BBB, 09 Syawal 1434 = 16 Ogos 2013 (Jumaat):
Daripada 5 buah puisi yang dibengkelkan di Port Dickson (10
– 23 November 2013) dua buah daripadanya Penulis hantarkan kepada Penyelenggara
bagi menerbitkan antologi `Puisi Siswa` UKM - saudara Zainuddin Ayip. Puisi
yang dibengkel dan dihantar ialah:
1) Hutan-Hutan
Batu
2) Hidup
Yang Diburu
Tiga buah puisi yang lain turut sama dihantar Penulis dan
diterbitkan di dalam `Puisi Siswa` berkenaan ialah:
a) Di
Suatu Persimpangan b) Jalanan Hidup c)
Pencari
Untuk menerbitkan sebagai buku termasuk mengandungi lima buah puisi Penulis di
atas, maka ianya memakan masa. Puisi yang dihantar pada akhir 1974 ini
diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1976. Lantaran itu
puisi-puisi di dalam Puisi Siswa turut dinilaikan untuk Hadiah Sastera bagi
tahun 1976. Daripada 38 puisi yang ditulis oleh 13 orang penyair kampus UKM
itu, maka puisi `Hidup Yang Diburu` dinilai oleh para Panel Penilai dan layak
menerima Hadiah Karya Sastera Malaysia
bahagian puisi.
Sebenarnya selepas
puisi `Hidup Yang Diburu` dibengkelkan, Penulis pernah merubahnya dengan agak
banyak, menurut antara cadangan dalam bengkel – termasuk membuang
lambang-lambang matematik, bahkan judulnya menjadi sebagaimana berikut:
Lebih dari ketetapan
Hidup ini
Bukan seperti ilmu pasti
Tiada ketepatan
Di sini kita berdiri
Detik ini segala bertukar ganti
Berhanyutan
Dan hari-hari yang pergi
Telah remuk dalam getaran sendiri
Segalanya tiada tetap pada paksi.
Hidup yang kita panahkan
Kijang liar
Darjah sasarannya harus lebih ke depan
Kiranya kita mau hidup
Lebih dari kekinian.
Ilmu pasti
Lojik yang mati
Hidup lebih dari ini.
Kolej Pertama, UKM,
20. 12. 1973.
Tetapi sebagaimana dikatakan, Penulis tidak semestinya patuh
dengan kritikan yang dihasilkan di dalam bengkel. Penulis menghantar kepada
penerbitan (Puisi Siswa) persis sebagaimana gubahan asal – sebelum
dibengkelkan. Di bawah diperturunkan teks puisi yang memenangi Hadiah Karya Sastera
Malaysia
bahagian puisi:
Hidup Yang Diburu
Hidup ini
Bukan seperti + - x -:-
Tiada ketepatan
Di sini kita berdiri
Detik ini segala bertukar ganti
Berhanyutan
Dan hari-hari yang lewat
Telah remuk dalam getaran sendiri
Segalanya tiada tetap pada paksi.
Hidup yang kita panahkan
Kijang liar
Darjah sasarannya harus lebih ke depan
Kiranya kita mahu hidup
Lebih dari kekinian.
+ - x -:-
Logik yang mati
Hidup lebih dari itu.
Kolej Pertama UKM, (Puisi Siswa, 1976)
20hb. Dis. 1973.
(Pasir
Biru, Antologi Sajak Dan Drama Hadiah Karya Sastera 1976, DBP, 1979: 42).
Dalam Laporan /Ulasan Panel Hadiah Karya Sastera 1976
menyatakan:
PUISI
Sepanjang tahun 1976 sebanyak 2,023 buah sajak, berbanding
dengan 1,730 dalam tahun 1975, telah diterbitkan di dalam buku, majalah dan
suratkhabar di tanahair. Selama setahun ini juga ada 20 kumpulan telah
dikeluarkan oleh beberapa penerbit dan orang perseorangan, tetapi kumpulan
dalam bentuk stensilan sudah pun berkurangan jika dibandingkan dengan dua atau
tiga tahun sebelumnya.
Pertambahan bilangan sajak yang dihasilkan itu
memperlihatkan keghairahan menulis puisi yang lebih besar di kalangan anak muda
kita. Kalau dalam tahun 1975 ada 505 orang penulis sajak, dalam tahun 1976 pula
bilangan ini meningkat kepada 628 orang. Meskipun begitu pertambahan ini
tidaklah melahirkan satu perkembangan baru dalam dunia puisi kerana apa yang
nampaknya berlaku ialah semacam kestabilan dari segi bentuk dan nilai.
Memanglah dalam tradisi seni kita tidak dapat selalu melihat
perubahan-perubahan atau pembaruan-pembaruan yang cepat dan besar, apa lagi
penulis-penulis yang menambah bilangan tahun 1976 ini adalah terdiri dari
anak-anak muda yang kebanyakannya baru mencuba-cubakan diri mereka dalam dunia
kesusasteraan.
(Tidak ada hadiah dikeluarkan bagi 20 kumpulan puisi, PANEL hanya
memberi pujian bagi tiga buah kumpulan puisi, iaitu Kaktus-Kaktus oleh Kemala,
Balada Cinta Seberang Benua oleh Firdaus Abdullah dan Nyanyian Malam oleh Siti
Zainon Ismail).
Dari 200 sajak yang dibawa ke dalam perbincangan terakhir 21
buah sajak yang ditulis oleh 13 penulis telah diputuskan untuk diberi hadiah.
Sajak dan penyair yang terpilih itu ialah:
1. Senja
Di Pedalaman, Mastika, Februari
1976 -
A. Latiff Mohidin
2. Pasir
Biru, Berita Minggu, 23.5.1976
- A. Latiff Mohidin
3. Songsang,
Utusan Zaman, 21.11. 1976 -
A. Latiff Mohidin
4. Papantanda
Kota, Dewan Sastera, September 1976 – T. Alias Taib
5. Setinggan,
Utusan Zaman, 29.8.1976 – T. Alias Taib
6. Giliran,
Dewan Masyarakat, November 1976 – Rahman Shaari
7. Hamparan
Kuning, Mingguan Timur, 6.6.1976 – Rahman Shaari
8. Bila
Tiba Waktunya, Masakini, 1976 – Jaafa Hs
9. Perjalanan
Dua Lima Yang
Pertama, Anak-Anak Senja, 1976 – Jaafa Hs.
10. Satu
Kebetulan, Mastika, Februari 1976 –
Zurinah Hassan
11. Salam
Perempuan Dari Penjara, Bila Kita
Berbicara, 1976 – Zurinah Hassan
12. Kita Perlu
Bersuara Setelah Diam Yang Lama, Bila Kita Berbicara, 1976 – Zurinah Hassan
13. Pada Setiap
Kali Kau Tiba, Ogos, Kaktus-Kaktus, 1976 – Kemala
14. Bahawa
Cinta Itu Kasihku, Kaktus-Kaktus, 1976 – Kemala
15. Masih Ada,
Dewan Sastera, Disember 1976 – Dharmawijaya
16. Menghadapi
Perjalanan Seorang Teman, Dewan Masyarakat, Mei 1976 – Jihaty Abadi
17. Hidup Yang
Diburu, Puisi Siswa, 1976 – Shafie Abu Bakar
18. Niagara , Dewan Sastera, Disember 1976 – Firdaus Abdullah
19. Ballada
Latiff Kepada Tuhan, Dewan Sastera, September 1976 – Mansur Ahmad Saman
20. Tanpa
Melakukan Kesalahan, Suara Merdeka, 12.12.1976 – Ma`arof Saad
21. Nyanyi
Daun-Daun, Dewan Sastera, November 1976 – Cheng Poh Hock.
Mengulas mengenai puisi `Hidup Yang Diburu` kata panel:
Shafie Abu Bakar dengan sajaknya`Hidup Yang Diburu` dengan
ringkas menyatakan bahawa hidup ini tidak dapat diduga dan diperhitungkan
secara tepat seperti menghisab sesuatu. Kehidupan adalah lebih dari ketetapan
itu, lebih rumit dan kompleks. Dengan menyedari akan hakikat itu penulis lalu
mengajak kita memikirkan secara lebih jauh dan kemas dari apa yang kita lihat
dan lakukan hari ini. Ini adalah sikap dan ajakan yang positif bagi menghadapi
hidup yang tak tetap pada paksinya. Itulah formula yang diberikan oleh penyair
kalau kita mau hidup dengan lebih sempurna dan memperbaiki kekinian kita.
Inilah bezanya antara perhitungan hidup dengan perhitungan logik. Penggunaan simbol
+ - x -:- dalam puisinya adalah mempunyai fungsi yang sesuai dengan ide yang
dibicarakan. Jadi simbol-simbol itu tidak ternampak sebagai hiasan saja,
malahan ia membantu memperkuatkan ide puisinya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment