November 16, 2013

Taufan Bernama Haiyan


Dia adalah camar putih bergerak bebas
Memuncak menjunam di laut lepas
Sempadan benua ke benua terbentang
Adalah medan bebas pergerakan
Dia adalah tenaga yang kadang-kadang
Menghembus perlahan mengocak permukaan
Riaknya tiba ke pantai-pantai nyaman
Berlayar di atasnya kapal-kapal tenang
Memunggah darinya rezeki nelayan laut dalam.

Musim-musim gelora
Marah camar bertukar garang
Ribut mengancam laluan
mencabut pohon meranap bangunan
tidak kurang menuntut korban
Mereka mempertaruh kehidupan
pada pantai pada laut gelombang.

Semalam atas kesedaran luar kemampuan
Camar datang berwajah bengis taufan
Bergerak hingga 275 km. sejam
Melonjak 4.5 meter ketinggian
Membadai perpantaian Filipina
Memusnahkan Sulu dan Tacluban
Memanjang garang ke Vietnam dan Hainan
Mengorban mangsa puluh ribuan
Yang tinggal puing kesedihan
Ratus ribu hilang perlindungan
Berapa yang hilang pergantungan
Berapa pula hilang kasih sayang.

Suasana begini
Kemusnahan menyedarkan
Betapa rapuhnya kehidupan
Nyawa adalah daun-daun gugur berselerakan
Lemah mengawal hanya satu anasir alam
Bernama Taufan Haiyan.

Ketika begini
Lupa mereka pada perbezaan
Sedar bahawa manusia bersaudara
Perlu sama pertahan kelangsungan
Perlunya bantuan kemanusiaan
Lantas dari seluruh pelusuk dunia
Mencurah simpati dan takziah
Bantuan segala keperluan dipunggah.

Anasir alam sama ada
Bernama Haiyan
Bernama gempa
Bernama banjir
Bernama kebakaran
Sekali sekala ketika lupa
Datang mengajar manusia
Perlunya ingat waspada
Ada ancaman lebih dahsyat
Perlu bersedia masanya mendekat
Keangkuhan adalah kemusnahan
Kemanusiaan adalah kasih sayang
Rahmat dari Tuhan.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,
08 Muharram 1435
12 November 2013.

No comments:

Post a Comment