August 5, 2013

Tiap Disentuh Tangan Insan Ada Nilai Permuziuman

-->
BBB, 26 Ramadhan 1434 = 04 Ogos 2013 (Ahad):

Insan adalah makhluk berminda, juga kreatif, lantaran pada diri mereka ada akal dan hati- nurani. Sebab itu tiap tindak kerja mereka dipengaruhi elemen-elemen ini. Hasil kerja yang disentuh mereka ada nilai. Perhatikan pada anak insan seumur lima tahun yang sudah petah bercakap, dilatih ibu-bapa untuk mencintai ilmu, disediakan ibu bapa kepadanya buku yang sesuai dengan usianya dan juga dibekalkan pena dan buku tulis untuk diajar menulis dan membaca. Ketika lapang sianak ini bebas bermain dengan bahan-bahan mainan, membelek buku bergambar warna warni dan dalam kesempatan anak ini secara ceria tapi penuh konsentrasi dengan minda yang masih muda dan perasaan yang masih belum matang melukis pada buku tersedia lakaran gambar ibu bapa dan jika ada adik, kakak dan abang  sama gambaran mereka dilakarkan !  Mungkin turut dilukis lakaran kucing kesayangan, bunga dijambangan, bahkan rumah kediaman.


Apa yang hendak ditarik perhatian di sini lukisan-lukisan yang dihasilkan oleh anak ini atau mana-mana anak yang sempamanya, walau apapun taraf karyanya pasti menarik, meskipun misalnya lakaran wajah ibunya coretan gores sebuah bulatan sebagai muka dengan tiga garis bagi tubuh, dua garis bagi tangan dan dua garis bagi kaki – membezakan ibu berambut panjang dan bapa pendek. Lakaran bagi abang dan kakak lebih kecil. Turut sama lakaran kucing dan rumah menurut tanggapan alam dan dunia kanak-kanak. Pada hakikatnya apa yang dihasilkan oleh anak ini sebuah karya agung baginya dalam konteks usia dan suasana dia berada. Sebenarnya ianya juga adalah sebuah karya yang berharga bagi ibu bapa dan keluarga. Sudah tentulah bagi ibu bapa yang mendidik dan prihatin terhadap perkembangan anak merasa gembira terhadap hasil coretan anak. Bagi ibu bapa yang prihatin mungkin menyimpan coretan ini. Ianya menjadi lebih berharga, kiranya menjadi sebahagian dari album. Ianya menjadi bahan kenangan yang dapat dijadikan pengantara bagi menelusuri sejarah perkembangan anak sehingga dewasa misalnya. Bahan-bahan kenangan yang disimpan berhubung dengan anak-anak yang kita kasihi, bukan setakat coretan dan lukisan, tetapi juga pakaian, buku, mainan dan berbagai-bagai menjadi sebagai `muzium mini` bagi anak-anak dan ibu bapa.


Contoh bahan kreativiti anak-anak dengan bahan coretan di dalam sebuah keluarga dapat dijadikan analogi dengan kehidupan manusia di dalam masyarakat, bahkan bagi sebuah negeri dan Negara. Kehidupan menuntut agar mengatasi tuntutan-tuntutan asas seperti keperluan kepada makan-minum, lindungan, pakaian, masyarakat, pentadbiran dan kepercayaan. Usaha bagi manusia bagi mengatasi keperluan-keperluan berkenaan menghasilkan – misalnya:

Bagi memenuhi tuntutan makan minum menggerak mereka misalnya manusia pada peringkat permulaan meramu dan berburu bagi mendapat makanan. Mereka menggunakan peralatan batu yang dipertajam untuk menghasilkan tombak kayu dan sumpitan dan memotong buruan, buah, ubi, umbut dan sebagainya. Daripada pengalaman menggeset batu yang mereka gunakan peralatan batu mereka dapat menggunakan api untuk memanas dan memasak makanan, seterusnya kehidupan mengajar mereka untuk bertani bagi mendapat hasil makanan. Daripada mereka kita warisi penemuan dari zaman mereka alat-alat batu dari zaman neolitik. Mereka mencari perlindungan pada peringkat awal untuk keselamatan dari binatang buas dan hujan panas di gua-gua batu atau di pondok-pondok kayu didirikan. Pada peringkat permulaan mereka menggunakan kulit-kulit kayu sebagai bahan pakaian yang juga sebagai perlindungan diri dari sejuk panas. Bila mereka lebih berkembang mendorong mereka hidup secara berkumpulan, berkomunikasi dengan menggunakan bahasa dan berkeluarga untuk meneruskan generasi keturunan, lantas wujudlah upacara dan adat istiadat dan budaya masyarakat. Lantas dari situ mereka memerlukan kepimpinan dan aturan-aturan kemasyarakatan, maka wujudlah kepimpinan seperti Tok Batin, Ketua Kampung dan sebagainya. Dalam kehidupan yang bersifat asli ini, timbullah juga kepercayaan pada peringkat permulaan. Misalnya kepercayaan animismi yang menimbulkan upacara-upacara yang diperlukan seperti kematian, kelahiran, perkahwinan dan sebagainya. Dari segi permuziuman semua cara hidup masyarakat `asal` ini dapat dijadikan bahan permuziuman. Misalnya dari segi peralatan batu, cara bertani, penggunaan perahu untuk menangkap ikan, gua yang dihuni, pondok binaan, pakaian yang diguna, aturan dan upacara serta kepercayaan. Semuanya dapat dijadikan bahan permuziuman.

Beranalogi dari perkembangan kehidupan anak kecil dalam keluarga membawa kepada kehidupan masyarakat primitif sehinggalah berkembang kepada masyarakat moden trend dan keperluan serta kehidupan sebenarnya adalah sama. Dalam masyarakat maju seperti kehidupan kita kini masyarakat lebih besar dari peringkat kampung hingga kepada Bandar, negeri dan Negara maka tuntutan kehidupan perlu menurut kesesuaian zaman. Untuk kehidupan banyak sector pekerjaan memerlukan mereka yang layak diisi dan mengendalikan pekerjaan. Pendidikan formal menjadi perlu bagi melahirkan mereka yang berkelayakan. Tempat lindungan yang bernama rumah didirikan di kawasan bernama, kampung, pekan, Bandar dan kota-kota besar secara lebih teratur dan dimiliki oleh mereka yang berkelayakan. Sistem perhubungan lebih canggih dengan dibangunkan jalanraya bagi digunakan kenderaan-kenderaan yang merupakan keperluan biasa, baik dibandar dan kota atau di kampung dan desa. Semaju mana masyarakat, sebagai manusia yang beradab dan tamadun manusia tetap memerlukan pakaian untuk lindungi tubuh dari cuaca. Sudah tentulah perkembangan jenis dan fesyen pakaian berpelbagaian.   Pakaian pula menurut tempat dan masa serta adat dan budaya. Dalam masyarakat yang besar perlu ada institusi-institusi pentadbiran. Ada pejabat-pejabat pentadbiran. Ada pihak swasta dan kerajaan. Bagi memimpin kerajaan ada pemilihan kepimpinan melalui pilihanraya bagi peringkat negeri dan Pusat, maka wujudlah parti-parti politik dan kerajaan yang mengendalikan pentadbiran dalam negeri dan Negara serta perhubungan antarabangsa. Sebagaimana bahan-bahan purba menjadi objek permuziuman, demikian juga apa yang dilalui dalam kehidupan yang lebih kemudian tidak kurang menjadi tarikan bahan permuziuman dengan syarat bernilai sejarah seperti bangunan yang dianggap warisan, berciri estetik seperti ukiran tinggalan lama, unik seperti senjata lama, nadir seperti Batu Bersurat dan sebagainya.


Kembali kepada diri insan yang diberi minda dan hati-nurani, jika sesekali misalnya di musim hari raya ada kerinduan untuk kembali ke kampung halaman, menatap wajah orang tua dan sanak saudara atau menziarah kubur bagi yang telah pergi, semuanya menuntut peleraian dan kepuasan demikianlah minda dan hati-nurani universal ingin menelusuri kembali ke zama purba melihat kehidupan turunan mereka dan perkembangan, melihat pada kehidupan kini dan keunikan dihasilkan mereka. Mengapresiasi penghasilan seni, menghayati karya-karya dihasilkan, mengkagumi kepimpinan dan merasai jerih-perih rakyat marhain untuk survival kehidupan. Bagi memberi kepuasan bagi kedahagaan minda dan hati nurani dan jiwa di atas maka muzium dapat menawarkan tarapi minda dan hati-nurani-jiwa berkenaan !

Sekian.

No comments:

Post a Comment