BBB, 06 Muharram 1435 = 10 November 2013 (Sabtu):
Penulis dapatlah dikatakan peminat Majalah Dian yang mengikuti
dan membelinya sejak penerbitan pertama Ogos 1961 dan berusaha mendapatinya
hingga ke penerbitan akhir. Penerbitan perintis adalah 4 bulan sekali dengan
janji untuk meningkatkan pengeluaran pada masa akan datang sebulan sekali.
Hasrat ini nampaknya tidak kesampaian. Dian hanya mampu dikeluarkan secara
dwi-bulanan mulai tahun 1962 (Tahun Kedua Keluaran). Penerbitan secara dwi
bulanan ini berterusan.
Penerbitan Majalah Dian dapat bertahan dan berterusan
sehingga akhir tahun 1982 dengan keluaran Bil. 148, Nov. 1982 (berdasarkan
pemilikan yang ada pada Penulis). Jika ini benar bermakna Dian dapat meneruskan
penerbitannya selama lebih 20 tahun, iaitu satu jangka yang panjang,
dikendalikan oleh Ketua Pengarangnya, Yusoff Zaky Yacob. Pada masa mutakhir itu
kita dapat tahu, bahawa kesihatannya makin tidak baik, keluar masuk hospital,
lebih dari itu tidak ada `penerus` yang segigih dan bersemangat seperti Yusoff
Zaky bagi meneruskan penerbitan Majalah Dian.
Sepanjang penerbitannya, Dian mempertahankan format dan imej
yang ditampilkan sejak mula diterbitkan dengan beberapa perubahan dan
penyesuaian masa. Misalnya sejak awal penerbitan (Bil. 2) sudah ada yang
mencadangkan agar tulisan jawi yang menjadi medium penyampaian Majalah Dian
ditukar kepada tulisan rumi bagi membolehkan generasi muda yang mulai lebih
mahir tulisan rumi dari tulisan jawi agar mereka mendapat manfaat dari
penerbitan Dian, maka kita dapati, peringkat awal permulaan tahun 1972 Dian
diterbitkan di dalam dua versi jawi dan rumi dan selepas 1973 menggunakan
tulisan rumi. Dari segi tarikan versi jawi lebih menarik kemas dan tidak
kecamuk !
Satu yang menarik bahawa tiap kali penerbitan Dian menampilkan
kulit depan yang artistic dan seni yang biasanya merupakan lukisan atau gambar
tentang budaya, seni, sains, pandangan alam dan kehidupan kemasyarakatan yang
tiap satu membawa mesej tertentu, di samping pada sebelah permukaan yang lain
menampilkan kandungan dan penulis-penulis bagi penerbitan berkenaan.
Dian mengekalkan persembahan dengan menampilkan penulis tokoh-tokoh
antarabangsa, terutama dari dunia Arab, namun sudah disulami dengan
penulis-penulis tempatan dan juga ruangan-ruangan tempatan seperti puisi,
bahasa, keluarga Dian dan komentar pembaca. Namun penulis-penulis antarabangsa
lebih dominan di dalam penerbitan Dian.
Dian tidak boleh dikatakan majalah politik. Dian memberi
nama diri sebagai Digest Ilmiah, tapi hampir pada setiap keluaran membawa
persoalan-persoalan politik yang membicarakan contoh tentang Amerika dan Rusia
sebagai Negara Komunis – Rudaini (Dian Bil 44, tahun X), India terpaksa
berperang dengan Cina Komunis ? oleh Bachtiar Djamily (Bil. 64, Tahun XII). Di
Sebalik Hubungan Mesra Israil – German (Bil. 66 tahun Ke XI) Afrika Dijajah
Semula oleh Basil Davidson (Bil.54 Tahun XI), Dunia Menuju Negara Tentera oleh
Wadi Wajdid (Bil. 67, 1974 Tahun XIII), Angkatan Laut Rusia Berkeliaran Di Seluruh Lautan
Dunia oleh Eugen M. Walter (Bil. 36 Tahun IX, 1970).
Yusof Zaky Yacob ialah Pakar Psychology. Dia mendalami
bidang ini dan pernah mengeluarkan buku-buku psychology antaranya Psychology
Remaja. Semasa belajar di American University di Cairo beliau berguru dengan
Dr. Amir Boktor. Kepakaran Yusof Zaky dari segi psikologi menyebabkan hampir setiap
keluaran Dian menampilkan ruang dan persoalan psikologi yang biasa ditulis oleh
Yusof Zaky sendiri seperti Psikologi Regresi (Bil. 1, Tahun 3, 1964) dan
mewujudkan ruangan `Mengenal Diri` sebagai ruangan tetap. Juga penulis-penulis
psikologi yang lain. Contoh Pertentangan Genesari oleh Henry V. Burke (44,
tahun ke X), Psychologi Menghadapi Krisis oleh Noran Vincent Peal (103, Nov.
1977), Kebahagian Jiwa dan Benda oleh Dr. Amir Boktor, Ketua Ilmu Jiwa,
American University, Cairo). Kegilaan Pada Tokoh-Tokoh Dunia oleh Dr. Amir
Boktor (Bil. 1, Tahun 3, 1964).
Dian juga memberi ruang membicarakan tokoh-tokoh seperti,
Raja Hussain yang liat nyawanya oleh Dr.
Fakhir Amir (Bil. 44 tahun ke X), Syed Shaykh al-Hadi (Bil. 64, Tahun ke XII),
Al-Tabari (Bil. 37, Tahun X, 1971), Ibn
Taimiah (Bil. 32, Tahun IX, 1970), Syeikh Daud bin Abdullah al-Fattani oleh Wan
Mohd. Saghir bin Abdullah (Bil. 97, Feb. – Mac 1977). Imam Muslim (Bil. 36,
Thun IX, 1970).
Isu lumrah yang selalu dibawa di dalam Dian ialah berhubung
dengan sains contoh, Rekalah Senjata Yang Paling Menjahanam oleh Thomas Edison
(Bil. 1, Ogos, 1961), Ledakan Nuklear Untuk Tujuan Damai oleh Michel Takla
(Bil. 75, Feb/Mac 1975), Mala Petaka Dunia Sains oleh S.M. Mahfuz Ali, Sasterawan
Islam India (Bil 3, Tahun 2, Jun 1963).
Antara penulis-penulis tempatan yang diberi tempat ialah
seperti Bachtiar Djamily (Politik – 64, Tahun XII), Arbak Othman. Bahasa dan
Realiti Kehidupan (103, November 1977), Yahya Ismail Cerpen Tanpa Nama (Bil. 37,
Tahun Ke X, 1971), Ahmad Boestamam, Dasar Ekonomi Malaysia (Bil. 37, Tahun Ke
X, 1971). Wan Ngah Wan Dagang, Kebudayaan Kominis Mencabar Kebudayaan Asean (
(Februari-Mac 1977).
Ruangan yang sering dibawa ialah berhubung dengan Negara
Islam, contoh Bila Islam Berkembang di Patani oleh Saifudin Ahmad (103 November
1977), Gerakan Membaratkan Masyarakat Islam, Anwar al-Jundi (Bil. 1, 1965),
Komanwel Islam (Bil. 7. 1966), Barat Bergurukan Islam oleh M. Natsir (Bil. 75
Feb./Mac 1975). Pertembungan Islam Dan Kebudayaan Lain oleh Al-Syahid Sayyed
Qutb (Bil. 139, Mac, 1981).
Yusoff Zaky sendiri ada menyentuh soal sastera Islam, contoh
Kekeringan Sastera Islamiah (Bil. 67, Tahun XIII, 1974), Sastera Islam Di
Malaysia (Bil. 72, Sept.-Oktober, Tahun XIII, 1974).
Ruangan sastera yang menarik yang sentiasa diberi tempat di
dalam Dian ialah cerpen, tapi cerpen yang dikemukakan biasanya bukan dari karya
tempatan, tetapi merupakan terjemahan dari luar contoh Musim Bunga oleh Hilmi
Murad (Bil 1, Ogos 1961), Menunggu Hari Gantung oleh Mary Hilton ( Bil 2,
Disember 1961), Bumi Berdarah oleh Elin Chang (Bil. 4, Tahun 2, Ogos 1963) dan
seterusnya setiap keluaran yang setiap cerpen agak panjang tetapi menarik.
Turut disertakan ialah ruangan kesihatan, ekonomi,
kebudayaan dan sebagainya. Pada setiap keluaran ada `Keluarga Dian` di mana
disediakan nama-nama untuk dipilih bagi menamakan anak-anak dan ibu bapa
diminta menghantar gambar anak-anak yang namanya dipilih dari Dian. Pada setiap
keluaran juga disediakan rungan Dunia Persajakan yang ruangan ini dipenuhi oleh
penyair-penyair tempatan.
Ruangan yang terus popular dan terus dikekalkan ialah
`Komentar Pembaca` yang pembaca memberi pendapat terhadap sesuatu isu yang
terbit dalam Dian sebelumnya. Komentar pembaca kadang-kadang disertakan dengan
gambarnya.
Sesungguhnya Dian hadir selama lebih dua dekad secara
memikat dan amat bermanfaat.
Mengenangkan jasanya Yusoff Zaky pernah dikurniai Ijazah
Kehormat Sarjana Persuratan oleh UKM.
Sekian.
Assalamualaikum wrbt Dr Shafie Abu Bakar.
ReplyDeleteSaya juga adalah peminat Majalah Dian sewaktu sekolah menengah awal 1970han di Kelantan. Jasa Dato' Yusoff Zaky Yacob amat besar pada diri saya. Ia berkesan mencorak pemikiran dan peribadi hidup saya. Saya berdoa semoga roh nya bersama-sama orang yang beriman. Amin. Arwah ayahanda saya kenal rapat dengan beliau.
Wassalam.
WRY