BBB, 08 Muharram 1435
= 12 November 2013 (Selasa):
Tulisan Penulis kepada Majalah Dian yang mendapat tempat
kali kedua semasa Penulis masih di Tahun Kedua di Fakulti Sastera UKM –
Majoring di dua jabatan, Jabatan Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu
dan Jabatan Sejarah Fakulti Sastera UKM, ialah makalah berjudul ``Kedatangan
Islam Ke Kepulauan Melayu``. Makalah ini keluar di dalam Dian Bil. 52, Tahun ke
XI, 1972, hlm. 16 – 24.
Banyak bahan-bahan yang dapat digunakan bagi mengukuhkan
pendapat tentang kedatangan Islam ke Alam Melayu seperti sumber tempatan
sebagaimana terdapat pada bukti-bukti Batu Bersurat, karya-karya tempatan
seperti Hikayat Raja-Raja Pasai, Sejarah Melayu, Taj al-Salatin, Bustan
al-Salatin dan sebagainya. Sumber-sumber luar seperti catatan pelayar-pelayar
Cina, Islam dan sumber-sumber Barat. Berhubung dengan pendekatan sejarah,
termasuk berhubung dengan sejarah tempatan, kita sering terpesona dan
terikut-ikut dengan pendekatan orientalis Barat yang melihat `Kedatangan Islam
Ke Alam Melayu`` ini sama dengan cara kedatangan Hindu-Buddha ke Alam Melayu
yang memang berasal dari India ,
maka dikatakan bahawa Islam yang berasal dari Makkah-Madinah itu datang ke Alam
Melayu adalah dari India
! Pendekatan ini dikenali sebagai `Teori Outochtoneus` yang menerapkan cara
kedatangan Islam ke Alam Melayu sebagaimana cara datangnya agama Hindu-Buddha
ke Alam Melayu.
Pandangan di atas adalah dipengaruhi fakta yang melihat
bahawa pengaruh Hindu-Buddha di Alam Melayu berlaku sejak abad pertama Masihi
(Coedes, G. The Indianized States of Southeast Asia ,
Universiti of Malaya Press, 1964: 18) dan kemudian diteruskan lagi dengan
wujudnya kerajaan dipengaruhi Hindu Buddha – Sriwijaya mulai abad ke 7 hingga
12 masihi. Maka dilihat pengaruh Hindu-Buddha begitu lama dan menebal di
kalangan penduduk di Alam Melayu dan Asia Tenggara. Pandangan sedemikain didukung
oleh para orientalis seperti Krom, Van Leur, Josselin, Gonda, B Mousquet, Kern,
Vlekke, De Jong, Marrison, Wertheim, Shriek membawalah kepada Winstedt melihat
Islam ke Alam Melayu dari India sebagaimana pengaruh Hindu-Budha sebelumnya
dari India. Antaranya berhujahkan penemuan batu Nisan Malik al-Salih (1297m.) dari
Gujerat, maka diambil kesimpulan Islam di Alam Melayu berasal dari India .
Batu Nisan tidak boleh dijadikan satu-satunya bukti bahawa
Islam di Alam Melayu dari India, kerana dalam masa yang lebih kurang sama Batu
Bersurat Terengganu (702H./1303M.) yang membuktikan Islam di sana tidak ada
kaitan dengan India dan bukti-bukti dari persuratan Melayu baik di dalam
Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu menekankan bahawa pendakwah Syeikh
Abdul Aziz dan Syeikh Ismail adalah datangnya dari Makkah, bukannya dari India.
Naguib berpendapat pengaruh Hindu-Budha tidak berlaku di
kalangan rakyat, tetapi hanya di kalangan aristokrat, itupun bukan bersifat
falsafah dan fikiran, tetapi lebih pada budaya dan estetika. Tidak ada tokoh
Hindu-Budha yang lahir dari penduduk tempatan (Syed Naguib al-Attas,
Preliminary Statement On A General Theory of the Malay – Indonesian
Archipelago, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969: 1 -2). Menurut Naguib tidak
seperti Hindu-Budha yang mempengaruhi pihak atasan sahaja, tetapi melalui Islam
pengaruhnya resap ditengah masyarakat, kata Naguib:
``One of the most important single cultural phenomenon
directly caused by the influence of Islamic culture was the spread of the Malay
language as a vehicle, not only for epic, romantic literature, but even more so
for the philosophical discourse. The use of Malay as the language of Islamic philosophical literature in the
Archipelago enriched its vocabulary and technical terminology considerably and
was one of the paramount factors that
displaced the hegemony of Javanese.`` (Al-Attas, 1969: 6 -7).
Tulisan Penulis dalam Dian 52 adalah mendukung pendapat
Profesor Syed Naquib, iaitu menyanggah pendapat outochtoneus orientalis yang mengaitkan
kedatangan Islam ke Alam Melayu sebagaimana datangnya agama Hindu-Buddha ke
Alam Melayu sebelumnya. Pendapat sesama orientalis sendiri bercanggah ,
Mouquette mengatakan agama Islam dibawa ke Alam Melayu berasal dari Gujerat
tidak tepat dan bercanggah, kerana tempat ini bermazhab Hanafi, sedang penduduk
di alam Melayu bermazhab Shafie, lantaran itu Marrison mengatakan Islam ke sini
berasal dari Pantai Malabar (Coromandal) kerana di sana penduduk bermazhab
Shafie yang sama dianut di Alam Melayu. Ternyata dengan mudah mereka merubah
tempat yang asal dikatakan batu nisan Malik al-Salih (m. 1297) berasal dari Gujerat
(tempat bermazhab Hanafi). Sedang dari segi sejarah perkembangan Islam secara
pesat di Gujerat hanya berlaku selepas negeri Gujerat ditawan oleh Ahmad Shah
dari Delhi
(1411-1441). Ertinya lebih lewat dan kemudian dari pengislaman Pasai (1297) dan
Terengganu (1303). Menurut Ms`udi Pecatat Arab menyebut bahawa pedagang
Arab-Parsi telah bertapak di Cina sejak 877M. Mereka bertapak di Khanfu (Canton ) dan mengawal
perniagaan di sini. Apabila berlaku Pemberontakan Tani pada masa pemerinthan
Hee Sung dari Dinasti Tang
pedagang-pedagang menukarkan tumpuan dagang mereka di kepulauan Melayu di
samping menyebarkan agama Islam. Ini bersesuaian dengan maklumat tempatan.
Misalnya Hikayat Aceh, Islam mula tersebar di hujung Pulau Sumatera (Aceh)
sejak 1112 yang di bawa oleh ulama` yang dikenali sebagai Shaykh Abdullah Arif.
Pengikutnya Burhanuddin meluaskan dakwah hingga ke Periaman di Pantai Barat
Sumatera. Ini diikuti dengan maklumat dalam Hikayat Raja-Raja yang mengatakan
Islam ke negeri itu di bawa oleh Shaykh Ismail yang dikirim khas oleh Sharif
Makkah.
Marco Polo yang singgah di Sumatera 1292 dan berada di situ
selama 9 bulan menyebut tentang pemerintah yang menerima kehadirannya beragama
Islam. Turut melawat Pasai ialah Ibn Battutah 1345-46 yang turut menceritakan
tentang pemerintahan Islam Pasai. Berita Cina pula menyebut kerajaan Samudera
pernah menghantar dua perutusan dari negeri itu bernama Hasan dan Sulaiman. Ini
bererti Kerajaan Samudera-Pasai pada masa itu merupakan sebuah kerajaan yang
kuat dan mengadakan hubungan dengan kerajaan negeri Cina. Bukti-bukti ini
selari dengan catatan tempatan seperti
Hikayat Aceh dan Hikayat Raja-Raja Pasai yang menyebut tentang kedatangan
ulam-ulama pendakwah adalah dari Makkah. Hubungan Pasai berlaku dengan kerajaan
Terengganu yang menerima Islam pada awal abad ke 13. Begitu juga mempunyai
hubungn dengan kerajaan negeri Kedah sebagaimana terdapat maklumat pada
prasasti Batu nisan di Minye Tujuh (1380) (T.Iskandar, Kesusasteraan Klasik
Melayu Sepanjang Abad, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei
Darussalam, Brunei, 1995: 108).
Jelas banyak sumber dapat dijadikan rujukan bagi pembuktian
tentang keislaman di Alam Melayu. Adalah tidak wajar disandarakan bukti pada
Batu Nisan Malik al-Salih (1297) semata-mata yang dikatakan berasal dari
Gujerat, maka bolehlah dibuat kesimpulan bahawa agama Islam bukannya datang
dari India, tetapi dibawa oleh pendakwah-pendakwah dari sumber asalnya –
Makkah.
Sekain.
No comments:
Post a Comment