October 6, 2013

Gelombang Ketiga Tradisi Keislaman Dan Keilmuan Islam Di Terengganu


BBB, 29 Zulkaedah 1434 = 05 Oktober 2013 (Sabtu):

Perbincangan yang lepas melibatkan dua gelombang utama di dalam tradisi keislaman dan keilmuan di Terengganu, iaitu Tradisi keislaman dan keilmuan pada zaman Batu Bersurat, iaitu pada peringkat menerima Islam dan menerima kunci keilmuan, iaitu penerimaan tulisan Jawi yang terbukti pada Batu Bersurat Terengganu. Manakala Gelombang Kedua, ialah merupakan peringkat pengisian yang memerlukan masa yang agak lama. Penerimaan Islam dan kunci keilmuan tidak dapat menghasilkan keilmuan tanpa usaha mempelajari ilmu pengetahuan keislaman dan menyebarkannya ke tengah masyarakat. Kita telah melihat pembelajaran terhadap keilmuan telah berlaku. Ada pelajar telah menimba ilmu pengetahuan keislaman dari sumbernya langsung, iaitu dari Makkah seperti yang dilakukan oleh Shaykh Abdul Malik bin Abdullah. Keilmuan yang dipelajari dan pelajar-pelajar yang mempelajarinya menjaringkan hubungan antara pusat-pusat keilmuan dan kemajuan pada zaman tradisi seperti dengan Pasai, Melaka dan Aceh. Tradisi Keislaman dan Keilmuan menjadi kukuh dengan kelahiran ulama dan tradisi pengajaran mulai dari pertengahan abad ke 17 ke akhir abad ke 19. Satu faktor yang menarik bahawa dengan perkembangan Islam dan perluasan keilmuan Islam dengan menggunakan bahasa Melayu dan tulisan jawi meningkatkan bahasa Melayu yang pada asalnya sebagai bahasa bertaraf rendah dan pinggiran menjadi bahasa keilmuan dan juga lingua franka di Alam Melayu. Bahasa Arab menjadi bahasa Ilmu bagi keilmuan Islam, lantaran itu selepas penerimaan Islam banyak istilah-istilah keislaman masuk ke dalam bahasa Melayu.

Gelombang ketiga dari tradisi keislaman dan keilmuan ialah gelombang pemantapan dari segi keislaman dan keilmuan dalam konteks zaman tradisi iaitu pada akhir abad ke 19 hingga ke awal abad 20. Pemantapan berlaku akibat wujudnya pemerintahan yang mantap dan pentadbiran yang cekap. Pada akhir abad 19 Terengganu adalah sebuah negeri yang aman. Negeri Terengganu sejak pemerintahan Baginda Umar (1839-1876) dapat menyediakan tapak yang kukuh bagi kemajuan negeri Terengganu  yang puncaknya berlaku pada masa di bawah pemerintahan Sultan Zainal Abidin ke III (1881-1919) seorang Raja yang Alim dan amat meminati ilmu pengetahuan.

Keamanan dan kegiatan Keilmuan di Terengganu telah menarik minat beberapa pihak terhadap Terengganu. Ianya menjadi destinasi pelarian dari negeri Patani yang menghadapi  tekanan dari pihak Siam. Menurut sejarah sehingga Abad ke 17, kawasan dari Semenanjung Kra membawa ke Selatan Tanah Melayu adalah termasuk di bawah negeri negeri Melayu, tetapi selepas dari abad tersebut Siam telah menjalankan dasar mencerobohnya ke atas negeri-negeri Melayu di selatan hingga tahun 1769 kekuasaan Siam telah tiba ke sempadan Petani setelah menguasai beberapa negeri Melayu seperti Legor, Petalong dan Senggora yang kemudian ditukar namanya kepada Nakorn Si Thamarat, Pethalong  dan Songkhla. Kerajaan Patani pada mulanya mengandungi 9 jajahan yang tersendiri, iaitu Chana,Thaepa, Patani, Yala, Raman, Rangae, Nongchik, Yamu (atau Yaring) dan Narathiwat. Kawasan-kawasan ini menghadapi serangan dari Siam berterusan pada tahun-tahun 1603, 1632 dan 1633, tetapi dapat mempertahankan kedaulatan hinggalah 1786, negeri-negeri tersebut jatuh ke tangan Siam. Pemberontakan timbul terhadap Siam tahun-tahun 1789-91, 1808 dan peperangan 1832  merupakan kekalahan terakhir akibatnya berlaku pelarian politik  secara besar-besaran ke negeri-negeri sempadan seperti Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
(The Muslim Malays of South Thailand,  A History of Their Struggle for survival as Muslims Against Thai Oppression and Their Future, The Islamic Review & Arab Affairs, Nov- Dec, 1969, hlm. 16 -23).
Juga Buyong Adil, Sejarah Terengganu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1974: 72).

Daripada pelarian tersebut antaranya melimpah ke Terengganu. Ada beberapa peringkat pelarian. Penulis masih ingat bagaimana ninda penulis pada masa hayatnya ditahun-tahun 1960an menceritakan sejak pertengahan abad ke 19 moyang kami melarikan diri ke Terengganu sesudah kalah perang pada tahun 1830an itu. Dia dapat menitih nama-nama dari keturunan  `Wan`  kami yang penulis catat hingga kepada generasi sepuluh ke atas. Generasi kelima kami melarikan diri setelah kalah perang antaranya mendarat dan membuka Hiliran, Kuala Terengganu, ada pecahan yang lain membuka Kg. Kebul, Kg. Kesum dan Kg. Leret di Kuala Terengganu dan satu pecahan daripada mereka ke Paka, membuka Kg. Tebing Tembah, Paka.

Antara pelarian yang tiba di Terengganu ialah dari kalangan intelektual dan berkedudukan di Patani, contoh keluarga Shaykh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fatani yang tinggal di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, satu dari turunannya lahir di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, iaitu Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani yang mengarang kitab Matla` al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn. Tetapi keluarga ini tidak kekal di Terengganu, sebaliknya berpindah dan menetap di Makkah. Adalah dijangka hubungan antara Haji Abdul Malik bin Isa dari Sungai Rengas dengan keluarga Petani di Pulau Duyung, khususnya dengan keluarga Shaykh Daud al_Fatani berlaku sejak di Terengganu yang membawa Haji Abdul Malik ke Makkah berguru dengan Shaykh Daud al-Fatani.

Ada dua keluarga lagi dari Patani yang terkenal yang berpindah ke Kuala Terengganu, iaitu Haji Wan Abdullah bin Wan Mohd. Amin yang merupakan tokoh ulama terkenal. Sebelumnya oleh kerana keluarga ini mempunyai pertalian dengan keluarga Shaykh Daud Patani membolehkan beliau sama ke Makkah dan turut berguru dengan Shaykh Daud di sana dan guru-guru lain. Kembali ke Terengganu terkenal sebagai tokoh ulama kerana kealimannya beliau digelar sebagai `Lidah Terengganu`` yang juga dikenali dengan `Tuk Shaykh Duyung`. Sebagaimana orang Tua Haji Wan Abdullah adalah seorang Kadhi di Patani, maka beliau juga berkhidmat sebagai kadhi dan kemudian menjadi Mufti. Ulama` ini berkesempatan berkhidmat di bawah dua Sultan Terengganu terkenal iaitu Baginda Umar (1839-1876) dan Sultan Zainal Abdin III (1881-1919).
(Mohamad Bin Abu Bakar, Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Mohd. Amin (Tok Syeikh Duyong, Pesaka IV, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, 1987: 76).

Seorang lagi tokoh yang datang dari Petani dan menetap di Bukit Bayas, Kuala Terengganu ialah Haji Abdul Kadir Bukit Bayas. Beliau adalah dari keluarga yang sama dengan Haji Wan Abdullah bin Mohd. Amin. Beliau mengajar di Bukit Bayas dan berkesempatan dengan Sultan Baginda Umar dan Sultan Zainal Abidin Ke III. Baginda turut berguru dengan kedua ulama tersebut selain dari turut sama ke Makkah dan mwndapat peluang mendalami keilmua Islam di sana.

Satu lagi jalur keturunan yang memberi kesan kepada peningkatan keislaman dan keilmuan Islam di Terengganu ialah turunan Sayyid. Berlainan dari tokoh-tokoh dari Petani yang diakibatkan oleh tekanan politik di Siam yang menyebabkan mereka dan keluarga mendapat perlindungan, bahkan memberi sumbangan bakti kepada negeri Terengganu. Turunan Sayyid dimaksudkan ialah Sayyid Zainal Abidin seorang pedagang beras dari jawa telah datang berniaga dan menetap di Kuala Terengganu. Beliau sebagai pedagang tidaklah memberi kesan kepada tradisi keislaman dan keilmuan di Terengganu, tetapi dari turunannya yang mendapat pendidikan tempatan dan antaranya ke Makkah menyemarakkan perkembangan ilmu dan budaya politik bagi negeri Terengganu.

Dapatlah dilihat bahawa identiti Terengganu yang terbina selama ini yang berorientasikan Islam dan keilmuan Islam menjadi lebih meningkat dengan kehadiran tiga jalur keturunan, iaitu Haji Wan Abdullah bin Wan Mohd. Amin yang terlibat di dalam bidang keilmuan dan pentadbiran, Tok Shaykh Kadir Bukit Bayas yang menyemarakkan perkembangan Ilmu dan kehadiran Sayyid ke Terengganu, iaitu turunan Sayyid Zainal Abidin  yang melahirkan tokoh ulama & Sasterwan Sayyidd Muhammad yang terkenal dengan panggilan (Tuan Besar) dan anaknya Sayyid Muhammad iaitu Sayyid Abdul Rahman yang terkenal dengan panggilan (Tuan Paluh) menyemarakkan Terengganu dengan keislaman Ilmu pengetahuan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment