November 4, 2013

Menyertai Kursus Kewartawanan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya - Kerjasama NST & BERNAMA


BBB, 29 Zulhijjah 1434 = 03 November 2013 (Ahad):

Kampus UKM  di Jalan Pantai begitu dekat dengan Universiti Malaya. Kedekatan bukan setakat dari segi kedudukan fizikal, tetapi juga dari segi kerjasama antara persatuan mahasiswa dari kedua buah universiti, kerjasama bukan setakat demonstrasi, tetapi juga dari segi aktiviti kemahasiswaan. Apa juga kegiatan yang dapat memberi manfaat bersama ditawarkan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) kepada Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) dan begitulah sebaliknya. Dalam masa cuti panjang universiti (lebih kurang sama cuti antara kedua universiti yang pada masa itu masih mengikuti system penggal), pihak PMUM menjalankan Kursus Kewartawanan kepada mahasiswa/I UM khususnya yang terlibat dengan penerbitan PMUM. Pada masa itu PMUM menerbitkana akhbar mahasiswa UM yang dikenali dengan Mahasiswa Negara, manakala PMUKM menerbitkan akhbar mahasiswa UKM yang diberi judul Gemasiswa. Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PMUKM Penulis ditawarkan untuk mengikuti Kursus Kewartanana PMUM melalui PMUKM. Turut ditawarkan menyertai kursus ialah wartawan Gemasiswa PMUKM saudari Mariah Mokhtar. Selain dari peserta-peserta dari UM yang paling ramai, di samping perwakilan dari UKM, turut menghantar peserta ialah dari Politeknik Ungku Umar, Ipoh Perak. Kursus yang diadakan di Kampus Universiti Malaya ini berlangsung dari 9 April 1972 – 17 April 1972.

Penulis yang baru berakhir mengikuti Kursus Penulisan anjuran Pelita di Kuala Terengganu berkejar ke Kuala Lumpur bagi mengikuti Kursus Kewartawanan di atas. Ini merupakan pertama kali Penulis berpeluang mengikuti Kursus Kewartawanan secara lengkap. Untuk mengikuti kursus in Penulis bertolak dari Kuala Terengganu pada pagi 8.4. 1972 dengan bas Express Mara. Ini adalah pertama kali Penulis menaiki bas Express Mara berhawa dingin. Pada malamnya bermalam di Pejabat PMUKM, Jalan Pantai.

Pada pagi 9.4.1972 bertolak ke Kolej Pertama Universiti Malaya. Kursus yang dihadiri peserta yang meminati bidang journalism dirasmikan oleh Profesor Ahmad Ibrahim Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya. Selepas dari perasmian diadakan sidang akhbar yang disampaikan secara bersama oleh saudara Salleh Yusof Setiausaha Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya bersama dengan saudara Gun Setiausaha Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia.  Dengan sidang akhbar itu, kami peserta-peserta kursus secara tidak langsung mempelajari cara mengadakan `Sidang Akhbar`. Sidang diadakan secara betul-betul.  Sidang Akhbar bagi menyatakan tujuan kursus, penyampai-penyampai, objektif dan matlamat. Hari pertama dipenuhi dengan penerangan dan procedure kursus dan diingatkan kepada peserta kursus bersifat praktikal dan dikehendaki menghasilkan berita. Pada malamnya adalah free. Penulis yang tinggal di Bilik E 18 Kolej Pertama UM bersama peserta dari Politeknik Ungku Umar saudara Wan Abu Bakar ke Pertandingan nyanyi antara Sekolah-sekolah yang diadakan di Kampus Universiti Malaya, bertujuan antaranya untuk menjadi bahan berita di dalam latihan kewartawanan.
Pada pagi 10 April 1972 ceramah disampaikan oleh Pemberita NST saudara Ambrose Khoo berkenaan layout dari pagi hingga jam 1.00 tengahari. Pada pagi ini juga PMUM dilawati oleh rombongan pelajar-pelajar dari Universiti Thamasat, Thailand dan antaranya menemui kami. Kami meraikan mereka dan kehadiran mereka menjadi bahan berita kami. Pada sebelah petang menghadiri kursus berkenaan `dummy` dan praktis membuatnya. Kaedah ini adalah pada zaman belum ada computer yang kerja-kerja sedemikian sebenarnya lebih mudah diatur melalui computer.

Pada sebelah malam kami dalam satu kumpulan memptraktis membuat buletin secara stensilan (kini lebih mudah guna computer), Kumpulan penulis terdiri dari Penulis, Francis Lee dari Universiti Malaya, Mariah Suhaimi dari UKM, Mohd. Salleh Abdul Jalil dari Politeknik Ungku Umar dan Tan Siew Eng dari Universiti Malaya.

Pada 11 April mengikuti kursus cara menulis berita dipimpin oleh bahagian Editorial NST Mr. E.E. Hughes dan pada sebelah petang mengikuti ceramah tentang Undang-Undang Persuratkhabaran yang disampaikan oleh Senator Kamarul Ariffin. Pada sebelah malam adalah free. Kami peserta-peserta disediakan bas untuk keluar ke Kuala Lumpur dan pulang jam 12.00 malam.

Pada 12 April mengikuti kursus bagi ruangan wanita di akhbar. Ceramah disampaikan oleh Puan Azah Aziz dari Berita Harian (Isteri Profesor Ungku Aziz Naib Canselor UM). Beliau menekankan tentang wanita hendaklah berjuang agar diberi peluang yang sama dengan lelaki. Pada sebelah petang pula mengikuti kursus kaedah menilai dan memilih gambar-gambar yang hendak dimuatkan di dalam akhbar. Kursus disampaikan oleh Mr. K.S. Khong dari NST. Manakala pada sebelah malam menyiapkan akhbar secara stensilan, bekerja hingga 12.00 malam.

Pada 13 April peserta kursus dibahagikan kepada 2 kumpulan. Satu kumpulan melawat Bernama Kuala Lumpur dan satu kumpulan lagi melawat NST di Jalan Bungsar. Penulis termasuk dalam kumpulan melawat NST. Tempat yang dilawati antaranya ke bahagian pengarang dan bahagian percetakan. Pada masa itu percetakan masih menggunakan pengaturan huruf dari timah. Pekerja amat menggunakan tenaga, bukan sebagaimana kini menggunakan computer. Pada masa kehadiran kami, bahagian percetakan sedang mencetak akhbar Malay Mail untuk keluaran hari itu. Kami dihadiahkan senaskhah setiap orang dan kemudian mengikuti ceramah dari bahagian operasi yang disampaikan oleh Mr. Chang Yen Fooi. Pada sebelah malam bekerja sebagai satu pasukan mengisi penerbitan dengan rencana pengarang.

Pada 14 April juga membuat lawatan, kumpulan yang melawat NST semalam pada hari ini melawat Bernama dan sebaliknya bagi kumplan yang melawat Bernama semalam hari ini melawat NST. Jadi Penulis hari ini melawat Bernama. Di Bernama adalah Pusat penghasilan berita yang dilanggan oleh berbagai penerbit sama ada akhbar, radio, tv dan berbagai-bagai lagi (Kini ada radio & tv Bernama). Kami ditunjukkan ke bahagian penghasilan bahan-nahan berita dan operasi mengenainya – Berita antarabangsa dan tempatan. Pada sebelah petang pulang ke tempat kursus di Universiti Malaya mengikuti kursus berkenaan `Column & Your Columnist` disampaikan oleh En. Tan dari Malay Mail sebagai sebahagian dari penerbitan NST Group.
Pada sebelah petang berjalan kaki dengan saudara Abu Bakar (Politeknik Ungku Umar)  ke rumah sewa adik ipar penulis yang sedang belajar di UM tidak jauh dari kampus.

Pada 15 April mengikuti seminar mengenai `Feature` yang disampaikan oleh Penulis Feature NST. Kemudian kami dibahagi kepada group-group bagi pembahagian tugas bagi menerbitkan `Akhbar Special` yang NST akan mencetaknya sebagai benar-benar sebuah akhbar. Penulis menulis bahagian column sebagai columnist dengan menggunakan nama samaran `Baji`.

Pada 16 April hari terakhir diisi dengan kursus bahagian `Sport`. Penceramah ialah dari bahagian Sport NST. Pada sebelah petang rehat dan berjalan bersama saudara Wan Abu Bakar  ke Pejabat PMUKM, di UKM bertemu dengan kawan-kawan yang bertugas di Pejabat PMUKM antaranya saudari Asiah Sarji.

Pada sebelah malam diadakan Majlis Penutup. Jamuan secara buffet yang dihadiri oleh Profesor Ungku Aziz Naib Canselor Universiti Malaya - Tamu istimewa Kursus yang turut bercakap. Kami amat berpuashati dengan kursus yang kami ikuti. Segala program yang diatur amat memuaskan, termasuklah makan minum. Selepas majlis kami berjalan kaki mengelilingi kampus UM, kemudian bersembang dengan kawan-kawan dan tidur larut malam.

Pada pagi 17 April Majlis Perpisahan dengan penuh kenangan. Penulis ke Pejabat UKM berada dan bertugas di Pejabat PMUKM, antaranya membuat laporan kursus dan membuat berita berkenaannya. Pada 20 April 1972 pulang ke Kuala Terengganu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment