BBB, 07 Muharram 1435 = 11 November 2013 (Isnin):
Pada permulaan UKM dibuka (18.5.1970) universiti ini banyak
mengikuti budaya keuniversitian yang telah dibina oleh Universiti Malaya sejak
dari Singapura membawalah ke Malaya (1959).
Contoh ikutan dari universiti itu ialah sistem pengajian secara penggal,
bidang-bidang keilmuan yang dipecahkan kepada fakulti dan Jabatan, Bahkan
sebahagian dari pensyarah yang mengajar di UKM adalah datangnya dari UM yang
berdekatan kampus itu mengajar sebagai tenaga pengajar sambilan di UKM.
Sebahagian dari pensyarah sejarah yang Penulis ikuti adalah dari Jabatan
Sejarah UM, misalnya Profesor Khoo Kay Kim Pensyarah Sejarah Malaysia dan Dr. James Ongkili
Pensyarah Sejarah Malaysia Timur.
Pergerakan mahasiswa juga pada peringkat permulaan menjejaki
pergerakan mahasiswa UM. Lantas jika semuanya sama apakah perbezaan dan
identiti UKM ? Seharusnya UKM sebagai sebuah Universiti, mempunyai pendekatan,
ciri dan identiti tersendiri.
Memangnya pada peringkat permulaan ada kesamaan, jika tidak
dapat dikatakan sebagai terikut-ikut.
Tetapi di dalam perkembangannya UKM mempunyai pendekatan ilmiah yang tersendiri
yang dapat membina identitinya sendiri. Contoh yang dapat dilihat dalam bidang
budaya dan sastera di UKM. Dalam bidang ini misalnya UM masih mengikuti pendekatan
lama yang didasarkan pada pendapat Coedes,
Gonda, Bousquet, Kern, Horgronje
dan Winsted yang melihat bahawa pengaruh Hindu adalah dominant di dalam budaya
Melayu, bahkan ada yang berpendapat pengaruh Islam adalah merupakan lapisan
tipis yang menutupi pengaruh Hindu yang dominant di dalam budaya Melayu.
Pendekatan baru dibawa oleh Prof. Dr. Syed Naguib al-Attas yang mencanggahi pendapat
di atas. Sebaliknya Naguib berpendapat bahawa Pengaruh Islam yang dominant di
dalam budaya Melayu. Kedatangan Islam yang membawa falsafah tauhid mengubah
pandangan Melayu sebelum Islam yang bersifat tahyul dan mitos kepada pegangan
dan pandangan yang bersifat saintifik dan rasional. Masyarakat yang sebelum
Islam bersifat buta huruf bertukar kepada masyarakat yang kenal huruf dan
membaca. Huruf-huruf al-Qur`an dipinjam menjadi huruf jawi dan masyarakat
menulis dan mempelajari kitab-kitab, Bahasa Melayu yang sebelumnya dipengaruhi
bahasa Sanskrit, mulai berubah dan dipenuhi dengan istilah-istilah keislaman.
Pengajian dan komunikasi berlaku melalui bahasa Melayu, lantas bahasa yang
asalnya terpinggir dan bersifat daerah diangkat menjadi bahasa ilmu, komunikasi
dan lingua-franca. Tamadun Melayu diangkat melalui Islam. Contohnya kelahiran
Melaka dan kemajuannya adalah diangkat oleh Islam sebelum dikuasai Portugis
(1511), demikian juga Tamadun Islam di Aceh.
Pendapat yang diutarakan oleh Naguib ini bersesuaian dengan
suasana 1970an yang mulai cenderung kepada Islam dan mendapat sambutan kelompok
intelektual dan masyarakat. Dengan pendapat baharu di dalam bidang akademik
tentang budaya Melayu yang didukung Islam merupakan pendekatan baru pada masa
itu dan menyegarkan pengajian tentang budaya Melayu. Polimik tidak berlaku di
dalam bilik kuliah dan tutorial sahaja, tetapi diperkatakan di dalam tulisan,
seminar dan forum. Kini faham yang diistilahkan sebagai `autochtoneus` yang
dicipta oleh orientalis yang menerapkan tentang kedatangan Islam ke Alam Melayu
dari India sebagaimana datangnya Hindu ke Alam Melayu sebelumnya telah berubah.
Bahawa kedatangan Islam ke sini adalah langsung dari negeri Arab sebagaimana
tercatat di dalam naskhah-naskhah seperti Hikayat Raja Pasai, Sejarah Melayu
dan sebagainya.
