BBB, 22 Syawal 1434 = 29 Ogos 2013 (Khamis):
Antara yang membatas dan mensempadankan bidang sastera
Melayu tradisional ialah sastera lisan yang tidak bertulis dan sastera
bertulis. Sastera lisan lahir sejak kemampuan masyarakat tradisi bercakap dan
mengungkapkan ungkapan-ungkapan yang bersifat sastera. Bilakah bermulanya
sastera penulisan ? Sudah tentulah sejak masyarakat Melayu mengamalkan tradisi
penulisan. Alam Melayu pernah menerima pengaruh Hindu-Budha, seperti pada zaman
Kerajaan Sriwijaya (650-1200M.) tetapi tidak mewariskan tradisi penulisan
disamping banyak mewariskan istilah-istilah Sanskrit di dalam bahasa Melayu,
juga patung-patung batu yang banyak kedapatan di Bukit Seguntang dan sekitaran.
Adalah dikatakan huruf terawal digunakan ialah huruf Rencong
atau Rencong Kawi dari Lampong yang ada kaitan penggunaannya oleh orang-orang
di Kamboja, tetapi lenyap penggunaannya kira-kira 1000 Masihi.
(A. Samad Ahmad, Sejarah Kesusasteraan Melayu I, Pejabat
Karang Mengarang, Jabatan Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu, Kuala Lumpur,
1957: 30).
Tidak berkembangnya penggunaan huruf ini, kerana ianya tidak
digunakan di tengah masyarakat. Bermulanya Tradisi Persuratan dalam bahasa
Melayu ialah dengan pengenalan tulisan jawi kepada masyarakat sebagaimana
terbukti pada Batu Bersurat Terengganu bertarikh Jumaat 4 Rajab 702H. bersamaan
22 Februari 1303M.
(Syed Muhammad Naguib al-Attas, The Correct Date of The
Trengganu Inscription, Muzium Negara, Kuala
Lumpur : 1).
Huruf jawi ini bukan sekadar makluman, tetapi digunakan bagi
perkembangan agama Islam di rantau Alam Melayu. Sejak pengenalan tulisan Jawi,
ianya digunakan bagi penyebaran agama Islam di Terengganu, Pasai, Melaka,
Acheh, Patani dan seterusnya merebak ke seluruh Alam Melayu. Batu Bersurat kedua (Batu Acheh pada nisan) yang
mencerminkan unsur-unsur Islam ialah yang diketemui di Minye Tujuh (Pasai)
bertarikh 1380 yang menyatakan bahawa Raja pada masa itu memerintah Aceh dan
Kedah. Bukti yang mencerminkan pengaruh keislaman pada batu Aceh itu lebih
kemudian dari Batu Bersurat Terengganu (Winstedt, Richard, A History of
Classical Literature, Oxford University Press, Kuala Lumpur – Singapore, 1972:
84).
Penggunaan utama tulisan Jawi ialah bagi mengenali dan mempelajari
bacaan al-Qur`an yang sebahagian dari huruf-huruf Jawi adalah diambil dari
huruf-huruf al-Qur`an. Membaca dan menulis adalah merupakan tuntutan di dalam
Islam. Wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah s.a.w. adalah arahan
mengenai membaca `Iqra` (al-`Alaq: 1), juga menyuruh menulis (al-`Alaq: 4),
agar apabila dapat membaca dan menulis dapat mempelajari ilmu pengetahuan (al-`Alaq:
5). Jadi membaca dan menulis adalah arahan dan suruhan di dalam Islam. Bahkan
menuntut ilmu, terutama yang fardu dan kifayah adalah wajib di dalam Islam.
Atas semangat ini tradisi membaca dan menulis adalah menjadi budaya orang
Islam. Para ulama pula merasa bertanggungjawab
menulis dan menghasilkan persuratan yang berhubung dengan hukum hakam Islam
seperti Fiqh, tauhid, tasawuf dengan menggunakan tulisan jawi.
Sememangnya priority dari segi penghasilan persuratan ialah
bagi dakwah dan perkembangan agama Islam, tetapi serentak dengan itu
bidang-bidang lain turut dituliskan, bahkan Sastera Rakyat yang sebelumnya
diucap dan dituturkan melalui lisan juga diabadikan di dalam tulisan jawi selepas
kedatangan Islam
Kemudian penulisan juga melibatkan bidang sastera dan segala
bidang yang lain.
Sastera Berhubung Dengan Islam
Sebagaimana tulisan jawi digunakan di dalam menyebarkan
agama Islam di Alam Melayu, sudah tentulah priority digunakan untuk menyebarkan
sastera yang berhubung dengan Islam. Perlu disebutkan sungguhpun mempelajari
sastera bukan diwajibkan sebagai mempelajari keilmuan Islam seperti aqidah,
tauhid, akhlak dan tasawuf, tetapi keilmuan sastera juga menjadi sebahagian
dari keilmuan Islam. Sebagai contoh konsep cerita menjadi sebahagian dari
kandungan al-Qur`an, bahkan satu pertiga daripada kandungan al-Qur`an adalah
bersifat cerita. Berbagai gaya dan pendekatan cerita dapat dipelajari dari
al-Qur`an. Contoh cerita yang menarik baik dari segi bahasa dan teknik ialah
cerita mengenai Nabi Yusuf a.s, Ashab al-Kahfi dan Luqman yang ketiga-tiga
cerita ini menjadi judul cerita di dalam al-Qur`an. Al-Qur`an bukan saja menampilkan
bentuk cerita dengan teknik dan bahasa yang menarik, tetapi juga menampilkan
berbagai-bagai unsur puisi, khususnya aspek-aspek estetik. Daripada al-Qur`an
menghasilkan ilmu bahasa (Nahu, Saraf)
dan Balaghah bagi mengkaji keilmuan di dalam al-Qur`an termasuklah dari aspek
keindahannya (Badi`). Perlu diingat diturunkan al-Qur`an bagi mencabar para
sasterawan Arab Jahiliyyah yang amat bermegah dengan kemampuan mereka berbahasa
dan bersastera. Ternyata mereka mengagumi al-Qur`an dan tidak dapat menandingi.
Labid seorang penyair menyatakan tentang al-Qur`an:
``Ianya merdu dan bermutu, Ianya tinggi dan tidak ada yang
lebih tinggi daripadanya.``
Oleh kerana al-Qur`an sebagai kitab panduan bagi orang-orang
Islam, maka sudah tentulah cerita-cerita yang terdapat di dalam al-Qur`an
menjadi keutamaan disampaikan kepada orang-orang yang menerima Islam terutama
cerita-cerita mengenai nabi seperti Adam, Idris, Nuh, Hud, Saleh, Daud,
Sulaiman, Ya`kob, Yusof, Ibrahim, Ismail, Ishak, Shuaib, Ayyub,Ilyas, al-Yasa`,
Zulkifli, Isa, Musa dan Nabi Muhammad s.a.w. Apa lagi mengenali nabi-nabi
adalah menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam. Antara himpunan cerita
mengenai nabi-nabi ialah Hikayat Qisasul anbiya`.
Cerita-cerita mengenai nabi agak banyak, tetapi perlu diingat
sifat cerita yang dipengaruhi elemen kreatif dan imaginatif, maka setengahnya
tidak menurut fakta yang benar dan berlaku tokok tambah. Cerita-cerita mengenai
Nabi seperti Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Kejadian Nur Muhammad, Hikayat
Kejadian Baginda Rasulullah, Cerita nabi Lahir, Hikayat Khatim al-Nabi. Di
samping itu terdapat cerita tentang mukjizat Nabi Muhammad antaranya Hikayat
Tatkala Bulan Belah Dua, Hikayat Mukjizat Rasulullah, Hikayat Nabi Bercukur,
Hikayat Nabi Mi`raj, Hikayat Iblis Dan Nabi, Hikayat Raja Khandak, Hikayat Raja
Lahad dan Hikayat Nabi Wafat.
(Ismail Hamid, Kesusasteraan Melayu Lama Dari Warisan
Peradaban Islam, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1983: 24 – 43).
Antara cerita mengenai sahabat ialah mengenai Umar ibn al-Khattab,
Hikayat Abu Syahmah, Hikayat Abu Bakar, Cerita Tentang Ali bin Abi Talib,
Hikayat Ali Kahwain atau Hikayat Fatimah, Hikayat Nabi Mengajar Ali, Cerita
Tentang Hasan da Husain, Cerita Tamim al-Dari (Ismail Hamid, 1983: 57 – 68).
Cerita-cerita mengenai kepahlawanan Islam adalah cerita yang
popular dan menjadi perhatian pendengar kerana peranan mereka menyebarkan Islam
dan sememangnya dalam menyibarkan Islam banyak pahlawan-pahlawan yang berjasa
dalam menyibarkan Islam. Antara crita-cerita kepahlawanan ialah seperti cerita
Zul-Qarnain, Sayf bin Dhi Yazan, Cerita Amir Hamzah, Cerita Muhammad Hanafiah
dan Hikayat Sam`un. (Ismail Hamid, 1983: 67 – 83).
Turut menjadi tema cerita-cerita tokoh-tokoh Islam, ialah
mengenai watak-watak orang salih, iaitu seperti certa Luqman al-Hakim, Cerita
Jumjumah, Cerita Ibrahim bin Adham, Cerita Abu Yazid al-Bistami, Rabi`ah al-Adawiyah, Syeikh Abdul Kadir
Jaylani, Syeikh Muhammad Samman, Cerita Darma Tasiah (Ismail Hamid,1983: 84 –
96).
Peranan cerita-cerita mengenai Nabi-nabi, khususnya Nabi
Muhammad s.a.w. bukan sekadar cerita sebagaimana cerita di dalam cerita rakyat,
tetapi bertujuan sama menyampaikan dakwah keislaman. Dengan cara bercerita bagi
mereka yang mempelajari keilmuan Islam memahami lebih mendalam bila mempelajari
dan memahami tentang kerasulan dan
perutusan yang dibawanya dengan ditambah cerita tentang Nabi yang membawa
perutusan keislaman. Pendidikan melalui sastera lebih mengukuhkan kefahaman dan
keyakinan dengan apa yang dipelajari di surau atau tempat-tempat pengajian
Ilmu.
Menerima Islam, menerima tulisan dan menerima al-Qur`an
adalah satu revolusi yang mentransformkan masyarakat Melayu dari keadaan buta
huruf kepada celik huruf. Pandangan wujud menjadi luas berbanding dengan pandangan
sempit dan terhad sebelumnya. Tradisi pengajian dan pembelajaran bermula sama
ada di rumah dibimbing oleh keluarga bersama mempelajari al-Qur`an, di masjid
atau surau dan balai-balai pengajian. Pendidikan sastera Islam juga berjalan
mulai melalui nyanyian tentang Nabi dan Siti Fatimah ketika ibu mendodui anak, dididik
mencintai Rasulullah melalui salawat, marhaban dan barzanji seperti sambutan
maulid al-Rasul dan majlis aqiqah, sedangkan pendidikan bagi orang-orang dewasa
melalui surau dan masjid atau di rumah-rumah tok guru menurut jadual tertentu.
Sesungguhnya Sastera Islam menjadi sebahagian dari mekanisme
pendidikan Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment