November 3, 2013

Mengikuti Kursus Penulisan Anjuran PELITA


BBB, 28 Zulhijjah 1434 = 02 November 2013 (Sabtu):

Kursus Intensif Penulisan 1972 diadakan oleh Pelita selama sebulan pada setiap hujung minggu (Jumaat), mulai dari 3 Mac, 10 Mac, 17 Mac, 24 Mac dan 31 Mac 1972. Kursus bertempat di Sekolah Kebangsaan Gong Kapas, Kuala Terengganu bermula dari jam 9.00 – 11.00 pagi setiap kali. Kursus anjuran Pelita adalah tajaan Kerajaan Negeri Terengganu dan Bahagian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Terengganu. Kursus melibatkan penulisan rencana drama dan esei. Kursus bermula 3 Mac ini dipenuhi dengan perasmian oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu Dato` Haji Nik Hassan bin Abdul Rahman yang mengucap tahniah kepada Pelita yang berjaya menganjurkan kursus intensif penulisan. Beliau berharap akan lahir penulis-penulis berbakat dan mampu memperkenalkan Terengganu melalui penulisan mereka. Sebelum daripada itu Ketua Satu Pelita Haji Abdul Rashid Ngah memaklumkan seramai 80 peserta mengikuti kursus dari Kuala Terengganu dan luar dari Kuala Terengganu. Beliau mengucapkan terima kasih kepada tokoh-tokoh penulis yang akan menyampaikan  kursus dan bengkel dan mengharapkan peserta-peserta mengikuti dengan tekun apa yang akan disampaikan dan mempraktikkannya bukan saja dalam kursus, tetapi bila berkarya nanti.

Penulis yang pada masa tersebut dalam masa cuti universiti mengambil peluang mengikuti kursus hujung minggu bagi memahami selok belok penulisan dan berkenalan dengan penceramah-penceramah baik secara langsung atau tidak langsung melalui perbincangan dan pertanyaan-pertanyaan. Sebagaimana telah disebut peluang mendapat ilmu dan berkenalan dengan pengendali ruang dan penerbitan amat penting. Ia adalah merupakan cara bagi mendapat peluang di dalam penerbitan, jika kita dikenali dan sudah tentu mesti bermutu tulisan memudahkan peluang mendapat tempat. Penulis hadir ke kursus mulai hari perasmian dan memahami format kursus dan dapat maklum mengenai tokoh-tokoh penyampai kursus. Hari pertama 3 Mac adalah hari perasmian semata-mata.

Kursus sebenar 4 minggu berikutnya bermula pada 10 Mac 1972, iaitu kursus Penulisan Rencana dan Berita. Kursus ini disampaikan oleh saudara Harun Hassan anak Terengganu yang berbakat dan gigih di dalam penulisan. Bermula sebagai pemberita di akhbar-akhbar Utusan. Menulis secara kritis. Ia pernah ke Ibu Pejabat di Kuala Lumpur. Pernah mengendalikan akhbar sendiri, iaitu Suara Rakyat yang amat mendapat sambutan kerana kritis dan analisisnya yang menarik dan mendalam. Beliau juga menerbitkan Majalah Sarina yang begitu maju. Kursus diikuti dengan diskusi, bengkel dan menghasilkan penulisan. Pada minggu kedua kursus (17 Mac) masih disampaikan oleh saudara Harun Hassan dan membimbing peserta-peserta di dalam penulisan.  Begitu juga tulisan rencana diteruskan pada minggu ketiga (24  Mac). Pada kali ini pihak Peserta  menerima dua tokoh penting dalam bidang penulisan, bahkan mengendalikan penerbitan terkenal, iaitu Ustaz Yusof Zaky Yaakob dan  Hassan bin Haji Muhammad.

Ustaz Yusof Zaky Yaakob dan saudara Hassan Haji Muhammad contoh dua anak muda yang bersemangat dan berjiwa besar. Mereka berdua mendapat didikan di Mesir dan pulang dengan cita-cita yang sama, iaitu menjadi pengarang dan melibatkan diri di dalam penerbitan. Yusof Zaky Yaakob membawa pendekatan baru di dalam penulisan buku-buku di dalam bahasa Melayu, iaitu menulis bidang psikologi dan kemasyarakatan. Banyak buku-buku di dalam bidang-bidang ini dihasilkan dengan gaya karangan yang memikat dan bentuk penerbitan yang menarik – di dalam tulisan jawi dan juga rumi. Sebagai seorang yang bercita-cita besar di dalam bidang keilmuan dan penerbitan, maka mulai Ogos 1961 Yusof Zaky menerbitkan Majalah Bulanan `Dian`. Satu majalah yang menarik, membawa ilmu pengetahuan dan maklumat-maklumat. Bentuk `Dian` sebagai Reader`s Digest. Majalah amat menarik perhatian dan sambutan masyarakat. Syarikat Dian juga menerbitkan berbagai-bagai jenis buku. Manakala saudara Hassan Haji Muhammad juga terlibat di dalam pengarangan dan penerbitan. Penerbitannya dikenali dengan (Pustaka Aman) `Aman Press`. Penerbitan ini menumpukan perhatian pada penerbitan agama dan juga mencetak majalah-majalah.

Penulis berasa beruntung dapat mengikuti kursus penulisan yang disampaikan oleh Ustaz Zaky Yaakob, Harun Hassan, Hassan Haji Muhammad dan yang lain-lain (Ahmad Kassim Endut) penulis tempatan mengendalikan bidang drama. Dari segi kursus penulisan, ini bukanlah pertama dan akhir kursus penulisan yang dianjurkan oleh Pelita, banyak lagi kursus dan anjuran penulisan. Sesungguhnya Penulis merasa amat bermanfaat dan puashati dengan kursus yang dianjurkan. Minggu terakhir kursus Penulisan, iaitu 31 Mac, 1972  ialah Majlis Penutup.

Sekian.

No comments:

Post a Comment