Satu kelainan dari segi pendapat yang dipolimikkan, diantara
tokoh yang mendukung bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, ialah
mengenai siapakah bapa kesusasteraan Melayu moden. Pendapat yang dapat
dikatakan sudah established antaranya didukung oleh Profesor Ismail Hussein,
Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang juga Ketua Satu Gapena,
bahawa Abdullah Munshi adalah Bapa Kesusasteraan Melayu yang mula berada di
zaman cetak dengan karangan-karangannya seperti Hikayat Abdullah dan Kesah
Pelayaran Abdullah dengan laporan terhadap peristiwa yang real dan bahasa yang
hidup dan pengarang menisbahkan diri sebagai aku dan bersifat individualis.
Manakala sebelah pihak lagi yang didukung oleh Syed Naguib
yang menjadi Dekan Fakulti Sastera UKM dan kemudian Pengarah Institut Bahasa,
Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM, bahawa Hamzah Fansuri adalah bapa
Kesusasteraan Melayu lantaran ianya yang memulakan tradisi mengarang dalam
bahasa Melayu dengan bahasa yang lancar dan elok dan membicarakan persoalan-persoalan
secara rasional. Syed Naguib mengukuhkan pendapatnya dengan pembicaraan tentang
konsep moden dan sekular.
Tanpa mementingkan siapa yang betul dan yang salah yang
barang kali tidak ada yang salah, dengan polimik sedemikian menghidupkan
suasana akademik. Orang ramai, khususnya tidak dipaksa atau terpaksa menerima
secara membuta tuli tentang sesuatu pendapat, sebaliknya bebas memberi pendapat
dengan hujah masing-masing yang rasional dan releven.
Perubahan juga dapat dirasa di dalam bidang sejarah, bahawa
pendekatan sejarah adalah menurut yang diistilahkan dengan `Malaysian Centric`,
buka `European Centric` sebagaimana yang didekati selama ini. Pada peringkat
permulaan Jabatan Sejarah menawarkan kertas-kertas bagi tahun 1 seperti Sejarah
Malaysia
I, Sejarah Asia Tenggara 1, Sejarah Eropah 1. Bagi tahun 2 ditawarkan Teori dan
Kaedah Sejarah, , Sejarah Malaysia II, Sejarah Malaysia III (Timur), Sejarah
Malaysia IV (Ekonomi), Sejarah Indonesia 1, Sejarah Eropah II dan Kajipurba dan
Pengenalan, manakala bagi Tahun 3 ditawarkan Sejarah Malaysia V (Dasar Luar),
Sejarah Malaysia VI (Dokumen), Sejarah Malaysia VII (Birokrasi), Sejarah
Indonesia II, Sejarah Filipina, Sejarah Asia Tenggara II (Modenisasi Politik
dari 1941) dan Dasar Luar Negeri Amerika Syarikat di Benua Asia. Manakala bagi
Tahun 4 ditawarkan menulis Latihan Ilmiah (4 unit), Pensejarahan (Histriografi)
Asia Tenggara, Sejarah Imperialisme Eropah di Tanah Besar Asia
Tenggara dan Sejarah Indonesia III.
Pendekatan Malaysian Centric terutama yang melibatkan
sejarah Negara Malaysia
sendiri ialah melihat dan menilai aspek sejarah menurut perspektif Malaysia .
Misalnya melihat penentangan pemimpin tempatan termasuk Sultan di Perak terhadap
British hingga membawa kepada terbunuhnya J.W.Birch bukannya sebagai
penderhaka, tetapi sebagai pemberontakan terhadap penjajahan British terhadap
Perak. Demikianlah penentangan Haji Abdul Rahman Limbong dan Pemberontakan Tani
di Terengganu dan Tok Janggut di Kelantan, mereka adalah sebagai wira yang
menentang penjajahan British terhadap Negara ini. Tokoh sejarah yang sering
mengulang-ngulangi pendekatan ini ialah Profesor Khoo Kay Kim yang penulis turut mengambil kertas-kertas Sejarah Malaysia yang
diajar beliau di Jabatan Sejarah di UKM. Di dalam hal ini tidak ada perbezaan
antara pendekatan di UM dan UKM, lantaran pensyarah yang mengajar adalah sama.
Bagi Penulis yang mengambil bidang Bahasa, Kesusasteraan dan
Kebudayaan Melayu dan Jabatan Sejarah mendapati pendekatan kedua-dua bidang
berkenaan mempunyai kaitan dan kukuh mengukuhkan. Maksud Penulis dengan
mengambil sejarah memperkukuhkan bidang Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan
Melayu, kerana persoalan sejarah juga banyak di dalam Bahasa, Kesusasteraan dan
Kebudayaan Melayu, begitulah juga sebaliknya. Sejarah amat menekankan dari segi
fakta, kaedah pengolahan dan pencerakinan, manakala sastera disamping
menekankan dari segi bahan amat memberi perhatian dari segi estetika dan
kemanusiaan. Bagi diri penulis kedua-duanya lengkap melengkapi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment