November 9, 2013

Dr. Halimah Rasmikan Kompleks Pendidikan Islam Bangi. Harap Bangi Sama Merealisasikan Baldah Tayyibah Wa Rabbun Ghafur Di Selangor

-->
BBB, 04 Muharram 1435 = 08 November 2013 (Jumaat):


Y.B. Dr. Halimah Ali Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan & Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor yang juga Adun Selat Kelang merasmikan Kompleks Pendidikan Islam (KPI) Bangi, di Seksyen 16 Bandar Baru Bangi, pagi ini. Hadir sama ialah Y.B. Ustaz Shafie Ngah Adun Bangi, Dr. Tajul Ariffin Noordin Pengerusi Lembaga Tadbir KPI, Tuan Haji Ahmad Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Mantan Adun Bangi, Ketua-Ketua kampong, guru-guru dan para tetamu jemputan.


Dr. Halimah menyebut, sempena dengan awal tahun Hijrah yang mulia, beliau mengucapkan terima kasih dan bersyukur kepada Allah kerana KPI dapat disiapkan. Kata Dr. Halimah, ``Saya difahamkan beserta perasmian ini pihak pentadbir minta saya lancarkan derma bagi membina bumbung KPI, untuk mengelak dari panas-hujan di bahagian tengah yang sering diadakan kegiatan.`` Tambah Dr. Halimah, ``Tentu tidak sukar dan sudah tentu ramai dermawan yang akan menderma. Ini merupakan pelengkap bagi bangunan.``


Dr. Halimah percaya KPI menjadi salah satu mekanisme tuntutan Islam agar masyarakat umat menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad yang juga bererti meningkatkan modal insan yang tidak asing bagi penduduk Bangi yang mana Bangi Bandar Ilmu.


Dr. Halimah menyentuh tentang hasrat menjadikan Selangor sebagai `Baldah tayyibah wa Rabbun Ghafur` yang mana hasrat ini telah diucapkan di dalam Dewan Negeri Selangor dan tercatat di dalam handserd yang menjadikannya sebagai sesuatu yang rasmi sesuai dengan Negeri Selangor Darul Ehsan yang beliau tafsirkan antaranya bermaksud `Cemerlang`. Faktor utama bagi mencapai kecemerlangan tidak lain daripada melalui ilmu.


Dr. Halimah menyebut, ``Oleh kerana Bangi terkenal sebagai kawasan intelektual yang banyak dengan universiti dan ramai dengan tenaga akademik dan pelajar-pelajar, saya berharap Bangi dapat bekerjasam dengan kerajaan negeri di dalam misi dan visinya di dalam meningkatkan modal insan dan mencapai Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur.``
Dr. Halimah mencadangkan agar diadakan Persidangan Meja Bulat antara pihak Exco Pendidikan dan perwakilan dari penduduk bagi membincangkan hasrat berkenaan.


Terdahulu daripada itu Dr. Tajul selaku Pengerusi KPI menggalurkan sejarah pendidikan yang membawa kepada terdirinya KPI, bermula 1978 menumpang di masjid UKM kepada penubuhan Kafa di Surau An-Nur 1979, kemudian menumpang di Sekolah Kebangsaan di Jalan Dua. Mulai 1987 sempena 10 tahun BBB barulah diadakan Sekolah agama di tapak bangunan di sini dirasmikan oleh Y.A. B Menetri Besar pada masa itu Dato` Mohd. Hj. Mohd Taib. Cadangan meningkatkan bangunan di sini dilakukan sejak 2008. Oleh kerana kekurangan dana maka pada tahun 2011 pihak AJK menemui YB. Dr. Halimah dengan cadangan bagi membangunkan kompleks pendidikan di sini. Terima kasih di atas sumbangan kerajaan melalui Exco Y.B. Dr.  Halimah yang telah memberi peruntukan bagi pembinaan KPI ini berjumlah RM240,000.00.

