BBB, 11 Ramadhan 1434 = 20 Julai 2013 (Ahad):
Sejak ditubuhkan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) pada 13
September 1970 PMUKM yang diketuai Presiden Pertamanya saudara Ramli Ibrahim
bergerak maju dan membina budaya kemahasiswaannya yang tersendiri. PMUKM
mempunyai hubungan yang erat dengan Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) yang antara
pemimpinnya ialah saudara Salleh Yusof dan juga dengan Persatuan Bahasa Melayu
Universiti Malaya (PBMUM) yang pemimpinnya saudara Nordin Razak. PMUKM juga
bekerjasama dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang
ditubuh dan dipimpin oleh saudara Anuar Ibrahim. Kami mengikuti Kursus
Kepimpinan hingga ke Johor Baharu
dan diraikan oleh pihak Kerajaan Negeri yang Menteri Besar pada masa itu ialah
Tan Sri Dato` Othman Saat. Bersama dengan persatuan-persatuan mahasiswa di atas
mahasiswa bersatu tenaga menunjuk perasaan terhadap isu-isu penting. Misalnya
membantah lawatan Perdana Menteri Thailand General Thnom Kithikachong ke
Malaysia sebagai protes terhadap tekanan dan pembunuhan pejuang-pejuang
kemerdekaan negeri-negeri Melayu di Selatan Thailand dan terbununhya (hilang)
Haji Sulong Pemimpin Pejuang Kemerdekaan di Patani.
Selepas penubuhan PMUKM, pihak PMUKM mengalu-ngalukan
perlantikan Y.A. B. Tun Abdul Razak sebelumnya selaku Canselor UKM yang
pengumuman perlatikan itu dibuat pada Jumaat 10 Julai 1970 ketika kehadiran
Dato` Abdul Rahman Ya`kob Ketua Menteri Sarawak berikut dari tunjuk perasaan
mahasiswa UKM kerana pengunduran beliau dari Menteri Pelajaran Malaysia. Tun
Razak pada masa itu memangku jawatan Perdana Menteri. Apabila Tun Razak dengan
rasminya dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia, maka PMUKM pada 24
September 1970, dengan rasminya menghantar telegraph mengucap Tahniah di atas
perlantikan Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang beliau juga adalah
Canselor Pertama UKM.
Dalam hubungan dengan luar, PMUKM juga menerima dan memberi
sambutan terhadap lawatan Mahasiswa Universiti Phnom Penh Cambodia .
PMUKM juga mempunyai hubungan erat dengan pihak Naib
Canselor Pertama UKM, iaitu Dr. Rushdan Baba. Pada 21 November 1970 Pimpinan
Mahasiswa UKM dengan pegawai-pegawai UKM menyertai Majlis Berbuka Puasa yang
diadakan di Rumah Dr. Rushdan Baba di dalam Kampus Institut Pertnian Malaysia .
Berikut dari pengunduran Dato` Abdul Rahman Ya`akob dari
Menteri Pelajaran Malaysia ,
maka tempat beliau diisi oleh YB. Hussein Onn selaku Menteri Pelajaran
Malaysia, maka PMUKM juga membuat kunjungan hormat kepada YB Hussein Onn Selaku
Menteri Pelajaran pada 20 Disember 1970 jam 3.00 petang di rumahnya di Jalan
Gasing, Petaling Jaya. Pertemuan selama 2 jam. Antaranya membincangkan mengenai
PMUKM, UKM dan Kementerian Pelajaran yang baru disandangnya.
Berhubung dengan organisasi, PMUKM memperkemaskan
pentadbirannya. Misalnya PMUKM adalah menjadi Badan Induk bagi segala
badan-badan atau persatuan-persatuan mahasiswa yang berada di Kampus UKM.
Misalnya Penulis selaku Pengerusi bagi Exco Perhubungan PMUKM bersama satu
Jawatankuasa – iaitu Sdr. Jamaluddin bin Jusoh (Setiausaha), A. Wahid Manap
(Pen. S/U) dan Suarni bin Sukiman (AJK) menyelaraskan semua kegiatan
badan-badan dan persatuan-persatuan di UKM. Terdapat 10 badan gabungan yang
mempunyai Wakil dalam Badan Perhubungan di bawah PMUKM, iaitu:
1) Jawatankuasa
Dewan Rendah Kolej 1 (JKDRK 1)
Wakil Rosnah Baharuddin
2) Jawatankuasa
Dewan Rendah Kolej II (JKDRK II) ,,
Abd. Rahman bin Halim
3) Persatuan
Sejarah UKM (PSUKM) – Chik Minah bte Awang Kecil
4) Persatuan
Ilmu Alam UKM (PIAUKM) – Nauran bte Abdul Majid
5) Persatuan
Mahasiswa Sains UKM (PMSUKM) – Sukiman bin Sarmani
6) Persatuan
Kemanusiaan & Kemasyarakatan (PKKUKM) – Muhamad bin Musa
7) Persatuan
Ekonomi UKM (PEUKM) – Shamsul Bahari Bin Mat
8) Studi
Kelab Bahasa dan Kesusasteraan (SKBK) - Siti Sabariah bte Ibrahim
9) Persatuan
Mahasiswa Fakulti Islam UKM (PMFIUKM) Megat Ridzuan b. Megat Taib
10) Organisasi
Mahasiswa Luar Asrama (OMLA) – Belum dilantik, baru tubuh (3.9.1972).
Semua badan-badan tersebut dikehendaki mengemukakan
perlembagaan masing-masing serta rancangan kegiatan badan-badan tersebut untuk
tempoh tahun 1971/72. Pada umumnya semua badan gabungan ini dapat menjalankan
kegiatan masing-masing sepanjang setahun yang terdiri dari majlis-majlis pengenalan,
ceramah-ceramah, forum-forum, perbincangan-perbincangan, lawatan-lawatan sambil
belajar, sukan dan kerja-kerja kebajikan.
Apa yang menarik setiap badan tersebut mengeluarkan berita
atau suara badan masing-masing. Misalnya:
- PSUKM keluarkan Sejarita
- JKDRK I keluarkan Berita Kolej I
- PKKUKM keluarkan Harmunis
- PMFI keluarkan Lembaran Berita PMFI
Apa yang lebih membanggakan mulai bagi tahun 1971/72 antara
badan-badan gabungan ada yang mengeluarkan jurnalnya sendiri. Antaranya:
- JKDRK 1 mengeluarkan jurnal berjudul SEMESTA
- PIAUKM mengeluarkan jurnal berjudul Jurnal Ilmu Alam
- PSUKM mengeluarkan jurnal berjudul JEBAT
- PEUKM mengeluarkan jurnal berjudul Ekonomika
- PKKUKM mengeluarkan Jurnal Kaji Masyarakat
Bagi mengeluarkan jurnal ini pihak PMUKM memberi sokongan
agar pihak Pendaftar/Bendahari atau jabatan masing-masing mengeluarkan
peruntukan bagi pengeluaran jurnal-jurnal. Perlu diingat pada masa ini belum
ada bahagian Perhubungan Pelajar. Semua urusan dengan universiti adalah melalui
Pejabat Pendaftar UKM. Apa yang menarik setengah daripada jurnal yang
diterbitkan oleh Persatuan Pelajar di jabatan diangkat menjadi Jurnal Jabatan
seperti JEBAT yang diterbitkan oleh Persatuan Mahasiswa Sejarah menjadi Jurnal
Jabatan Sejarah, begitu juga EKONOMIKA bagi Persatuan Mahasiswa Ekonomi menjadi
Jurnal Jabatan Ekonomi (sebelum diwujudkan Fakulti Ekonomi) dan masih di bawah
Fakulti Sastera.
Di samping persatuan-persatuan gabungan mengadakan kegiatan
masing-masing pihak PMUKM sendiri mengadakan kegiatan yang diikuti oleh semua
badan-badan gabungan seperti Minggu Suaikenal, Kursus Kepimpinan, Seminar,
Kursus Kewartawanan, Gotong Royong, Kegiatan Kebajikan dan sebagainya.
PMUKM pada masa itu, walaupun dalam usia setahun jagung,
tapi telah memperlihatkan kematangannya di dalam mentadbir mahasiswa dan
menjalan dan menyelaraskan semua kegiatan kemahasiswaan. Pihak universiti tidak
mengganggu, sebaliknya memberi sokongan terhadap apa yang dilakukan oleh pihak
PMUKM. Sesungguhnya PMUKM telah memupuk dan membina tradisi kepimpinan
kemahasiswaan yang identik dengan UKM.
Sekian.
No comments:
Post a Comment