November 1, 2013

Kegiatan PELITA

-->
BBB, 26 Zulhijjah 1434 = 31 Oktober 2013 (Khamis):

Persatuan Sasterawan Muda Terengganu (Pelita) adalah sebuah persatuan penulis yang aktif. Salah satu faktor yang menjadikan Pelita bergerak maju oleh kerana Pelita dipimpin oleh AJK yang bukan saja aktif, tetapi mereka juga adalah penulis-penulis di dalam berbagai bidang. Bila ada kursus-kursus yang dianjurkan selain dari menjemput tokoh-tokoh luar menyampaikan kursus, mereka sendiri melengkapkan kursus dengan bimbingan. Atau mereka sendiri boleh mengendalikan kursus sama ada pada peringkat negeri atau pergi ke cawangan-cawangan di daerah-daerah yang ada cawangan Pelita, atau badan-badan atau sekolah-sekolah yang menganjurkan kursus penulisan.

Sebagaimana disebutkan Dato` Rashid Ngah adalah tokoh yang mencipta nama di dalam bidang cerpen dan novel. Dia dapat dijadikan contoh oleh penulis-penulis, jika dia bercakap di dalam bidang penulisan adalah percakapan orang yang berpengalaman, selain dari dia adalah seorang pemimpin yang dihormati dan disegani, AJK lain seperti saudara Othman Omar juga seorang penulis cerpen, puisi dan esei. Sharif Putera adalah seorang cerpenis yang karyanya sering keluar dalam akhbar-akhbar dan majalah, saudara Ahmad Kasim Endut seorang dramatis yang banyak menulis skrip drama yang dramanya sering dipentas dan keluar di udara dan diterbitkan secara tulisan. Saudara Abdul Rahman C.M, juga giat di dalam menulis cerpen dan sering mendapat tempat di dalam akhbar-akhbar dan majalah. T.Alias Taib adalah seorang penyair yang meningkat pada peringkat nasional di dalam bidang puisi. Dia mempunyai stail dan identity sendiri dalam pengucapan puisi yang memikat dari segi imaginasi dan bahasa, walaupun yang diperkatakan tema biasa. Beliau tokoh besar penyair yang sering memenangi hadiah-hadiah sastera. Beliau banyak menghasilkan kumpulan puisi dan antologi bersama. Ismail al-Falah juga seorang novelis, manakala saudara Zakaria Mas dan saudara Azhar Ibrahim penulis-penulis esei. Saudara Hussein Muhammad dan Maznah Ali menulis puisi. Jadi dengan latar belakang dan pengalaman masing-masing sedemikian, mereka mampu memimpin dan membimbing.

Demikianlah Pelita mengadakan berbagai kegiatan. Misalnya Pelita menganjur penulisan rencana, drama radio, pentas dan tv bermula dari bulan Mac 1972 secara bersiri dan memakan masa 4 bulan (hujung minggu). Menurut Setiausaha saudara Sharif Putera.
``Kursus bertujuan memperdalam bakat yang sedia ada pada saudara-saudara dan mencari lebih ramai penulis-penulis muda dan bidang-bidang penulisan berkenaan.`
Kursus adalah percuma dan bersifat praktikal.

Kursus penulisan berbagai bidang juga diadakan pada bulan Jun 1972 yang disampaikan oleh tokoh-tokoh penulis terkenal. Pelita juga mengadakan kursus kewartawanan, kuis satera di Sekolah-sekolah yang berguna bagi pelajar-pelajar menghadapi peperiksaan.

Selain dari mengadakan berbagai kursus, Pelita juga memberi peluang kepada penulis-penulis muda menghasilkan karya untuk diantologikan, Misalnya membuat siaran kepada penulis-penulisnya menghasilkan cerpen bagi dimuatkan di dalam antologi cerpen. Penerbitan juga dilakukan di dalam bidang puisi. Antara antologi yang pernah diterbitkan ialah Rona – drama, cerpen dan puisi, Mencari Pertemuan (puisi) dan Warna Kemesraan (puisi).

Seawal Hadiah Sastera diadakan, maka kita dapati cerpenis Ahmad Kassim Endut memenangi Hadiah Cerpen dan Nor Aini Muhammad juga Aina M, dari Pelita memenangi hadiah di dalam bidang puisi. Berikut dari itu ramai lagi yang turut memenangi Hadiah Sastera bila diumumkan pemenang-pemenang. Pelita juga turut menobatkan ahli sebagai tokoh penulis negeri dari kalangan penulia-penulis di negeri Terengganu

Selain daripada itu Pelita juga pernah dipertanggungjawab oleh pihak Gapena menjadi tuan rumah bagi kegiatan sastera peringkat nasional seperti mengadakan Seminar Sastera dan Agama yang menerbitkan buku Sastera dan Agama dan pada 24-27 Julai 1978 mengadakan Hari Sastera di Kuala Terengganu secara besar-besaran yang mengambil tema Sastera dan Islam. Tokoh-tokoh yang mengambil bahagian ialah Yang Amat Berhormat Dato` Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad Menteri Besar Terengganu, Prof. Dato` Ismail Hussein Ketua Satu Gapena, Prof. Dr. Syed Hussein al-Attas, Haji Rosehan Anwar (Indonesia), Shahnon Ahmad, Hamdan Hassan, Abdul Rahman al-Ahmady, Aziz Deraman, Hashim Musa, Dr. Sidi Ghazalba dan Shafie Abu Bakar. Semua kertaskerja dibukukan dengan judul Kesusasteraan Melayu Dan Islam (1980).

Kita dapati banyak kegiatan sastera di negeri Terengganu dikaitkan dengan agama Islam, Ini ialah kerana imej negeri itu yang rapat dengan Islam. Di Terengganu diketemui Batu Bersurat yang menandakan pengislaman negeri Terengganu dan penggunaan tulisan Jawi 702H./1303M. di samping rakyatnya yang relatifnya kuat berpegang dengan Islam. Lantaran itulah diadakan Simposium Sastera dan Agama dan Hari Sastera yang bertemakan agama sebagaimana yang disebutkan di atas.

Selain dari itu usaha dilakukan oleh Pelita dengan kerjasama kerajaan negeri ialah mengadakan Peraduan Novel Berunsur Islam. Cerita-cerita berunsur agama memang terdapat di dalam kesusasteraan Islam seperti cerita mengenai nabi-nabi, cerita-cerita daripada al-Qur`an dan tokoh-tokoh di dalam Islam. Bagi Novel sebagai cerita moden dengan mengambil aspek-aspek agama dan peristiwa yang berhubung dengan tokoh Islam dibimbangi menimbulkan kontroversi, sebab itu beberapa perbincangan dibuat terlebih dahulu, bahkan seminar mengenai novel Islam di adakan oleh Pelita yang Penulis sendiri pernah membentangkan kertas kerja mengenai `Konsep Novel Islam`, Beberapa siri Pertandingan Menulis Novel Berunsur Islam di adakan yang menghasilkan novel `Kuingin Kasihmu` yang dimenangi oleh novelis wanita dan Fajar Di Hujung Malam (1992) oleh Hasan Ali. Bagi memperkukuhkan imejnya sebagai Persatuan Penulis yang komited dengan peraduan penulisan kreatif berunsur Islam dengan ditunjangi oleh Kerajaan negeri Terengganu, maka Pelita juga menganjurkan peraduan menulis puisi berunsur Islam yang menghasilkan kumpulan puisi Sekepal Tanah (1995) oleh Rahimidin Zahari. Dengan penganjuran pertandingan-pertandingan sedemikian Pelita memperkukuhkan diri membina imej sebagai sebuah badan yang komited dengan perkembangan sastera umum dan yang khusus bertemakan agama Islam.

Dengan situasi mutakhir dengan sastera dipinggir oleh masyarakat dan makin berkurangnya kegiatan sastera dan keringnya penerbitan-penerbitan memberi ruang pada sastera, maka kita juga melihat Pelita makin kurang minyaknya dan makin malap nyalanya, walaupun dari jauh kita mendapat maklumat masih bergerak, tapi tidak secergas dahulu sebagaimana terjadi kepada persatuan-persatuan penulis yang lain. Tapi kita harap Pelita tidak akan mati, bahkan akan cergas kembali.

Sekian.

No comments:

Post a Comment