October 22, 2013

Islam Dan Keilmuan: Kesan Kemasyarakatan


BBB, 16 Zulhijjah 1434 = 21 Oktober 2013 (Isnin):

Telah dibincangkan sejak menerima Islam mulai akhir abad ke 13M. yang bukti jelas dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu bertarikh 4 Rajab 702H/22 Februari 1303M. (Penerimaan Islam semestinya sebelum dari tarikh pengisytiharan ini), maka Terengganu mengalami tiga gelombang pengislaman dan keilmuan selari dengan perkembangan keislaman dan keilmuan di Alam Melayu.

Gelombang pertama ialah penerimaan Islam itu sendiri yang serentak dengan pengislaman ialah penerimaan tulisan Jawi yang menjadi alat terpenting di dalam mempelajari Islam dan penyebaran Islam itu sendiri.  Penerimaan Islam dan keperluan membaca al-Qur`an dan keilmuan Islam menjadi dorongan kepada penerimaan tulisan Jawi. Penerimaan tulisan Jawi adalah satu sejarah penting di dalam peradaban Melayu. Dengan penerimaan tulisan Jawi merupakan satu revolusi keilmuan dan pendidikan di dalam peradaban Melayu. Sebelum dari itu belum ada tradisi penulisan yang berkembang di tengah masyarakat sebagai mekanisme pembelajaran. Dengan penerimaan tulisan Jawi keilmuan Islam disampaikan melalui penggunaan tulisan tersebut. Meskipun pada gelombang pertama Keislaman dan Keilmuan berdasarkan Batu Bersurat Terengganu, tanpa diketahui bahan-bahan pengajaran yang lain, tetapi sudah cukup memberi maklumat, bahawa aqidah Islam yang berpegang kepada falsafah tauhid disampaikan, hukum hakam keislaman dilaksanakan, turut dilaksanakan muamalat keislaman seperti hutang piutang dan kesalahan jinayah. Terengganu tidak bersendirian di dalam menerima Islam, tetapi sezaman dengannya ialah Pasai yang juga menerima Islam sejak akhir abad ke 13M. Bersama dengan perkembangan Islam dikedua buah negeri berlakunya hubungan dagang antara kedua negeri tersebut. Kehadiran Islam telah menerima bahasa Melayu yang sebelumnya bersifat pinggiran, menjadi bahasa perantaraan dalam penyampaian ilmu-ilmu keislaman, bahkan menjadi lingua franca di Alam Melayu.
(Syed Muhammad Naguib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur, 1972: 42-43).

Gelombang kedua keislaman dan keilmuan berlaku mulai abad 17, iaitu dengan kelahiran tokoh ulama` Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk Pulau Manis) yang hidup kira-kira (1633-1726). Ada beberapa keistimewaan pada gelombang kedua. Tuk Pulau Manis ulama yang belajar di Makkah sezaman dengan Shaykh Abdul Rauf Singkel.  Pada zaman tersebut Terengganu mulai menerima kesultanan dari Johor, iaitu Sultan Zainal Abdin I, yang Tuk Pulau Manis terlibat sama dengan perlantikan di Tanjung Baru, Hulu Terengganu (1725) bahkan Sultan mengahwini anak Tuk Pulau Manis. Jadi keilmuan yang dikembangkan oleh Tuk Pulau Manis melalui institusi pengajian pondok yang diasasnya bermula di Kg. Pauh Hulu Terengganu dan dikembangkan di Pulau Manis berikut dengan penghijrahan Sultan Terengganu ke Kuala Trengganu. Keilmuan Islam dikembangkan seperti keilmuan aqidah dan fiqh melalui karangan-karangan Tuk Pulau Manis seperti Kifayah, Kitab Naql, Kayfiyah al-Niyyah dan pada peringkat yang lebih tinggi ialah pengajian tasawuf melalui kitab Hikam Melayu dan berbagai-bagai kitab yang lain. Jika pada gelombang pertama semasa di Hulu Terengganu, Terengganu mempunyai hubungan yang rapat dengan Pasai, maka pada gelombang kedua Terengganu mempunyai hubungan rapat dengan Aceh yang merupakan Negara yang maju yang mengambil alih peranan Melaka setelah dikuasai oleh Portugis. Terengganu juga mempunyai hubungan dari segi tradisi keilmuan. Tuk Pulau Manis dipercayai pernah belajar di Aceh dan berguru dengan Shaykh Abdul Rauf Singkel sebelum ke Makkah. Beliau juga berguru dengan guru Shaykh Abdul Rauf Singkel semasa di Makkah iaitu Shaykh Ibrahim al-Kurani al-Kurdi, lantaran itu kitab-kitab aliran sunni yang dikarang oleh ulama ` Aceh seperti oleh Shaykh Nuruddin al-Raniri dan Shaykh Abdul Rauf Singkel digunakan juga di dalam pengajian di Terengganu, di samping Hikam Melayu digunakan di dalam pengajian-pengajian di luar dari Terengganu. Pada gelombang kedua keilmuan Islam makin berkembang dengan kedudukan politik negeri Terengganu yang makin mantap.
(Shafie Abu Bakar, Persuratan Melayu: Pengucapan Tamadun Islam, dlm. Tamadun Islam di Malaysia, diselenggarakan oleh Mohd. Taib Osman dan A. Aziz Deraman, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2000: 416).

Gelombang ketiga ialah puncak tradisi keislaman dan keilmuan di Terengganu dengan wujudnya pemerintahan yang kukuh di Terengganu di bawah Baginda Umar (1839-1876) dan Sultan Zainal Abidin ke III (1881-1919). Pada masa mereka berlakunya pengukuhan pentadbiran yang ditokohi pentadbir-pentadbir antaranya dari Pulau Duyung seperti Wan Abdullah bin Mohd Amin (Tuk Shaykh Duyung) dan turunan mereka,  dan semaraknya Terengganu dengan keilmuan, iaitu penerusan Tradisi Pengajian Tuk Pulau Manis yang berkembang di Beladau-Sungai Rengas yang melahirkan ulama seperti Abdul Jamal Beladau dan Haji Abdul Malik bin Isa yang sezaman dengan Sultan Baginda Umar, juga kelahiran tokoh ulama ` terkenal iaitu Shaykh Abdul Kadir Bukit Bayas yang menyadur kita Nasihat Segala Raja-Raja yang antara naskhahnya dimiliki oleh Sultan Zainal Abidin III. Satu Institusi keilmuan yang penting ialah lahirnya ulama` dari kalangan Syed di Terengganu, iaitu Syed Muhammad bin Zainal Abdin yang banyak mengarang Nazam dan anaknya Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad (Tukku Paluh) ulama` yang mengarang kitab Ma`arij al-Lahfan. Ulama-ulama di atas rapat dengan pemerintah Terengganu seperti Haji Abdul Malik bin Isa dan Shaykh Abdul Kadir Bukit Bayas rapat dengan pemerintahan Baginda Umar, dan Haji Muhammad bin Abdul Malik sebagaimana Tuk Shaykh Duyung dan Syed Abdul Rahman bin Muhammad rapat dan menjadi kadhi,  mufti dan Shaykh Ulama pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin ke III.

Pada akhir abad 19 negeri Terengganu adalah negeri yang kukuh dari segi pemerintahan dan mantap dari segi keilmuan. Pelajar-pelajar yang belajar di Terengganu bukan saja bersifat tempatan, tetapi dari luar dari Terengganu seperti dari Patani, Johor dan Pahang. Pahlawan Mat Kilau dan pahlawan-pahlawan dari Pahang yang memberontak menentang British pernah datang berlindung dan belajar seperti di Pondok Pengajian di Sungai Rengas dan turut belajar dengan Tukku Paluh pada 1990an. Pengaruh keilmuan meresap ke tengah masyarakat. Pihak Sultan dan pentadbir mempunyai hubungan rapat dengan ulama`. Tukku Paluh misalnya sebagai Shaykh al-Ulama` berperanan sama dalam merangka perlembagaan negeri - Itqan al-Muluk bi Ta`di al-Suluk yang memasukkan peruntukan bahawa:
                         
                                    Fasal 14
                          Tegahan Di Atas Raja
Maka tiada lulus dan tiada sah sekali-kali Raja membuat perjanjian atau menyerahkan negeri dan kerajaannya atau suatu bahagian daripada kuasa kerajaan atau hukuknya itu kepada sebarang mana-mana kerajaan atau kepada kuasa-kuasa bangsa Eropah atau lainnya.
(Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Cetak Kerajaan, Kuala Lumpur, 1973).

Peruntukan ini dimasukkan bagi menghalang kuasa penjajah mencampuri hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri Terengganu. Penjajah British memang berusaha untuk menguasai negeri Terengganu sebagaimana British telah menguasai negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Bahkan tanpa melalui rundingan dan persetujuan negeri Terengganu British telah memasukkan negeri Terengganu sebagai negeri naungannya melalui perjanjian 1919 antara British dengan Siam.
(Shafie Abu Bakar, Peranan Ulama Dan Kesannya Terhadap Sikap Anti Penjajahan Dengan Rujukan Kepada Pengajaran Tasawwuf Sayid Abdul Rahman Bin Muhammad (Tok Ku Paloh) Berasaskan Karangannya Ma`arij Al-Lahfanm dlm. Masyarakat Melayu Abad Ke 19, Jawatankuasa Kolokium, Dewan Bahasa Dan Pustaka,, Kuala Lumpur, 1991: 185).

Dengan nilai Islam yang tebal di kalangan masyarakat di Terengganu, maka campur tangan British di Terengganu mencetuskan penentangan-penentangan di Terengganu terhadap British yang disifatkan sebagai bangsa kafir itu, seperti penentangan jihad yang dicetuskan oleh Haji Abdul Rahman Limbong (Abdul Rahman bin Abdul Hamid) dan pengikut-pengikutnya di Hulu Terengganu pada tahun 1921. Kemarahan terhadap campur tangan British ini membawa kepada penentangan terbuka yang dikenali sebagai Pemberontakan Tani 1928.
(Rahmat Bin Saripan, Kegelisahan Sosial Pada Tahun-Tahun 1920-an Di Terengganu, Pesaka II, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, 1984: 1- 23).
Sikap anti penjajahan ini adalah merupakan hasil dari pendidikan yang dipupuk oleh Islam sejak penerimaan Islam di Terengganu.

Sesungguhnya fajar Islam di Tanah Batu Bersurat melahirkan ulama-ulama dan kitab-kitab yang memupuk masyarakatnya dengan nilai-nilai Islam yang terus menjadi identiti yang kukuh bagi rakyat dan negeri Terengganu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment