Bismillahi`r-Rahmani `r-Rahim
Assalamu `alaikum wmt. wbt.
Al-Hamdulillahi Rabbi`l-Alamin wa`s-Salatu wa`s-Salam `Ala Ashrafi`l-Anbiya` wa`l-Mursalin wa `Ala `Alihi wa Sahbihi Ajama`in. Amma Ba`d:
Saudara Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia Profesor Dato` Seri Dr. Md. Salleh Yaafar Pengerusi Lembaga
Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka,
Yang Berbahagia Dato` Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sasterwana Negara Dato` Dr. Ahmad Khamal Abdullah Presiden
Sasterawan Numera Malaysia ,
Tokoh-tokoh Persuratan Numera yang dinobatkan –
Prof. Dr. Abdul Hadi WM. dari Indonesia .
(Dr. Haji Shafie Abu Bakar dari Malaysia ).
Senator Dato` Dr. Firdaus Abdullah
Dato` Wira Dr .
Abdul Latif bin Abu Bakar Ketua Satu Gaprna
Tuan-tuan dan puan-puan para tetamu yang dihormati sekalian.
Pertama sekali Penulis mengucapkan terima kasih di atas
pemilihan buat pertama kali sebagai salah seorang `Tokoh Persuratan Dunia
Numera 2013`. Sesuatu yang Penulis tidak terfikir, bahkan di luar jangkaan.
Keterlibatan Penulis dalam Alam Persuratan lebih setengah
abad (1960an- kini 2013) dan penampilan Teori Takmilah sejak dua dekad
(1993-2013) adalah lebih didorong minat terhadap Alam Persuratan yang
melibatkan – Ilmu, puisi dan Teori Persuratan.
Menulis pada hakikatnya adalah nikmat sekaligus derita yang
menyala dan membakarkan `Lilin Diri` sebagaimana Penulis ungkapkan pada Januari
1988:
Lilin Diri
Keterlibatan ini
Mungkin tidak bererti
Barangkali yang ditinggalkan
Kesan terbakar sebuah kehadiran
Fana menghilang
Dan kita tidak lebih dari
Lilin bergantian
Nyala dan padam
Dalam penerusan.
(Lilin Diri, Madu Ilmu, 1999: 43).
Keterlibatan dalam bidang penulisan juga lebih bertemankan
kesepian (Tiada Tahu, Madu Ilmu, 1999: 130).
Sebagai `Petugas Seni` secara khusus pula:
Petugas Seni
Hari-hari
Dialog dalam diri.
…..
Petugas seni
Kadangkali
Mencatat rasa
Dengan airmata
Dalam membara
Darahnya bertinta.
Yang Lahir
Dirinyalah yang cair.
(Petugas Seni, Madu Ilmu, 1999: 131).
Penulis tidaklah minta dihargai. Pun begitu penghargaan
diberi amatlah disanjungi.
Namun sama ada dihargai atau tidak, selagi diri menapak di
permukaan bumi, berjalan di tengah kepanasan siang atau sejuk di bawah rintik
hujan malam. Selagi masih melihat kehijauan pohon, kebiruan laut, kejauhan
gunung dan ketinggian langit, selagi
minda, hati dan inderawi masih menanggapi selagi itulah jari masih menyurat –
ilmu, puisi dan teori. Insya Allah ke akhir hayat.
Namun Penulis berpendapat, janganlah sangat diberi perhatian
pada diri perseorangan yang betapa banyak pun dia berkarya tidak sebanding
setitis dari lautan ilmu atau sepercik madu seni segara dihayati.
Penulis berpendapat di sebalik Penobatan Tokoh Persuratan
Numera, di sana ada terserlah permukaan tujuan dan tentu ada yang lebih
mendalam, iaitu sebagai usaha menyalakan `Kandil Bahasa Serumpun` agar tidak
padam, mengungkapkan ilmu dan menyerlahkan daya intelektual dan mengunggulkan
keindahan bahasa dan daya estetika, sehingga menjadikan bahasa Numera – Bahasa
Melayu sebagai salah satu bahasa terpenting di dunia. Tentu pula Numera berhasrat
mau melihat pertambahan pustaka persuratan yang bakal diwarisi generasi dan
juga sebagai warisan peradaban dunia.
Penulis melihat Numera mengambil peranan besar dengan
cita-cita unggul bersama dengan daya dan usaha seperti yang sedang dilakukan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, pusat-pusat pengajian tinggi dan
institusi-institusi berkaitan di Negara ini dan kita berharap dan seharusnya
berusaha agar kesedaran dan usaha seumpama ini juga berlaku di Negara-negara
Numera yang lain.
Kita sesungguhnya bertuah menerima dan menyambung rantai
sejarah tamadun dan peradaban yang telah dibina oleh nenek moyang kita. Mereka
secara bijaksana dan kreatif membina perbendaharaan bahasa, keilmuan, peradaban
dan budaya Numera. Mereka seperti Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri, Nuruddin
al-Raniri, Shaykh Abdul Rauf Singkel, Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk
Pulau Manis), Raja Ali Haji, Abdullah bin Abdul Kadir Munshi, Syed Muhammad bin
Zainal Abidin, Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad (Tukku Paluh), Hamka, Amir
Hamzah, Za`ba, Usman Awang dan sebagainya.
Moyang kita mewariskan unggul keilmuan
Moyang kita mewariskan tradisi persuratan
Moyang kita telah berjasa
Mewariskan seni-nilai budaya
Mereka sesungguhnya menyerlah
Kepada kita peranan Khalifah.
Bagi Penulis, menyurat bukan setakat mengasah bakat, tetapi
menulis ilmu untuk dipelajari, menulis puisi untuk dinikmati dan menulis teori
kaedah bagi memahami dan mengkaji. Di dalam hal ini – berhubung dengan
Persuratan Adab dan Tamadun Penulis menyurat:
``Fungsi Takmilah dan Pesurat adalah bagi penyempurnaan
manusia. Jika diibaratkan Takmilah sebagai bunga bagi `Shajarah Tayyibah`, maka
Pesurat adalah keseluruhan Shajarah yang menghasilkan bunga dan juga buah,
tetapi Takmilah tidak akan terhasil melainkan melalui didikan ilmu.
Pada hakikatnya segala bidang ilmu yang berkembang adalah
dalam ruang lingkup Pesurat bagi menghasilkan tamadun. Seorang Pesurat mestilah
menguasai ilmu. Takmilah datang selepas kewujudan infra-struktur ilmu di atas.
Ibarat `Pokok Tayyibnah` tidak menghasilkan bunga dan buah tanpa kewujudan
pokok secara sempurna dan sihat.
Penggarapan di dalam bidang-bidang yang terangkum di bawah
Takmilah menyempurnakan keinsanan. Seterusnya pemupukan budaya murni di tengah
kelompok melahirkan masyarakat yang beradab dan tamadun. Kewujudan masyarakat
sedemikian oleh hasil manusianya menjunjung wadah Khalifah yang manusianya insan
Rabbani lagi Kamil, insan-insan sedemikian (sepatutnya) mengisi Negara atau
area yang disifatkan di dalam al-Qur`an `Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur` (Saba `: 15).
(Bangi Bandar Ilmu, 2012: 407-409).
Baik Pesurat dan Takmilah adalah pendekatan yang merupakan
sumbangan kecil di dalam persuratan. Ianya tidak mungkin tegak tanpa berdiri
bersama. Samalah dengan hasrat Numera tidak terserlah peranan tanpa pendukung
dan penggiat. Lebih besar dari itu menggembeling dan menaikkan mutu Pesuratan
di Nusantara Melayu Raya adalah wilayah yang luas memerlukan tenaga bersama
bagi mencapai hasrat murni Numera.
Kita menyokong kuat dan sukacita sama-sama terlibat bagi
menjayakan hasrat.
Ilmu meningkat minda
Puisi mengindah kata
Takmilah kaedah mendekat
Pesurat rangkum segala tersurat
Baldah Tayyibah rangka Negara
Rabbun Ghafur keredaan Yang Esa
Visi dan misi Kesempurnaan segala.
Wa bil`Llahi`t-taufiq wa al-hidayah..
Wassalamu alaikum wmt. wbt.
Sekian.
Shafie Abu Bakar,
Galeri Bandar Baru Bangi.
16 Muharram 1435
20 November 2013.
No comments:
Post a Comment