November 24, 2013

Al-Fatihah Kepada Ruh Al-Marhumah Ketua Muslimat Pas Pertama

-->
Kelang, 19 Muharram 1435 = 23 November 2013 (Sabtu):

Al-Fatihah kepada ruh al-Marhumah Ustazah Zubaidah bt. Ali (1938-2013) Ketua Muslimat Pertama Pas yang telah meninggal dunia di rumahnya di Taman Firdaus, Selat Kelang pada Jumaat semalam. Beliau telah uzur sejak tiga bulan yang lalu dan dirawat di Hospital Putera Jaya dan terakhir di IJN, Kuala Lumpur. Al-Marhumah bagai diberi pertunjuk oleh Allah dan menyedari bahawa ajalnya hampir tiba, difahamkan oleh anaknya Ustaz Fuad, bahawa ibunya minta dibawa pulang ke rumah. Setibanya di rumahnya di Taman Firdaus di sini, sebaik diistirihatkan di atas katil, al-Marhumah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Inna li`Llahi wa inna ilayhi rajiun. Al-Fatihah. Hasrat al-Marhumah ingin mengakhirkan hayatnya di rumah sendiri dikabukan Allah.
Al-Marhumah adalah Ketua Muslimat Pertama di awal-awal tahun 1960an dan suaminya Ustaz Ahmad Azam Hanafiah (sepupu Ustaz Ahmad Awang) pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu pada masa Pas memerintah negeri itu pada 1959 ke 1960. Ustazah Zubaidah berkelulusan pengajian agama di Sumatera – tempat yang banyak melahirkan pimpinan wanita termasuk Aishah Ghani. Ustazah Zubaidah pernah berkhidmat sebagai Guru Agama di Sekolah Khairiah, Kuala Terengganu dan ditukarkan ke Sekolah Ma`arif, Kg. Raja, Besut, Terengganu. Selepas bersara dari Guru Menengah Agama (Sekolah Arab), beliau kembali menetap di tempat asalnya di Kelang bersama suaminya yang berasal dari Perak dengan bergerak di dalam badan kebajikan dan keilmuan, sambil meneruskan kegiatan dalam parti Pas.


Bagi Penulis Ustazah Zubaidah, bukan sekadar Ketua Muslimat Pas Pertama, dalam mana Penulis pada masa itu tidak kesah tentang politik, tetapi al-Marhumah mempunyai hubungan dengan Penulis suami isteri. Beliau adalah Guru bagi isteri Penulis di Sekolah Khairiah yang kemudian menjadi guru dan sempat berkhidmat mengajar bersamanya di Madrasah Khairiah, Kuala Terengganu. Bagi Penulis apabila tamat Sekolah Menengah Thanawi Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan mula berkhidmat sebagai guru sementara, maka Sekolah pertama Penulis mula mengajar bermula dengan jawatan guru sementara, iaitu di Sekolah Ma`rif, Kg. Raja Besut. Pada masa itu Ustazah Zubaidah adalah Guru Besar, di Sekolah Ma`arif, Kg. Raja, Besut. Kami tahu beliau giat dalam politik Pas dan tahu beliau ditukar jauh ke Kg. Raja Besut lantaran kegiatan politiknya (selepas kerajaan Pas tumbang di negeri Terengganu). Selain dari guru dan murid bagi isteri Penulis dan kami suami isteri sebagai kawan mengajar, di Sekolah Khairiah, Kuala Terengganu bersama isteri Penulis dan sebagai guru Besar dan Guru Sementara bersama Penulis, Di Kg. Raja Besut.

Selain daripada itu, kami kemudian dierat hubungan dalam nama seorang sepupu kepada isteri berkahwin dengan anak Ustaz Azam dan Ustazah Zubaidah, iaitu Ustaz Fuad. Mereka bertemu juduh semasa melanjutkan pelajaran ke Mesir. Dieratkan hubungan kekeluargaan ini, bila kami bertugas di Selangor, hubungan kami berterusan dan sering bertemu di dalam majlis-majlis ilmu dan menziarah mereka suami isteri di rumah mereka. Ustaz Ahmad Azam meninggal pada tahun 2008. Berita kematian Ustazah Zubaidah kami terima petang semalam dan dimaklumkan akan dikebumikan pada hari ini.

Penulis bersama isteri dan anak berkesempatan menziarah kematian Ustazah Zubaidah di kubur bertempat di Tanah Perkuburan Selat, Kelang. Ustazah Zubaidah bersama Ustaz Azam meninggalkan 6 orang anak.

Sekian.

No comments:

Post a Comment