November 19, 2013

Perkembangan Dasar Luar Malaysia


BBB,  14 Muharram 1435 = 18 November 2013 (Isnin):

Makalah di atas adalah merupakan makalah keenam dan terakhir yang dihantar Penulis kepada Dian dan terbit di dalam Dian Bil. 65, Tahun XII, 1973, edisi rumi. Dasar Luar Malaysia adalah kursus yang ditawarkan oleh Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan, UKM untuk tahun tiga Jabatan Sejarah, Kursus ini dikenali dengan ME 301 Sejarah Malaysia V (Dasar Luar). Penulis mengambil kursus ini dan amat meminati kursus tersebut. Menurut keterangan bagi kursus ini, ia merupakan suatu pengkajian mengenai Dasar Luar Malaysia dengan menitikberatkan tempoh selepas 1957. Perhatian ditumpukan kepada kesan-kesan politik dalam negeri terhadap Dasar Luar dan sebaliknya. Kursus ini sebenarnya lebih tepat berada di bawah Kursus Sains Politik, tetapi Jabatan Sains Politik yang merupakan pecahan dari Jabatan Sejarah belum lagi ditubuhkan, Kursus ini dikendalikan oleh Profesor Zainal Abdin bin Abdul Wahid Ketua Jabatan Sejarah, UKM. Profesor Zainal seorang yang berpengalaman luas. Bekas Pegawai Tabdir dan Diplomatik dan bekerja di Kementerian Luar, seorang nasionalis yang merupakan pejuang mendirikan UKM dan juga seorang pejuang bahasa. Kuliahnya sentiasa bersemangat. Sering membangkitkan tentang ketinggalan orang Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan dan bidang-bidang professional. Beliau sering mengemukakan data dan statistic bagi mengukuhkan pendapatnya.

Dasar Luar atau juga dikenali sebagai Hubungan Antarabangsa adalah polisi bagi sebuah Negara merdeka menurut kepentingan Negara dan pimpinan semasa. Dasar Luar Malaya adalah selepas Negara mencapai kemerdekaan. Sebelum merdeka 1957 Malaya di bawah British dan tidak dapat menggubal dasar luar sendiri. Apa juga dasar adalah menurut neraca pertimbangan kepentingan Negara semasa yang diambil. Ianya boleh mengalami perubahan menurut kepentingan dan keadaan.

Dalam makalah Penulis berhubung dengan Dasar Luar ini, Penulis memecahkan Dasar Luar Malaysia selepas merdeka kepada tiga tahap, iaitu tahap konservatif, tahap transisi dan tahap pragmatif.

Sesudah Malaya mencapai kemerdekaan ianya diterima menjadi ahli Pertubuhan Bangsa Bersatu.  Seharusnya ia bebas menentukan dasar luarnya, tetapi Malaya pada masa itu masih berkiblatkan London. Kegiatan dasar luarnya lebih tertumpu pada Negara-negara Komanwel yang Malaya adalah salah sebuah Negara anggota. Komitmen Malaya di dalam Komanwel begitu tinggi, Tengku Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Luar pernah berkata,
``Kita akan timbul atau tenggelam bersama sahabat-sahabat kita di dalam Komanwel British,`` tambah Tengku, `` Malaya akan melakukan apa jua yang dapat untuk menjadikan Komanwel sebuah badan yang bergerak maju.``
Kejayaan yang agak menonjol di dalam Komanwel ialah kesungguhan Malaya pada masa menentang dasar aparthied di Afrika Selatan yang kelak negera itu kembali di bawah pemerintahan penduduk tempatan diketuai Nelson Mandela.

Malaya pada peringkat awal kemerdekaan mengambil dasar yang keras terhadap komunis, kerana pengalaman Negara lebih satu dekad berperang dengan kominis.
Bermusuh dengan komunis dalam negeri dan menjadi dasar, bahawa Malaya tidak senang dan menganggap musuh pada masa itu terhadap Negara-negara komunis seperti Cina, Rusia dan lain-lain. Negara tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Negara-negara Komunis.

Tahap Transisi dapat dilihat usaha bersama Malaya, Negara Thailand dan Filipina menubuhkan Kesatuan – Association of South East Asia (ASA – Persatuan Asia Tenggara) yang menekankan kerjasama dalam bidang ekonomi dan kebudayaan. ASA menawarkan keanggotaan kepada semua Negara di Asia Tenggara untuk menganggotainya, tetapi negera-negara seperti Indonesia menganggap ASA sebagai  Kesatuan yang mendukung imperialis Barat, sebab itu kurang mendapat sambutan – sehingga Asean ditubuhkan kemudiannya. Kedudukan Malaya dalam zaman transisi ini masih dianggap sebagai Negara konservatif. Pada tahun 1960an merupakan dekad kebangkitan solidarity Dunia Ketiga. Tokoh-tokoh terkenal Dunia Ketiga ialah Jawaharlal Nehru Presiden Negara India, Sukarno Presiden Indonesia, Jamal Abdul Nasir Presiden Mesir dan Tito  President Negara Balgrade (Zekoslavakia). Dengan tokoh-tokoh yang besar dari Negara-negara yang besar kesatuan Negara-negara ini dikenali  dengan Kuasa Dunia Ketiga ditakuti oleh Negara-negara besar  dan banyak sumbangan melalui pimpinan dinamik mereka pada masa itu. Malaya pada masa itu masih dianggap condong kepada Barat. Bagi menempatkan dirinya sebagai Negara Dunia Ketiga Malaya pernah memohon untuk menganggotai Afro-Asia yang pada tahun 1960an begitu rancak, bersemangat dan anti imperialis itu, tapi permohonan Malaya bagi kali pertama menyertai Afro-Asia ditolak di dalam sidangnya di Jakarta. Malaya berusaha melobi di dalam sidang Kedua dengan melawat ke 17 buah Negara bagi mendapat sokongan menyertai  Afro Asia yang bersidang kali kedua di Qahirah, Mesir. Hasil kerja keras dan lobi akhirnya diterima untuk menganggotai Persatuan Afro-Asia. Walau macam mana selepas kematian atau pengunduran pemimpin-pemimpin Afro Asia terkenal seperti Nehru, Sukarno, Jamal Abdul Nasir dan Tito, maka Kesatuan Afro-Asia makin lemah, hilang kewibawaan dan akhirnya tidak dihormati. Era Tengku Abdul Rahman adalah era permulaan bagi Dasar Luar Malaysia dan begitu konservatif

Perubahan yang bersifat Pragmatif radikal ialah selepas pengunduran Tengku Abdul Rahman dari Perdana Menteri Malaysia (1969). Tempatnya diganti oleh Tun Abdul Razak bin Hussein. Tun  Razak telah merubahkan Dasar Luar Malaya yang telah diasaskan oleh Tengku Abdul Rahman. Dasar luar yang ketara ialah mengadakan hubungan diplomatic dengan negeri Cina. Malaysia selepas itu mengadakan hubungan diplomatik dengan berbagai Negara timur dan Barat, menyertai berbagai pertubuhan seperti Asean dan OIC, termasuk juga kerjasama Pertahanan dengan beberapa pertubuhan.

Dasar luar Negara memanglah terletak di bawah bidang politik, tetapi tidak semua Dasar Luar Negara berhubung dengan soal politik. Dasar Luar Negara terletak di bawah Kementerian Luar Negara. Negara melantik duta-duta ke negera-negara yang banyak memberi kepentingan bagi Negara. Kedutaan adalah sebagai wakil Negara ke negeri yang dutanya dilantik. Kedutaan melaksanakan polisi dan dasar luar Negara. Menjaga kepentingan ekonomi Negara di Negara tersebut, mempromosikan pelancongan Negara, mengurus dan menjaga kepentingan pelajar yang datang belajar ke Negara tersebut dan sebaliknya. Kedutaan tidak boleh menyalahi dari polisi Negara. Dalam waktu-waktu tertentu mungkin timbul perselisihan antara kedua Negara, contoh dengan Indonesia dan mungkin berdepan dengan tunjuk perasaan rakyat dari Negara berkenaan. Kedutaan hendaklah bijaksana mengendalikan kepentingan Negara. Tidak jarang pertikaian membawa kepada putusnya hubungan diplomatik, maka kedutaan hendaklah patuh bagi kehendak dan polisi Negara.

Dasar luar Negara selamanya menjaga polisi dan kepentingan Negara.

Sekian.

No comments:

Post a Comment