Dr. Tajul menyebut, atas semangat dan kerjasama semua pihak pada peringkat permulaan pembinaan 2008 duit di tangan hanya ada sebanyak RM500,000 sahaja, tetapi atas komiten dari pihak perunding, arkitek, elektrik dan sebagainya banyak yang memberi khidmat percuma. Ucapan terima kasih kepada penduduk-penduduk yang terus memberi derma hingga dapat dikatakan bahawa KPI adalah merupakan binaan hasil dari derma rakyat.

KPI yang telah digunakan sejak akhir tahun lepas ini masih belum begitu sempurna. Kita merancang untuk membuat bumbung bahagian atas untuk melindungi bahagian bawah yang sering digunakan bagi berbagai kegiatan. Menurut Dr. Tajul, KPI sekarang menjalankan 3 program utama, iaitu pendidikan formal yang kini KPI mempunyai seramai 600 pelajar, iaitu berjalan mengikut sistem persekolahan, pendidikan tidak formal, seperti ceramah, forum, bengkel dan sebagainya yang biasanya berjalan pada hari minggu dan kegiatan umum oleh masyarakat. Fokus kita kata Dr. Tajul ialah tidak lain dari membentuk Generasi al-Qur`an. Kata Dr. Tajul, ``Kita mempunyai Kafa Integrasi rendah & Fardu `ayn dan Tahfiz, tetapi kita memerlukan Kafa Menengah yang masih belum ada di Bangi atau Ma`had Tahfiz.`` Di dalam hal ini Dr. Tajul menyebut tentang cadangan pihak AJK bagi mengadakan peringkat menengah dan pihak AJK telah meninjau tapak di pinggir Bangi dan Putrajaya yang sesuai untuk penduduk di Bangi dan Putrajaya untuk peringkat menengah dan tahfiz. Beliau berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan peruntukan  bagi memenuhi keperluan penduduk Bangi dan juga Putrajaya.


Tuan Haji Ahmad Sufi selaku YDP Persatuan Penduduk menyebut bahawa beliau menerima cabaran sebagai Pengerusi Pembangunan Sekolah bersama Ustaz Jamil. Bersyukur kepada Allah akhirnya bangunan dapat disiapkan. Beliau menyebut bahawa atas kerjasama semua pihak bangunan dapat disiapkan. Beliau juga menyebut, Bangi yang mempunyai 15,000 rumah dengan penduduk lebih dari 100,000 orang amat memerlukan sebuah Dewan Orang Ramai atau Convention Centre. Usaha telah banyak dilakukan dengen menemui pihak-pihak berkenaan, tetapi dari asalnya ada kepastian ada tapak di tepi Tasik Cempaka, kini tidak dipastikan tentang lokasi sebenar yang dikatakan ditepi Tasik Cempaka itu. Beliau melahirkan kekecewaan perancangan yang diharapkan masih belum ada kepastian.

Pada akhir majlis Dr. Halimah dengan diiringi AJK dan tamu-tanu telah merasmikan KPI dengan menandatangan pada plug yang disediakan dan melancarkan derma bagi membina bumbung KPI.

Perbincangan dietruskan pada masa makan dengan Y. B. Dr. Halimah membuat cadangan agar dibuat Persidangan Meja Bulat di Bangi bagi membincangkan kepentingan:

``Merakyatkan Ilmu dan Mengilmukan Rakyat``.


Dr. Tajul mengulangi cadangan mau membina Sekolah Menengah/tahfiz patut diadakan di Bangi dan potensi anak-anak yang genius di BBB dapat dididik dan dijanakan masa depan mereka. Beliau sekali lagi mengharap agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan peruntukan bagi pembinaan dan tapak yang telah dikenalpasti.
Ada juga cadangan agar kerajaan negeri Selangor mengambil alih kampus Cybertel dan dibaik pulih bagi Sekolah Menengah. Antara yang berminat dengan tapak ini ialah pihak Sekolah al-Amin bagi mewujudkan peringkat menengah sebagai kelangsungan bagi peringkat rendah yang sedia ada.

Semua perkara yang berkenaan akan dibincang kelak dan akan dipanjangkan untuk tindakan susulan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment