Dewan Bahasa dan Pustaka, 16 Muharram 1435 = 20 November
2013 (Rabu):
Saya sangat terharu kerana dipilih sebagai tokoh Numera
2013. Segala kehidupan saya ada kaitannya dengan Malaysia selepas saya tamat dari
Universiti Negara Moscow pada tahun 1970. Malaysia
menjadi cinta pertama dan rumah kedua bagi saya, bahasa Melayu menjadi setaraf
dengan bahasa ibunda, (saya begitu suka
bahasa Melayu sehingga perasaan saya apabila bercakap dalam bahasa itu
ibarat saya mandi dalam bahasa), sastera Melayu menjadi serupa padang berbunga yang aromanya menjadi
kenikmatan saya.
Cinta kepada Malaysia, bahasa Melayu dan sastera Melayu
adalah cinta pandang pertama sejak mula daripada tahun 1970-1971 apabila saya
menuntut di Universiti Malaya dan pernah duduk selama satu bulan bersama sebuah
keluarga Melayu , di Kampung Tanjung, Pahang Tua yang memberi kepada saya nama
Melayu `Abdullah`. Kemudian saya ikut serta dalam penyusunan beberapa Kamus Melayu
di Rusia, menerbitkan buku Ensiklopedia Malaysia dalam bahasa Rusia, menulis
puluhan artikal tentang sastera bahasa dan budaya Melayu, menterjemahkan
karya-karya SN Usman Awang, SN Abdul Samad Said, SN Muhammad Haji Salleh, SN
Kemala, SN Anwar Ridhwan, SN Baha Zain dan ramai penyair dan penulis Melayu
lagi ke dalam bahasa Rusia.
Sejak tahun 2001 saya sekali lagi di Universiti Malaya , kini mengajar bahasa dan budaya Rusia dan
berkecimpung dalam kerja penyelidikan dan penulisan buku. Salah satu projek
saya yakni Kamus Budaya Dunia Melayu yang baru diterbitkan di Rusia dianugerahi
pingat gangsa.
Saya cinta Malaysia
seperti tanahair sendiri dan yakin bahawa pengalaman saya dalam bidang sastera,
bahasa dan budaya menarik juga untuk rakyat Malaysia kerana mungkin mereka
selepas perkenalan dengan persepsi orang luar akan mengetahui tentang negaranya
sendiri sesuatu yang baru. Seperti kata-kata seorang penyair Rusia:
Wajah berhadapan wajah
Yang paling penting nampak dari jauh sahaja.
Saya yakin juga bahawa pemberian gelar Tokoh Numera 2013 ini
akan menggalakkan saya menjadi lebih aktif dalam bidang penyelidikan budaya
penterjemahan sastera, penyusunan kamus
Melayu yang baru. Dan bukan ini sahaja. Saya harap bahawa kegiatan saya dalam
rangka yang lebih luas membantu memperdalam persefahaman antara rakyat kedua
Negara kita. Bukankah ada pepatah Melayu yang berbunyi, ``Tak kenal, maka tak
cinta.`` Saya menggunakan peluang itu untuk mengucapkan terima kasih yang tak
terhingga kepada semua sahabat saya di
Malaysia terutama SN Dato` Kemala yang selalu sedia menolong saya dalam segala
hal dan memberi dorongan kepada saya untuk bekerja lebih cergas demi mengharumkan nama Melayu
dan Malaysia di Persada Dunia
Universiti Malaya,
31 Oktober 2013.
No comments:
Post a Comment