BBB, 04 Zulhijjah 1434 = 09 Oktober 2013 (Rabu):
Nasihat yang terkandung di dalam Kitab Nasihat Segala
Raja-Raja, bukanlah sembarangan nasihat, tetapi adalah berprinsipkan al-Qur`an,
Hadith Nabi, pendapat-pendapat khalifah, sahabat, tabiin, sultan yang adil,
wazir yang bijaksana, hukama`, budayawan umat dan contoh tauladan dari hikayat,
cerita, amthal dan ibarat yang diperturunkan di dalam karangan.
Sebagaimana dibicarakan, bahawa Kitab Nasihat Segala
Raja-Raja ini adalah kandungan dari satu bab – Bab tiga tentang pemimpin (imam)
dan pendukung-pendukungnya serta syarat-syarat dan keterangan mengenai
perjalanan para khalifah, sultan yang adil dengan segala syaratnya dan pada
menyatakan syarat segala wazir yang bijaksana dan laluan mereka itu.
Fasal Pertama:
Kata segala `ulama`, bahawa menjadikan raja itu fardu atas
segala Islam dan wajib mengikutkan dia pada segala pekerjaannya yang berlaku
dengan syara`, jika ada ia zalim sekalipun berdasarkan firman Allah:
(Al-Nisa`, 4: 59)
Bermaksud:
``Hai segala mereka yang percaya, berbuat baktilah kamu
kepada Allah dan PesuruhNya dan ikut oleh kamu akan yang mengampukan pekerjaan
daripada kamu.
Sabda Nabi salla Allah `alayhi wa sallam – bermaksud:
``Barang siapa mati itu tiada diketahuinya dan tiada
dikenalnya raja pada masanya itu, maka sanya ia mati dengan kematian yang
derhaka.
Hujah pengarang, ``Dari kerana itulah didahulukan segala
sahabat radiya Allah `anhum menjadikan khalifah daripada menanamkan Nabi salla
Allah `alayhi wa sallam.
Di dalam hal ini Nabi s.a.w. juga bersabda bermaksud:
``Barangsiapa enggan daripada menurut yang mengampukan
kerajaan, tatkala di hadrat Allah Ta`ala pada hari kiamat tiadalah suatu hujjah
baginya dan barangsiapa mati tiada pada batang lehernya suatu perjanjian, maka
matilah ia dengan kematian derhaka.
Dan sabda Nabi salla Allah `alayhi wa sallam bermaksud:
`Barang siapa berbuat baktikan kepada raja serasa berbuat
bakti akan daku dan barang siapa berbuat
bakti kepadaku serasa berbuat bakti akan Allah, masuklah ia ke dalam syurga.
(Banyak lagi ayat Qur`an dan Hadith yang mengukuhkan hujah
bagi persoalan di atas).
Penulis juga mengambil pendapat tokoh Islam – yakni kata
Luqman al-Hakim bermaksud:
``Hai anakku, jangan engkau peringan-ringankan tatkala
engkau mengadap segala raja-raja, maka jika ringankan akan dia nescaya
dijadikannya engkau seorang laki-laki yang hina daripada segala yang hina.
Turut diambil pendapat dari raja dan pemikir bukan Islam.
Menurut kata Bahram (Raja Parsi) bermaksud:
``Barang siapa meringankan titah segala raja-raja kepadanya
dan kebesarannya daripada tiap-tiap barang yang dititahkan rajanya kepadanya,
maka seharusnyalah hiram mukanya dan datanglah kepadanya kecelakaan.
Kata Aflatun al-Hakim bermaksud:
``Apabila sesuatu bicaralah segala hulubalang akan dengan
segala raja-raja, maka hendaklah segala rakyat itu ia bersegera menurut titah
raja itu, maka jika tiada ia bersegera menurut hukum raja itu ialah yang
pertama dimurkainya.
Berkata Aristotlis bermaksud:
``Hakim apabila diserupainya oleh hulubalang akan segala
raja-raja pada suatu pekerjaan atau pada suatu perbuatan atau pada suatu
perkataan atau pada suatu perangai sesungguhnya seharusnyalah kesakitan dan
datanglah atasnya kutuk dan bala dan cerca.
Di dalam hal taat kepada pemerintah, maka diperingatkan
dengan sabda Nabi s.a.w. bermaksud:
``Tiada harus mengikut bagi segala makhluk pada berbuat
derhaka akan Yang Menjadikannya.
Untuk fasal ini dibawa satu kisah:
Sekali persetua pada suatu hari ditanyai orang hakim, apa
terafdal segala raja-raja itu perkasakah atau adilkah. Kata Hakim apabila adil
segala raja-raja itu tiadalah kehendak ia kepada perkasa kerana tiada
dikehendaki pada raja-raja melainkan adil pada rakyatnya jua seperti sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
``Demi yang yaitu nyawa
Muhammad pada tangan QudratNya bahawasanya diangkatkan amal raja yang
adil kepada langit seperti amal kebajikan segala rakyatnya dan tiap-tiap
sembahyang yang menyembahyangkan raja yang adil itu menyamai kebaktian tujuh puluh
tahun.
Fasal Kedua
Fasal Kedua (paling panjang 126 hlm. drp. 178 hlm.) pada
menyatakan kelakuan Segala Khalifah.
Dan segala raja-raja yang dahulu kala dan segala kisah
mereka itu supaya mengambil ibarat dan insaf segala yang budiman pada menengar dia
seperti firman Allah Ta`ala yang tersebut
dalam al-Qur`an l-`Azim:
(Taha, 30: 128) bermaksud:
Bahawasanya pada demikian itu ibarat jua pada segala orang
yang budiman.
Di dalam fasal ini tidak disebut nasihat dan pengajaran
secara direct, tetapi nasihat adalah melalui berpuluh-puluh cetera yang dibawa
di dalam fasal kedua. Kesimpulan dapat ditarik dari cetera-cetera berkenaan.
Ayat-ayat Qur`an digunakan bagi mengukuhkan perutusan dari kesah dan cerita,
iaitu:
(Hud, 11: 120)
bermaksud:
``Tiap-tiap kami certerakan kepadamu (Ya Muhammad) daripada
certera segala Rasul yang menetapkan dengan certera itu hatimu supaya bertambah
yakin dan tetap hatimu.
Contoh cerita semut berjalan di atas dada Nabi Allah
Sulaiman yang sedang tidur, apabila dirasa semut diangkat dan dibuangkan dengan
kasar yang menyebabkan semut memprotes dan mengingatkan kita semua hamba Allah
yang perlu insaf dan berlemah lembut. Dari cerita semut diambil pengajaran
bahawa jangan bersifat sombong, jangan menegah dari permintaan seseorang hamba
Allah dan dengan kebesaran kita jangan menegah orang yang tumpang berlindung.
Daripada cetera ini diberi Nasihat:
Sayugianya bagi segala raja-raja menahani dirinya daripada
anianya. Lihatlah hal semut dengan Nabi Allah Sulaiman alayh al-salam, betapa
ia berkata-kata dengan insaf ia akan dirinya minta maaf kepada semut dengan
melihat Qahhar Allah Ta`ala.
Cerita berkenaan Amirul Mu`minin Umar Ibn al-Khattab dan
Umar Ibn al-Aziz agak banyak.
Contoh cerita Amirul Mu`minin Umar Ibn al-Khattab yang
meronda malam dan mendengar rintihan kelaparan ibu dengan anaknya yang merebus
batu bagi melalaikan anaknya dari kelaparan. Umar menjadi insaf dan menyedari
tanggungjawab dengan membawa sendiri tepung dan makanan kepada perempuan
bersama dengan anaknya.
Cerita perutusan negeri Rum ke Madinah mau menyampaikan
bingkisan kepada Umar. Bila ditanya dan ditunjuk Umar sedang berbaring di atas
tikar di bawah pokok. Utusan terkejut berbanding dengan Raja Rum berada di
istana yang hebat, sedang Umar sama dengan detik nadi dan kesusahan rakyat.
Cerita Khalifah Umar ibn al-Aziz yang walaupun waktu
pemerintahannya pendek, tetapi penuh perhatian pada rakyat hingga dizamannya
begitu banyak dengan hasil mahsul dan hasil zakat, tetapi sukar untuk mendapat
orang miskin untuk dikeluarkan zakat. Ironinya masa kematiannya tidak ada
sebarang harta yang ditinggalkan kecuali sebilah pedang dan satu mushaf jua.
Umar Abdul Aziz tidak menggunakan harta kerajaan untuk
kegunaan peribadi, beliau mengasingkan minyak pelita kegunaan peribadi dari
harta kerajaan, Turut diceritakan cetera Khalifah Harun al-Rashid dengan
berbagai cerita seperti baginda dengan Sufyan al-Thawri melalui surat-surat
nasihat yang mengingatkan supaya amanah dengan harta kerajaan, perlu laksanakan
keadilan dan berbagai cerita berhubung dengan tokoh yang dapat dijadikan contoh
dan tauladan seperti cerita tentang Abdullah Yafi`, Nadil bin Rabi`, Fudail bin Iyad, Fakhr al-Din bin Razi dan
al-Busiri.
Dari cerita-cerita yang dibawa diharap pihak pemerintah mengambil
tauladan di dalam menjalankan pemerintahan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment