November 6, 2013

Perbicaraan Songsang Firaun Moden


Mentari memanjangkan lidah hangatnya
Untuk menjilat dan membakar kemungkaran
Dan bumi yang menatang mereka
Merekahkan diri untuk menelan
Penderhaka songsangnya bicara
Di bumi Firaun
Amat jelik di mata dunia.

November 4, 2013 menyaksi
Betapa sebuah Negara dulunya dihormati
Hari ini meneruskan undang-undang rimba
Setelah 3 Julai 2013 melakukan rampasan kuasa
Mau menghukum mereka diberi mandate pemerintahan
Mursi dan 14 pemimpin ikhwan
Bahkan rakyat yang bangkit menentang
Berdepan ancaman dengan hukuman songsang
Semata-mata kerana di tangan mereka senjata
Tanpa mengambil kira maruah dan susila dunia.

Hormat kita pada Mursi 
Dengan berani menyanggah
Arahan memakai baju banduan
Dalam kamar perbicaraan
Sebaliknya dengan tegas berkata
``Saya Presiden dipilih rakyat,
Kamu penderhaka patut dibicara
Dan dihukum menurut susila.``

Masyarakat dunia konon mengamal demokrasi
Mengapa begitu apatetik terhadap peristiwa
- Dunia Arab yang tidak peka
Ironinya tidak senang dengan Islam
- Amerika dengan John Kerry Setiausaha
Bersikap talam dua muka
- Israil bersekongkol dengan Amerika
Meneruskan angkara porak peranda
- Negara-negara  Islam dalam OIC
Sepi dari sebarang kata
- Mereka semua bersikap
Membiarkan mereka maharajalela.

Al Sisi dan talibarut rampasan kuasa
Ditambah perbicaraan songsang
Masih tidak puashati
Dengan pembunuhan
Selagi darah syahid pimpinan
Tidak ditumpahkan.


Dengan rampasan dan pembicaraan songsang
Mereka merakamkan sejarah hitam
Pada tembok zaman
Disaksi dan diperhati mata dunia
Dengan penuh tajam dan curiga.

Mesir dengan rampasan kuasa
Kini dengan perbicaraan songsang
Kembali kepada zaman gelap
Dengan semangat Firaun moden
Makin dipinggir dunia
Hilang banyak peluang
Malap masa depan.


Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
01 Muharram 1435
05 November 2013.

No comments:

Post a Comment