November 29, 2013

Menerbitkan Buku Puisi `Puncak Rindu`

Secara kebetulan, pada masa Penulis menerima kunjungan Presiden NUMERA, Sasterawan Negara Dato` Dr. Ahmad Khamal Abdullah (KEMALA) dan rombongan pada Khamis 26 Zulhijjah 1435 bersamaan 31 Oktober 2013 di pejabat Penulis No. 8, Jalan ¼, 43650 memaklumkan dan mengucap tahniah kepada Penulis kerana terpilih sebagai Tokoh Persuratan NUMERA 2013 dari Malaysia, maka buku puisi Penulis, iaitu `Puncak Rindu` berada pada peringkat akhir penerbitan. Maka di dalam pertemuan itu Penulis berjanji untuk mengedarkan buku puisi `Puncak Rindu` itu dalam Majlis Penobatan Tokoh Persuratan NUMERA yang diadakan di Dewan Bankuet, Dewan Bahasa dan Pustaka pada malam 20 November 2013. Sememangnya buku berkenaan mula diedar dan dipasarkan dengan harga RM10.00 senaskhah pada malam tersebut, di samping dipamerkan bahan-bahan penulisan tokoh-tokoh.


Puncak Rindu merupakan perjalanan panjang bagi menghasil, menghimpun dan menerbitkan kumpulan puisi ini. Iaitu hasil kreativiti yang berlangsung selama dua puluh tahun (1974 – 1994). Kumpulan Puncak Rindu mengandungi sebanyak 62 buah puisi di dalam kumpulan yang sederhana tebalnya, iaitu 100 halaman. Sebenarnya sebelum kumpulan ini diterbitkan, sudah wujud sejumlah induk kumpulan yang terdiri dari 19 buah puisi’ Kumpulan ini pernah diterbitkan sebagai Pamplet Penyair Siri 1 No 2 1996 oleh Galeri UNIKarya, Universiti Kebangsaan Malaysia di bawah Bidang Kebudayaan UKM dengan judul yang sama ``Puncak Rindu`. Penerbitan atas inisiatif Ybhg. Dr. Siti Zainon Ismail yang pada masa itu beliau adalah Pengarah Bahagian Kebudayaan. Penerbitan setebal 20 halaman ini dicetak oleh Pusat Teknologi Pendidikan UKM.  

Berdasarkan induk Puncak Rindu ini ianya telah dikembang dan ditambah dengan  puisi-puisi pilihan yang lain sehingga berjumlah 62 buah dan diterbitkan oleh Galeri Bangi Bandar Ilmu (2013). Kalau kulit luar bagi penerbitan induk dengan sketch seekor burung terbang, maka bagi penerbitan Puncak Rindu yang lengkap mengambil latar lebuhraya mendaki ke gunung dengan gambar kecil di tengah ialah gambar Qur`an di atas rehal dengan reka bentuk dan urus cetak oleh Bangi Resources. Pada kulit luar bahagian belakang dipaparkan mengenai kelahiran, latar pendidikan Penulis dan keterlibatan di dalam bidang penulisan dan karya-karyan yang diterbitkan.

Dengan kumpulan-kumpulan puisi Penulis yang telah diterbitkan, maka adalah dilihat Wajah Diri (1995) sebagai kumpulan pertama mencerminkan kubaran semangat Penulis di dalam pengajian berbaur dengan kecintaan terhadap puisi, manakala kumpulan kedua Madu Ilmu (1999) adalah catatan pengalaman Penulis semasa di Kampus di UKM selama 30 tahun di dalam meneguk Madu Ilmu dan sememangnya kumpulan puisi ini dipersembahkan kepada UKM sempena persaraan Penulis dari UKM (1999). Manakala Puncak Rindu (2013) membawa persepsi yang lebih halus dengan getaran seni yang lebih lembut dan lebih kaya dengan elemen estetik dan kerohanian yang ditanggapi dari ruang yang lebih terbuka, berbanding dengan dua kumpulan sebelum ini. Tema dan persoalan lebih berpelbagaian, tetapi lebih mendalam dari segi penghayatan.

Puncak Rindu adalah percikan dari pengalaman Penulis menghayati kehidupan yang diperkukuhkan oleh keilmuan yang Penulis pelajari dan juga memperturunkan kepada pelajar-pelajar yang Penulis bimbingi. Maksud di dalam masa menghasilkan puisi-puisi di dalam Puncak Rindu dari masa ke semasa, Penulis adalah di dalam pengajian, membaca dan mengkaji bidang tasawuf bagi menulis tesis berhubung dengan Hikam Melayu pada peringkat Ph. D. Kesan dari pembacaan, kajian dan penghayatan terhadap bidang ini, juga pengajaran kursus berhubung dengan tasawuf antaranya terluah di dalam sebahagian dari puisi-puisi di dalam Puncak Rindu yang ternyata sebahagiannya kerohanian sifatnya.

Dalam masa yang sama Penulis juga mengajar tentang puisi tradisional dan juga moden, juga terlibat di dalam merangka kurikulum sastera tradisional dan moden pada peringkat STPM, lantaran itu di dalam kumpulan puisi ini terdapat penggunaan bentuk puisi tradisi seperti rubai, masnawi, nazam, qit`ah dan gurindam. Dari segi modennya terdapat berbagai experiment dari segi bentuk dan pengucapan berhubung dengan tema-tema semasa.

Sebagai Penulis adalah berpendapat bahawa Puncak Rindu (2013) adalah menunjukkan peningkatan berbanding dengan dua kumpulan puisi – Wajah Diri (1995) dan Madu (1999) yang pernah Penulis hasilkan. Walau bagaimana pengkaji dan pengkritik akan membuat kajian dan penilaian yang mungkin lebih tepat.

(Tulisan mengenai Puncak Rindu akan dilanjutkan).

Sekian.

No comments:

Post a Comment