BBB, 09 Muharram 1435 = 13 November 2013 (Rabu):
Pada hari ini Penulis berhasrat membicarakan tentang makalah
ketiga Penulis yang diterbitkan di dalam Dian Bil. 55, Tahun ke XI, 1972
berjudul `Perjuangan Umat Islam Di Filipina` hlm. 28 – 34. Memandangkan bahawa
rakyat Filipina kini dalam keadaan berkabung setelah mengalami taufan Haiyan
pada hujung minggu baru-baru ini (Jumaat 8 – Ahad 10 November 2013) – taufan
terkuat pada tahun ini selaju 275 km. sejam. Kita sama-sama rasa simpati dan
memanjangkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Filipina di atas
malapetaka dan kemusnahan yang berlaku yang memakan korban jiwa sahaja sejumlah
10,000 jiwa dan tak termasuk dari segi jumlah harta benda (Bantuan dari
berbagai pihak yang simpati - dari PBB, termasuk dari Malaysia dan rakyat
sedang disampaikan). Taufan Haiyan yang makin lemah juga turut membadai pantai Vietnam
dan Hainan di China.
Filipina adalah saudara kita yang serumpun, sesama dalam
Asean, sesama dalam kawasan Gugusan Pulau Melayu, sesama dalam Nusantara,
sesama dalam Melayu Raya dan sama-sama di dalam satu gagasan yang disebutkan
Maphilindo. Dari segi geografi dan fizikal, Filipina berada di baris hadapan
mendepani lautan pasifik yang luas itu. Sebarang berlaku gerak gelombang dan
tiupan taufan, maka Filipinalah pertama menerima ancaman dan mungkin kemusnahan
sebagaimana berlaku diakibatkan oleh Taufan Haiyan.
Filipina saudara kita yang sama sebangsa dan serumpun
Melayu, tetapi mengalami nasib sejarah yang berbeza diakibatkan oleh taufan
politik penjajahan yang mengubah situasi politik, agama dan kemasyarakatan tempatan
sebelumnya. Di dalam makalah yang ditulis Penulis menjelaskan bahawa, pada abad
ke 16 bangsa Eropah yang baru celik dari zaman gelap mulai berlumba di kalangan
mereka ke dunia baru yang telah diteroka oleh orang Islam sebelumnya bagi
mendapat habuan ekonomi yang membawa kepada penjajahan. Barat seperti membawa
dendam terhadap Islam yang pernah bertapak di Sepanyol hingga ke
Pergunungan Pyranees bersempadan dengan
Spanyol. Dendam ini termanifestasi di dalam siri peperangan Salib di Palestin
dan dalam perlumbaan ke Timur. Lebih-lebih lagi apabila Turki menguasai
Konstantinapol (1453) yang menyekat kawasan dagang mereka di sana . Mereka pada permulaan berlumba-lumba
untuk mendapat bahan-bahan dagangan untuk diperdagangkan di Barat dan menguasai
sumbernya membawa kepada penjajahan.
Di dalam usaha menjajah Negara-negara di Timur Jauh, mereka
bersefahaman membahagikan kawasan di Asia Tenggara dalam mana British menguasai
Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, Belanda menguasai Indonesia dan
Spanyol menguasai Filipina.
Sebagaimana Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia begitu juga
Filipina sebelum kedatangan penjajah Barat adalah kawasan-kawasan yang telah menerima
Islam secara aman yang telah dijalankan pendahwah-pendakwah Islam yang
menguasai jalan dagang dari Mediterranean melalui Selatan Afrika, atau terus
melalui Yaman dan Teluk Parsi ke Alam Melayu. Kehadiran pedagang-pedagang Barat
seterusnya bukan saja setakat bertujuan mendapat bahan dagangan, tetapi juga
bertukar kepada persaingan dengan pedagang-pedagang Islam dan menguasai tempat
sumber ekonomi dari mereka.
Dari segi Filipina, Islam telah datang ke Negara ini seawal
yang diketahui sejak 1380 lagi dibawa oleh Muballigh yang dikenali dengan nama
Sharif Aulia Karim al-Makhdum. Muballigh ini mengislamkan penduduk Sulu. Sharif
Aulia Karim al-Makhdum datang dari Melaka. Beliau berasal dari keturunan raja
di Minangkabau, Sumatera. Seorang lagi Muballigh datang dari Johor bernama Abu
Bakar. Beliau berkahwin dengan anak perempuan Sharif Aulia Karim yang bernama
Paramusuri. Beliau dilantik menjadi Sultan memerintah Sulu dan memesatkan
perkembangan Islam.
Seorang lagi Muballigh yang juga datang dari Johor bernama
Sharif Kabungsuan datang ke pulau itu bersama-sama pengiuktnya menyibarkan
agama Islam. Beliau kemudiannya menjadi Raja di Mindanau dan mengembangkan
agama Islam hingga ke pulau-pulau
Bisayan dan Luzon hingga membawa
terdirinya kerajaan Islam di Manila. Antara kesultanan terkenal di Manila sebelum kedatangan penjajah Barat ialah Sultan
Sulaiman.
Kehadiran kekuasaan Barat sebagai gelombang pertama
dilambangkan dengan ketibaan Magellan (1521) yang menceroboh kedaulatan Pulau
Mactan dan cuba
mengkristiankan penduduk di situ secara kekerasan dan ditentang oleh penduduk
tempatan yang membawa kepada terbunuhnya Magellan di Sibu pada 27 April 1521.
Kehadiran Barat dan lebih tepatnya Sepanyol sebagai
gelombang kedua untuk menguasai Filipina ialah dengan hadirnya pasukan yang dipimpin
oleh Legaspi seorang yang kuat berpegang dengan agama Kristian pada bulan April
1565 dengan pedang dan salib di tangan bercita-cita untuk mengkristiankan
penduduk Filipina. Legaspi pergi ke Pulau Buhul memaksa penduduk mematuhi perjanjian
dengannya, tetapi mendapat tentangan penduduk, tetapi oleh kekurangan senjata
penduduk tempatan terpaksa patuh dan menerima perjanjian mengikut kehendak
Sepanyol yang perjanjian dibuat pada 4 Jun 1565. Pendudukan permulaan di Buhul ini dijadikan markas
bagi Sepanyol meluaskan kekuasaannya seperti ke Pulau Mactan, tetapi gagal
menguasainya.
Dalam usaha meluaskan kekuasaannya Legaspi berusaha menawan
Manila sebuah pelabuhan yang begitu elok dan strategic, tetapi dia terpaksa
berdepan dengan pemerintah Manila di Pulau Luzon, iaitu Sultan Sulaiman yang begitu
kuat pertahanannya dan kukuh dari segi ekonominya. Legaspi menyerang Manila pada kali pertama
pada bulan April 1571, tetapi dapat dipatahkan oleh Raja Sulaiman.
Serangan kali kedua dilakukan oleh Legaspi pada 3 Mei 1571, Sultan Sulaiman
tetap mempertahankan kedaulatan pemerintahannya hinggalah Manila
jatuh ke tangan Sepanyol pada 19 Mei, 1571. Sepanyol melancarkan serangan
dengan menggunakan 27 buah kapal yang lengkap dengan alat senjata. Sultan Sulaiman
dan tenteranya cuba menawan kembali Manila bagi mengembalikan kekuasaannya,
tapi Sultan Sulaiman gugur syahid sebagai seorang perwira Islam menentang
penjajahan Spanyol pada 3 Jun 1571 yang turut sama terkorban ialah 300 orang
tentera Raja Sulaiman termasuklah bapa saudaranya yang setia membantu iaitu
Raja Lakan Dola.
Dengan kejatuhan Manila pihak penjajah Sepanyol berusaha
menundukkan semua kawasan di Filipina di bawah kekuasaannya, kecuali kawasan Mindanau
dan Sulu yang teguh dengan pegangan Islam gigih mempertahankan kedaulatan
Negara dan selama empat abad pemerintahan Sepanyol, Midanau dan Sulu tetap
mempertahankan kedaulatan dan tidak pernah tunduk kepada Filipina. Selama empat
abad tersebut pemerintah Filipina terus berusaha menghapuskan pengaruh Islam di
semua kawasan yang dikuasai. Pada masa tersebut paderi-paderi dari berbagai
mazhab Kristian, khususnya Katholik berlumba-berlumba mengkristiankan penduduk
setempat.
Adapun rakyat di Mindanau dan Sulu dengan megahnya
mempertahankan Negara dan keyakinan mereka terhadap agama Islam tanpa tunduk
kepada Sepanyol. Mereka berulang kali diserang, mereka bukan saja bertahan,
tetapi berulang kali pula menyerang Sepanyol hingga berakhirnya pemerintahan
Sepanyol di Filipina pada tahun 1898, selepas menyerahkan Filipina kepada
Amerika pada tahun tersebut.
Pertukaran penjajahan dari Spanyol kepada Amerika secara
helah membawa masuk wilayah Mindanau dan Sulu ke bawah penjajahan Amerika.
Dengan beradanya di bawah pemerintahan yang majoriti rakyat beragama Kristian,
sedikit demi sedikit pngaruh Kristian meresap
di kalangan masyarakat di Mindanau dan Sulu.
Kemerdekaan Filipina, selepas Perang Dunia Kedua 1946
meletakkan terus wilayah Selatan di dalam pemerintahan Pusat Filipina di Manila.
Rakyat yang beragama Islam di Selatan tersepit di tengah rakyat majoriti
beragama Kristian di samping kurang diberi perhatian oleh pemerintah di Manila.
Bagi rakyat di Mindanau dan Sulu mereka menikmati kemerdekaan pada zaman
pemerintahan Sepanyol, tetapi tidak sedemikian pada zaman kemerdekaan, lantaran
itu perjuangan untuk kebebasan kawasan selatan dari pemerintahan Manila
berterusan. Malaysia
yang bersempadan turut menerima percikan dan juga permasalahan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment