Dewan Bahasa dan Pustaka, 16 Muharram 1435 = 20 November
2013 (Rabu):
Tiga orang telah dinobatkan pada malam ini sebagai Tokoh
Persuratan Nusantara Melayu Raya (NUMERA), iaitu:
Penobatan penokohan dilakukan oleh Profesor Dato` Seri Dr.
Md. Salleh Yaafar Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dengan
diiringi sama oleh Yang Berbahagia Dato` Dr. Awang Sariyan Ketua Pengarah Dewan
Bahasa dan Pustaka dan Sasterawan Negara Dato` Dr. Ahmad Khamal Abdullah yang
juga dikenali sebagai Kemala Presiden Sasterawan Numera Malaysia.
Setiap tokoh dianugerahkan Warkah Penghargaan, Wang tunai
sebanyak Rm5,000.00 sepersalinan pakaian baju Melayu tenunan Terengganu
selengkap dan plag penghormatan. Majlis Penobatan Numera adalah dengan
kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, PNB dan UPM.
Dalam ucapan penganugerahan Profesor Dato` Seri Dr. Md.
Salleh Yaafar mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga tokoh yang dinobatkan dan
mengucap syabas kepada Numera yang sejak ditubuhkan pada Mac 2012 yang lepas
telah banyak menjalankan kegiatan seperti Jelajah Numera di Malaysia &
Indonesia dengan berbagai kegiatan dan pengisian.
Penokohan menurut Profesor Dato` Seri kerana mengiktiraf
jasa Profesor Dr, Abdul Hadi yang menyerlah di dalam mengungkapkan puisi-puisi
Islami dan membongkar tentang tamadun Melayu dan peradabanya yang bangkit dan
menyerlah bersama Islam, manakala Dr.
Pagadaev berdekad menampil dan memperkenalkan bahasa, sastera dan budaya Melayu kepada
masyarakat di Rusia. Banyak kerja-kerja terjemahan dan penyusunan kamus
Malaysia- Rusia dilakukan selama bermukim di Universiti Malaya
sebagai tenaga pengajar di universiti tersebut. Penghormatan yang diberi kepada
Dr. Shafie Abu Bakar kerana kegigihannya membina Teori Takmilah yang kini
banyak diguna dan diaplikasikan oleh pelajar-pelajar di universiti-universiti.
Beliau juga terkenal sebagai tokoh yang membina sastera Islam dan mengungkapkan
puisi-puisi Islam.
Profesor Dato` Seri Dr. Md. Salleh Yaapar mendambakan agar hasrat menyatukan Nusantara
Melayu Raya sebagaimana diungkapkan oleh Sasterawan Pramodya Anantatur lewat
novel-novelnya seperti Anak Bumi Manusia, Rumah Kaca, Arus Balik dan lain-lain menjadi
kenyataan.
Mengakhiri ucapannya beliau telah memalukan gong sebanyak 3
kali menandakan sebagai perasmian.
Sebelum daripada itu Sasterawan Negara Dato` Dr. Ahmad
Khamal Abdullah sebagai Presiden Numera dalam ucapannya menyatakan hasrat
Numera mau menyatukan Negara-negara di dalam Numera, iaitu Malaysia, Indonesia,
Brunei, Singapura, Patani dan Filipina melalui bahasa dan budaya. Numera
mengambil langkah bagi merealisasikan hasrat ini dengan menjelajah Malaysia dan Indonesia dan akan dilanjutkan ke
Negara-negara Numera yang lain. Selain dari lawatan pertandingan penulisan yang
terbuka kepada penulis-penulis di Negara-negara Numera telah diadakan dan kini
dalam proses penilaian. Penokohan Tokoh Persuratan Numera malam ini adalah
merupakan kegiatan puncak setakat ini diadakan dan diharapkan ianya menjadi
salah satu mekanisme memertabatkan bahasa, sastera dan budaya Nusantara, di
samping mempopular dan memperkasakan Numera.
Hadir pada malam ini tokoh-tokoh seperti Yang Berhormat
Senator Dato` Dr. Firdaus Abdullah, Sasterawan Negara Dato` Dr. Anwar Ridhuan,
Dato` Wira Dr. Abdullatif Bakar Ketua Satu Gapena, para penulis dan sasterawan
yang memenuhi Dewan Bankuet, Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis pada malam ini
dikendalikan oleh Juruacara Dr. Ibrahim Ghafar bersama pasangannya.
Selepas penobatan dan jamuan, para hadirin dipersembahkan
dengan Konsert Seni Tradisi Melayu, iaitu Konsert Dewangga Sakti – bermaksud
Permaidani Ajaib di bawah pimpinan Umar Uzair, Dewangga Sakti ditubuhkan sejak
tahun 2000, manakala persembahan yang didatangkan dari Indonesia ialah Kumpulan
Sobokartti yang bergiat sejak 1926 lagi dan pada malam ini pasukan ini
mempersembahkan Teater Tari Ibu Pertiwi.
Selain dari Majlis Penobatan yang diadakan di Dewan Bahasa
dan Pustaka Majlis Sambutan Seni sempena Penobatan juga diadakan di Universiti
Putera Malaysia bertempat di Muzium
Warisan Melayu di Fakulti Bahasa dan Komunikasi Moden, UPM pada Khamis 21
November 2013, mulai jam 9.00 pagi.
Sekian.
Assalamualaikum Wr Wb:
ReplyDeleteYB Dr. Shafie: Syabas dan tahniah diatas penobatan Tokoh NUMERA. Sungguh tepat, kita semua amat berbangga.
dr. mahmood jaafar (mbj12344@yahoo.com)
Alfun Mabruk Ustaz YB. Seribu tahniah.
ReplyDelete