August 2, 2013

Andalus Gerbang Keilmuan Islam Ke Barat

-->
BBB, 23 Ramadhan 1434 = 01 Ogos 2013 (Khamis):

Ketika jatuhnya kerajaan Umawiyyah ke tangan kerajaan Abbasiah, antara turunan Umawiyyah yang dikenali dengan gelaran Abdul Rahman al-Dakhil melarikan diri ke Spanyol (771M.), iaitu kawasan yang telah dikuasai Kerajaan Umawiyyah sebelumnya dan mendirikan pemerintahan di sana. Pada zaman pemerintahan Abdul Rahman III (912-961M.) kegiatan ilmiah mulai berlaku. Beliaulah yang mendirikan Bandar Cordova sebagai pusat pentadbiran, perdagangan dan pendidikan (Hairudin Harun, Daripada Sains Yunani Kepada Sains Islam,  Penerbit Universiti Malaya, 1992: 94). Daripada turunannya Kerajaan di sini berkembang maju. Pada zaman pemerintahan Khalifah Al-Hakam bin al-Nasir (350-366H =961-976M.) dan selepasnya berkembang maju pendidikan. Beratus-ratus akademi dan universiti didirikan di Cordova, Seville, Malaga dan Granada. Bidang-bidang keilmuan ialah pendidikan, falsafah, perubatan, farmakologi, matematik, astronomi dan logik. Antara ahli falsafah Andalus ialah Abu Bakar bin as-Saygh dikenali sebagai Ibn Bajah (m.1138M.). Beliau adalah tokoh falsafah, sains,  astronomi, muzik, theologi, perubatan dan fizik yang mempengaruhi Galileo dari segi ilmu fizik. Tokoh dari Andalus lain ialah Ibn Tufail, murid Ibn Bajah, ahli falsafah dan perubatan yang mengarang kitab Hayy Ibn Yaqzan yang diadaptasi oleh Daniel Defoe bagi karyanya Robinson Crusoe. Antara aliran falsafah yang dipelajari ialah Falsafah Al-Farabi (m.950M.), Al-Ghazali (m.1111M.) dan Ibn Rushd (m.1198M.).  Khalifah Al-Hakam mendirikan perpustakaan Qurtubah dalam mana dihimpun di sini buku-buku dari merata tempat. Di Andalus sahaja terdapat 20 perpustakaan. Pada masa ini Perpustakaan Cordova mempunyai sehingga 600,000 jilid buku dan Perpustakaan di Andalus terdapat 18,000 jilid buku (M.M.Sharif, Islamic And Educational Studies, Institute of Islamic Culture, Lahor, 1964: 41-42).


Perkembangan ilmu pengetahuan Islam di Sepanyol menarik minat barat yang masih jauh ketinggalan dari segi ilmu pengetahuan, mereka datang ke Negara-negara Islam, khususnya di Spanyol menimba ilmu pengetahuan dari sini. Mereka menterjemah buku-buku dari berbagai bidang ilmu pengetahuan ke dalam bahasa Latin. Di dalam bidang falak umpamanya John of Seville dan Adelard of Bath menterjemah empat karangan Abu Ma`shar dan Jadual Falak Khawarizmi. Plato of Trivoli menterjemah Jadual Falak al-Battani (858-929M.) yang dikenali di Barat sebagai al-Batanius, Gerard de Cremone menterjemah al-Haylah mengenai al-Jabar. Coppernicus menggunakan keilmuan falak Islam yang dikutip dari buku-buku al-Zarqali dan al-Batanius. Terjemahan turut dibuat terhadap bidang kimia, muzik, Ilmu Alam, Sejarah, Perubatan dan Falsafah. Dalam masa memuncaknya keilmuan Islam di Andalus putera-putera Diraja, pelajar-pelajar dan antara tokoh terkenal yang turut belajar ialah Frederick II (1215-1250) yang mengupah Michael Scotus (m.1236M.) dan pengajar Islam mengajar beliau ilmu falsafah dan sains Islam. Bahkan menjelang akhir abad ke 13 terdapat Sekolah khusus yang mengajar `Pendidikan Arab` di Toledo, salah sebuah kota yang melonjak dengan perkembangan ilmiah, di samping Secyli menjadi pusat terjemahan ilmu Arab terunggul  (Hairudin Harun, 1992: 99).

Sesungguhnya ketika Islam maju di Sepanyol Eropah masih dalam zaman kegelapan. Negara pada masa itu berada di tangan Gereja Orthodox. Pelajar-pelajar yang datang belajar di Spanyol membawa balik idea-idea baru dan mendapat tempat yang membawa kepada pertentangan dengan Gereja yang anti intelektual. Bruno yang memberi pendapat bahawa dunia ini bulat dihukum murtad. Apabila dia enggan menarik balik pendapatnya dia dihukum bakar hingga mati.

Idea dan ilmu pengetahuan yang dicetuskan oleh Islam menggongcangkan kekuasaan Gereja. Menurut John William menulis:
``Ramai daripada mereka yang dianggap membawa idea yang menyeleweng menjadi korban. Antara tahun-tahun 1481-1808 lebih kurang 340,000 orang dihukum bunuh dan hampir 34,000 orang lagi dihukum bakar. (Khurshid Ahmad, Islam Lawan Fanatism Dan Toleransi – Terjemahan S.Sjah S.H., Tintamas, Jakarta, 1968, hlm. 2.

Oleh kerana kezaliman dan sikap anti intelektual golongan Gereja membawa kumpulan intelektual memisahkan diri dari Gereja. Perpisahan membawa kepada kebangkitan zaman renaissance yang membawa zaman baru kepada Eropah (Philip K. Hitti, Islam And The West, A Historical Culture Survey, D.Van Nostr and Company Incooperation, Prinston, New Jersey, 1962, hlm. 54).

Daripada kajian menunjukkan, walaupun timbul kesedaran Barat terhadap kepentingan ilmu pengetahuan selepas melalui zaman gelap abad ke 7, kegiatan terjemahan yang dilakukan oleh mereka, ialah terhadap buku-buku yang bersifat falsafah, ilmu-ilmu sains seperti fizik, stronomi dan perubatan. Mereka tidak berminat menterjemah karya-karya agama Islam sebagaimana dihasilkan oleh al-Ghazali, bidang perundangan dan akidah Islam yang agak banyak, kerana mereka secara sedar tidak bersedia menerima Islam, apalagi dalam masa yang sama berlaku pertentangan antara Kristian dan Islam yang membawa kepada siri peperangan Salib. Mereka berminat dengan ilmu-ilmu sains yang mau digunakan bagi membina kekuatan mereka yang berhasrat mengambil balik kekuasaan Islam di Spanyol dan digantikan dengan kekusaan Kristian.

Walau bagaimana Islam tidak saja menekankan aspek dan kemajuan lahir, tetapi juga menekankan aspek rohani. Kerohanian melibatkan ibadat dan tasauf, Manifestasi kerohanian Islam mencetuskan kelahiran karya-karya seni puisi, khat dan juga seni bina. Di dalam bidang puisi terkenal seperti Jalaluddin Rumi, Hafiz, Attar, Rabiah al-Adawiyyah dan sebagainya, manakala Khat lahir khat nasakh, thuluth, raq`ah, raihan dan sebagainya. Dalam bidang seni bina kita lihat seni-seni bina Islam yang rohani sifatnya masih tidak tertanding oleh senibina lain yang tidak tersentuh aspek rohani, contoh seni bina Islam di Isfahan, Samarqand, Taj mahal, Qutub Manar di India dan sebagainya (Schacht, Joseph & Bosworth, C.E. The Legacy of Islam, The Clarendonn Press, Oxford, 1974. hlm. Foto bahagian akhir).


Keadaan yang sama berlaku di Andalus, selain dari menghasilkan tokoh-tokoh dalam bidang sains, astronomi, perubatan dan fizik, turut terhasil di dalam bidang seni. Terdapat juga penghasilan di dalam bidang puisi, tetapi bidang yang menonjol ialah dari segi seni bina Islam di Masjid Cordova, al-Hamra` Granada, Siville dan sebagainya.
Ini menggambarkan Islam datang membawa sesuatu yang lengkap dari segi keislaman baik dari segi aqidah, syariat, akhlak-rohani, maupun dari segi keilmuan bahkan dari segi seni yang mnengharmonikan keseluruhan. Sesungguhnya Islam membina peradaban dan tamadun yang bukan faedahnya dinikmati umat Islam sahaja, tetapi oleh insan dan alam sejagat. Demikian Islam di Andalus mengangkat martabat Barat dari kegelapan kepada peradaban dan tamadun sejagat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment