dan berkembang kepada penggunaan
kulit-kulit kayu sebagai bahan-bahan pakaian yang lebih maju. Dengan berlakunya
pertemuan budaya antara kelompok berlaku juga perkahwinan antara anak-anak dari
kelompok-kelompok berlainan. Ini menjadikan masyarakat berkenaan makin membesar
dan penempatan makin meluas persis sebagaimana kampong-kampung tradisional yang
wujud di tepi-tepi sungai atau di bahagian daratan yang biasanya tidak jauh
juga dari sungai sebagai sumber air. Masyarakat sedemikian selain dari bertani
– termasuk mendapat hasil rezeki dari sungai, mereka juga turut berternak.
Kalau selama ini mereka mendapat makanan dari binatang dengan memburu, mereka
mulai menternak haiwan-haiwan jinak seperti ayam, kambing, kerbau dan lembu.
Setengahnya digunakan untuk membantu pekerjaan seperti kerbau untuk membajak
dan lembu untuk pengangkutan. Kucing sebagai haiwan untuk mainan dan anjing
untuk pengawalan.
Dalam masyarakat yang makin membesar, di samping berlaku
pertembungan budaya dan interaksi secara harmoni, tidak dinafikan ada
kadang-kadang berlaku perselisihan faham antara kelompok masyarakat akibat dari
kepentingan ekonomi atau perluasan pengaruh kepimpinan, maka tidak jarang
berlaku peperangan. Konsep pengawalan keamanan masyarakat yang pada asalnya
menggunakan lembing, tombak, kapak, parang dan pisau akan diperluas dan
diperbanyakkan bagi mempertahankan kawasan kelompok dan kediaman. Dengan
wujudnya kawasan pertahanan, kesedaran persempadanan dan kawalan
menimbulkan kesedaran tentang daerah, bahkan kepada wilayah kawalan yang
dipimpin Ketua. Pada peringkat yang lebih atas menimbulkan kesedaran bernegeri
dan mempunyai pemimpin yang dikenali dengan ketua, bahkan raja.
Dalam mana masyarakat pembelajaran adalah penting. Selain
dari mengikuti dan mematuhi nilai budaya yang sedia ada, maka wujud juga
pembelajaran formal yang sesuai dengan nilai di dalam masyarakat tradisional. Ada beberapa institusi
yang berpengaruh dalam masyarakat tradisional, iaitu Ketua, Guru dan
bomoh. Ketua adalah pemimpin bagi
kelompok masyarakat atau kawasan yang lebih besar, dalam mana ianya pula
mempunyai pemimpin-pemimpin pembantu yang dikenali dengan ketua kampung atau ketua
komuniti. Adapun guru antara yang penting zaman tradisi ialah guru-guru yang
mengajar ilmu silat bagi mempertahankan diri dan kelompok. Mereka berperanan
sebagai kelompok tentera yang menjaga dan mengawal masayarakat. Ilmu silat
harus dilalui oleh golongan muda. Adapun kalangan remaja perempuan lebih
tertumpu kepada kerja-kerja yang membantu keluarga. Bomoh pula institusi yang
dipandang tinggi oleh masyarakat sebagaimana masyarakat moden memandang tinggi
kepada profesyen doktor perubatan kini. Bomoh tidak saja bergantung kepada
bacaan jampi mentera semata-mata, tetapi
sebagaimana setengah orang asli memahami bahan-bahan perubatan dari
tumbuh-tumbuhan seperti akar-akar kayu, daun-daunan dan buah-buahan yang dapat
dijadikan ubat. Antara institusi yang dihormati masyarakat tradisional ialah
kepimpinan kerohanian yang menguruskan kematian dan upacara-upacara kepercayaan
secara tradisional. Dia juga berperanan di dalam upacara-upacara perkahwinan di
dalam masyarakat.
Walau bagaimana pergerakan dan peningkatan kepada
kesempurnaan hidup berjalan agak lambat. Kelambatan ini diakibatkan oleh
berbagai-bagai faktor. Antaranya tidak berlakunya komunikasi dan interaksi
secara meluasa antara masyarakat, Namun bila perhubungan terjadi, misalnya berlaku
kemasukan pengaruh Hindu-Budha mengubah kepercayaan animisma. Contoh
cerita-cerita yang mengaitkan pemerintah atau turunan atasan berasal dari buluh
betung, menjelma di atas kepala gajah atau menjelma dari buih menunjukkan
pengaruh kepercayaan Buddha meresep ke tengah masyarakat (Walter William Skeat,
Malay Magic, Dover Publications Inc. New
York , 1967: 16-17). Kehadiran pengaruh Hindu di Sumatera
pada zaman Kerajaan Sriwijaya pada awal abad Masihi sehingga 1,200 Masihi yang
kesan-kesan candi banyak terdapat di Bukit Seguntang mengubah persepsi
masyarakat, termasuk di Tanah Melayu dipengaruhi unsur legenda dan metos bahawa
turunan pemerintahan yang berwibawa adalah raja-raja yang turun dari Bukit
Seguntang atau lanjutan daripadanya. Bukan setakat pemerintahan sahaja, oleh kerana
pengaruh Hindu begitu lama (sebelum datang Islam), maka pengaruhnya resap ke
dalam adat istiadat masyarakat (G. Coedes, The Indianized States of Southeast
Asia, University of Malaya Press, Kuala Lumpur-Singapore, 1964: 130 – 133).
Masyarakat tradisional juga begitu lambat menyedari potensi
ekonomi yang ada di kawasan mereka, sehingga kuasa luar datang menjajah mereka seperti
Portugis, Belanda dan British. Dengan kehadiran mereka kesedaran mengenai
kenegerian makin timbul dan peraturan pemerintahan makin tersusun. Pembelajaran
melalui institusi-institusi formal diperkenalkan bagi kepentingan penjajahan
yang membawa masyarakat lebih maju. Penjajahan dan kesedaran kebangsaan membawa
kepada perjuangan menuntut kemerdekaan yang membuka ruang kepada masyarakat
kepada perubahan dan kemajuan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment