BBB, 27 Zulhijjah 1434 = 01 November 2013 (Juma`at):
Tahun 1971 tahun memberi keyakinan kepada Penulis di dalam
menghasilkan penulisan. Dalam tahun ini sajak-sajak Penulis mulai diberi tempat
di dalam Dewan Masyarakat ``Sumpah Mahasiswa``(Februari 1971), Dewan Bahasa ``Asas
Peribadi`` (Mac, 1971), Dewan Sastera, ``Batas-Batas Artificial`` dan ``Dua
Pantai Menaut Rasa`` (Mei & Ogos 1971), ``Nelayan``Utusan Zaman (7.11.1971).,
``Alternatif `` Utusan Zaman (23.1.1971)
Di samping sajak-sajak Penulis mulai menulis artikal-artikal
ke akhbar-akhbar. Misalnya artikal ``Mahasiswa Universiti Kebangsaan Membina
Tradisinya sendiri`` keluar dalam Utusan
Zaman (Ahad 23 Mac 1971), ``Beberapa
Pandangan Untuk Jawatankuasa Mengkaji Penubuhan Universiti Islam`` (Utusan Zaman 7.5.1971), ``Universiti
Kebangsaan Dalam Usia Setahun Jagung (Utusan Melayu 12.5.1971), ``Gambaran
Kampus Sengaja Dihitamkan `` (Utusan Melayu, 1.7.1971), ``Azam Universiti
Kebangsaan Malaysia Mau Menubuhkan
Fakulti Perubatannya (Mingguan Malaysia 11.7.1971) dan ``Menjelang
Pilihanraya Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (Utusan Zaman
5.9.1971).
Pertama kali juga artikal keluar dalam majalah, iaitu
``Mengapa Labuan Ditakluk Inggeris`` (Mastika, Oktober, 1971).
Pada tahun 1971 ini juga puisi Penulis ``Kepada Penyair` pertama
kali diberi tempat iaitu dalam Antologi `Gema Membelah Gema 1, Hari Puisi Pertama di Melaka pada Julai 1971.
Jelaslah bahawa hasil-hasil penulisan Penulis mulai diberi
ruang di dalam penerbitan akhbar-akhbar dan majalah-majalah.
Dari minat, penulisan
secara tidak langsung pada masa itu menjadi sumber bagi Penulis mendapat wang
tambahan yang amat diperlukan oleh Penulis. Ini ialah kerana Penulis masuk
belajar di UKM benar-benar atas semangat. Tiada jaminan biasiswa. Penulis hanya
mendapat bayaran yang disebut sebagai
`dermasiswa` dari kerajaan Negeri Terengganu hanya sekali sebanyak RM1,000 pada
permulaan masuk ke UKM, tetapi tidak pada tahun-tahun yang lain. Sebagai guru
Sekolah Agama Menengah di Terengganu yang tetap dan berpencen Penulis
mengharapkan kalau tidak mendapat gaji penuh, sekurang-kurangnya gaji separuh
sebagaimana yang didapat oleh guru-guru Melayu yang menyambung pengajian di
universiti. Tetapi Penulis tidak mendapat gaji langsung, walaupun separuh. Pada
cuti penggal universiti dari Januari hingga Mei, 1972 Penulis membuat
permohonan kepada Majikan Penulis, iaitu Pejabat Agama Islam Terengganu, pada
20hb. Januari 1972 membuat permohonan mengajar sebagai guru sementara (semasa
Universiti Cuti panjang), bagi tujuan mendapat sumber kewangan bagi menampung
pengajian dan juga keluarga. Perbelanjaan dalam pengajian selama ini, selain
dari mendapat RM1,000 dari Kerajaan Terengganu adalah bergantung pada simpanan sebelum
masuk universiti dan perbelanjaan (tiga anak pada masa itu) adalah lebih bergantung
pada isteri yang pendapatan gaji bulanan tidak sebanyak mana.
Oleh kerana masa cuti panjang universiti tidak ada pekerjaan
bagi mendapat kewangan bagi keluarga dan pengajian, maka di dalam masa cuti dan
juga tidak cuti Penulis menulis. Biasanya pada masa cuti universiti Penulis
menghantar isteri mengajar di Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu
dan masa kosong penulis menulis seperti di pantai, Kuala Terengganu, sementara
menunggu untuk mengambil isteri untuk dibawa pulang, jika hari tidak bersekolah menulis di rumah.
Sejak pertengahan bulan Ogos (19 Ogos
1971), kami suami isteri yang belum mempunyai rumah membina rumah kayu yang
agak kecil dengan kos hanya RM2,000 di atas tanah orang tua isteri. Di rumah
ini (siap awal November 1971) kami
tinggal, yang kedudukannya tidak jauh dari rumah mertua yang dulunya anak
isteri tinggal semasa dalam pengajian. Semasa cuti universiti Penulis menulis
dari rumah ini. Rumah kecil yang terletak di Padang Midin di atas kawasan
Pondok Pengajian lama, Padang Midin banyak melakar sejarah di dalam membesar
dan mendidik anak-anak kami sebelum berpindah ke Bangi.
Bidang penulisan yang Penulis menulis, ialah bidang yang ada
hubungannya dengan pengajian Penulis belajar di UKM, iaitu bidang Bahasa,
Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, tetapi bidang sastera lebih banyak dari
segi menghasilkan puisi. Bidang kedua ialah bidang Sejarah, iaitu dua bidang
major yang penulis ikuti dalam pengajaian bagi ijazah pertama. Bidang ini
banyak membantu penulis di dalam menghasilkan penulisan dalam berbentuk esei
yang melibatkan sejarah tempatan, Indonesia membawalah kepada Dasar
Luar dan Hubungan Antarabangsa (Pada masa itu belum ada lagi Jabatan Sains
Politik). Selain daripada itu keterlibatan di dalam mengendalikan Persatuan
Mahasiswa UKM (PMUKM), Studi Kelab Sastera UKM dan keterlibatan Penulis sebagai
Penasih kepada Grupemuisi UKM banyak memberi maklumat dan bahan-bahan
penulisan.
Mungkin dari satu segi boleh dikatakan bahawa melibatkan
diri dalam penulisan, boleh mengganggu Penulis dalam pelajaran, tetapi
sebenarnya tidak sedemikian, sebaliknya bagi Penulis penulisan yang sebenarnya
amat berkait rapat dengan bidang pengajian adalah sebagai latihan secara
praktikal penulis bagi keilmuan-keilmuan yang dipelajari di bilik-bilik kuliah
dan juga tutorial.
Bagi Penulis melihat kepada keterlibatan Penulis menulis
sejak sebelum masuk ke universiti dan apabila mendapat peluang masuk universiti
memperluaskan ilmu dan mempertajamkan lagi persepsi penulis terhadap topic dan
bidang penulisan yang penulis libati. Penulisan yang selama ini Penulis libati
lebih banyak membina imej dan identity Penulis.
Sebenarnya dengan keterlibatan Penulis di dalam bidang
penulisan dan mendapat sedikit sebanyak honourarium dari penulisan, walaupun
tidak banyak sedikit sebanyak menampung kewangan Penulis dalam masa pengajian,
bahkan sumber ini berterusan selama Penulis melibatkan diri dalam penulisan.
Bagi Penulis untuk menulis tidak pernah kering dari idea, ilham dan bahan,
tetapi lebih oleh kerana kekurangan masa dan peluang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment