November 7, 2013

Penerbitan Majalah Dian Yang Menarik Lagi Disayang

-->
BBB, 01 Muharram 1435 = 05 November 2013 (Selasa):

Pertama kali Majalah Dian bertulisan jawi diterbitkan kepada khalayak pembaca di Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia belum dibentuk) bermula dengan Bilangan (1) Ogos 1961 terbitan Pustaka Dian Press, Kota Bharu, Kelantan amat menarik. Penulis yang pada masa itu sedang belajar di Sekolah Sultan Zainal Abidin Thanawi, Kuala Terengganu turut membeli naskhah terbitan sulung dan seterusnya sebagai majalah kesayangan yang ditunggu setiap keluaran.


Penerbitan Majalah Dian adalah hasil dari kegigihan Yusoff Zaky Yacub anak muda yang pulang dari Mesir (Lulusan Universiti Qahirah dan Cairo American University) mengasaskan Pustaka Dian Press bagi menerbitkan buku-buku. Dian adalah majalah terbitan Pustaka Dian, Simpang Lido, Kota Bharu yang Yusoff Zaky menjadi Ketua Pengarangnya.

Dian membawa kelainan dari majalah Melayu yang sebelum dan sezaman dengannya. Ia mengambil bentuk dan saiz Reader`s Digest (19 x 13.5 cm) berbanding dengan majalah Melayu yang lain seperti Mastika dan Dewan Masyarakat yang masih bersaiz besar. Kemampuan sebuah syarikat percetakan dari Pantai Timur mengeluarkan majalah yang begitu menarik amatlah dikagumi. Dian melalui keluaran pertamanya memperkenalkan dirinya sebagai:

                                            DIAN
                                      Bulanan Ilmiah
                             Majalah Angkatan Baru
                               Zaman Pembangunan

Tetapi sebagai keluaran perintis dikeluarkan 4 bulan sekali keluaran. Keluaran peringkat pertama ini ialah setebal 132 hlaman dengan harga RM1.00 senaskhah (tidak termasuk belanja pos), manakala keluaran peringkat kedua akan diterbit pada awal tiap-tiap bulan.

Bagi keluaran pertama ini penghormatan diberi kepada Menteri Muda (Penerangan dan Radio) Persekutuan Tanah Melayu Yang Berhormat Tuan Syed Jaafar al-Bar, tulisnya:

                                    Selamat Lahir

Saya gembira sekali menyambut dan mengalu-ngalukan majalah ini yang saya anggap suatu sumbangan yang sangat berharga dan berguna kepada perkembangan tanahair kita dan kebangkitan fikiran umat kita  dalam zaman pembangunan nasional kita ini.

Di dalam alam persuratan kita pada masa ini banyak terdapat majalah-majalah yang berbagai-bagai ragam isi kandungannya, tetapi banyak pula di antaranya yang hanya menitikberatkan soal-soal yang ringan. Kurang sekali majalah memberatkan perkara-perkara yang lebih berisi yang menuju kepada pembentukan fikiran nasional yang subur berdasarkan pengetahuan-pengetahuan yang bersendi ilmiah.

Memandangkan kepada penerbit dan pengarangnya sudah pada tempatnya majalah ini terbit untuk memenuhi kekosongan itu. Saya percaya sedemikian, kerana saya tahu kebolehan rakan lama saya, saudara Yusoff Zaky, bahkan seluruh masyarakat tahu dan menghargai setinggi-tingginya penerbitan-penerbitan yang begitu banyak dan demikian tinggi nilainya yang telah dipersembahkan oleh beliau dan Pustaka Diannya.

Majalah ini adalah ibarat sekuntum bunga mawar atau permata maknikam di tengah-tengah sekian banyak bunga dan permata-mata yang ditaburkan oleh Pustaka Dian di pangkuan ibu pertiwi.

Saya percaya majalah ini akan mendapat sambutan  yang hangat dan galakan yang bersungguh-sungguh dari segenap peringkat supaya dapat ia maju jaya menjadi sebuah lampu yang menyuluh masyarakat kita dalam pembangunannya. ( Tandatangan, Kuala Lumpur, 8 Jun 1961).

(Syed Jaafar al-Bar – dari Johor adalah guru di Sekolah al-Islah - swasta, Kota Bharu sebelum melibatkan diri dalam politik dan kawan kepada Yusoff Zaky).

Yusoff Zaky – Dari Meja Pengarang, menyatakan:

Majalah `Dian` ini telah lahir sejak empat tahun yang lalu, lahir dalam impian dan angan-angan kami sejak Percetakan Pustaka Dian bertugas dalam alam Perpustakaan Melayu, tetapi suasana pemikiran minat dan kudrat mutalaah secara ilmiah yang terbatas dalam kalangan pembaca-pembaca Melayu telah menyebabkan perlaksanaan impian itu terpaksa ditunda beberapa tahun ke belakang.

Sekarang zaman pembangunan telah tiba dan agaknya inilah saat yang paling wajar untuk `Dian` melahirkan dirinya dari alam impian ke alam nyata. Semoga kelahirannya disambut meriah dan semoga wujudnya dapat memberi sumbangan yang membina kepada pemikiran-pemikiran ilmiah di dalam kalangan pembaca Melayu dan semoga `Dian` dapat memain peranannya sebagai jambatan kecil yang menghubung alam pembacaan Melayu dengan alam-alam fikiran ilmiah timur dan barat yang sudah maju dan jauh meninggal kita di belakang.

Inilah `Dian` anak yang baru lahir, masih bogel dalam bentuk dan tekniknya dan masih sumbang dalam langkah dan nadanya. Oleh itu berilah tangan yang gagah untuk Dian berpegang dan bumi yang keras untuk Dian berpijak dan macis yang kering untuk Dian bernyala …..bernyala tak kunjung padam (Yusoff Zaky Yacob).

Dian juga mempelawa para sasterawan dan sasterawati memberi sumbangan karya sama ada berupa terjemahan, pengkajian sendiri, penyaringan dan sebagainya (tiap sumbangan akan dibayar menurut sewajarnya).

Untuk keluaran sulung Dian memuatkan makalah tentang Tenaga Atom – Perdamaian dan Peperangan oleh Thomus Edison – Pengkaji tenaga atom, makalah Ke mana Kita dibawa Sains ?, Kejadian Perempuan, Kemiskinan – Di antara Sosialism Dan Komunism oleh Dr. Ahmad Zaky, Mengapa Umat Islam Beku ? oleh Al-Imam Shaykh Muhammad Abduh,  Teropong Psychology oleh Dr. Amir Boklour, Ruangan Kuasai Bahasa Ibunda (Istilah-istilah), Suntingan Gaya Bahasa (Ungkapan dari Hamka), Dunia Sains Rekaan (Perlumbaan Menakluk Angkasa Lepas), Si Beruk – Sebuah Tragedy Dari India oleh K.T. Mohammad, Puan Boleh Memanjangkan Umur Suami Puan, Psychology Penyakit Darah Tinggi oleh Dr. S.B. Whitehead.

Tiga buah sajak,  Kepada Penjajah oleh Muhammad Hafiz Ibrahim, Penyair Besar Mesir, Si Penyair oleh Victor Hugo, Penyair Besar Perancis, dan Berjuang oleh Karimah Zain, Tunas Pantai Timur. Jam dan Peribadai, Siapa Bercakap Bohong ? Archimedes, Pereka  Dunia Lama, Rintihan Jiwa Kanak-Kanak oleh Educationist, Rusia atau Amerika oleh Bertrand Russel dan Cerpen Musim Bunga oleh Hilmi Murad. Di antara karya-karya diselit dengan petikan-petikan yang memberi kerehatan minda dan hiburan.

Dengan kelainan pendekatan dan kandungan sesungguhnya Dian menyajikan kepada pembaca wadah-wadah pembaharuan yang menarik dan bermaklumat. Pengeluaran Dian seterusnya mendapat sambutan pembaca.

Sekian.

No comments:

Post a Comment