July 15, 2013

Mulai Menghantar Makalah Ke Penerbitan Akhbar Dan Majalah

-->
BBB, 05 Ramadhan 1434 = 14 Julai 2013 (Ahad):

Selepas mendapat tempat di dalam penerbitan – Dewan Masyarakat Februari 1971 (Sumpah Mahasiswa)  dan dalam Dewan Bahasa Mac 1971 (Asas Peribadi) yang merupakan `Breakthrough` bagi penulis di dalam bidang penulisan, maka Penulis makin merancakkan lagi menulis menghasilkan berbagai penulisan. Namun jika dilihat penulisan-penulisan yang dilibati Penulis semuanya di dalam bidang kreatif bermula sejak 1961 dengan penulisan novel dan cerpen dan seterusnya dengan jumlah yang agak banyak ialah di dalam bidang puisi – Sajak. Berbagai penerbitan yang difikirkan sesuai untuk dihantar maka dihantar penulisan. Penerbitan yang dihantar ialah seperti Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Utusan Pelajar,  Berita Minggu, Mastika, Dewan Sastera, Utusan Qiblat, Berita Minggu, Mahasiswa Negara, Gemasiswa, Pemimpin, Dian, Sarina dan Semesta.

Walau bagaimana sehingga 1970, khususnya sebelum Penulis diterima masuk ke UKM, Penulis tidak menghantar tulisan yang bersifat makalah (Kecuali 2 makalah ke Mastika). Apa yang ditumpu sebelum itu adalah penulisan kreatif. Penulis menganggap pada masa itu penulisan yang bersifat laporan adalah bidang kewartawanan yang khusus ditulis oleh wartawan yang mahir di dalam bidangnya dan untuk menulis makalah yang lebih berat, peranan sedemikian adalah lebih dikuasai oleh orang akademik, sedang penulisan puisi yang Penulis libati selama ini pun masih belum mendapat tempat.

Penulisan yang bersifat makalah lebih bersungguh baru Penulis mulai hantar ialah selepas `Breakthrough` penulis di dalam bidang puisi. Penulis mulai benar-benar menulis makalah ialah bila masuk ke UKM. Menulis makalah ini antaranya kerana penulis terpaksa menulis makalah atau esei bagi dibentangkan di dalam kelas tutorial. Pada masa itu pula banyak sumber maklumat hasil dari mengikuti kursus-kursus di dalam bidang akademik yang berhubung dengan sastera tradisional dan moden, kreatif, juga bidang sejarah yang menjadi dua bidang pengkhususan Penulis mengikuti pengajian bagi peringkat Ijazah pertama. Penulisan juga digerak oleh adanya bahan-bahan yang berhubung dengan kegiatan mahasiswa yang Penulis terlibat. Antara makalah terawal yang diberi tempat dalam tahun 1971, ialah makalah yang terbit dalam Utusan Zaman/Melayu/Mingguan Malaysia – semuanya dalam akhbar, berjudul:
1)``Mahasiswa Universiti Kebangsaan Membina Tradisinya Sendiri` yang terbit dalam Utusan Zaman pada 23 Mac 1971.
2) ``Beberapa Pandangan Untuk J/K Mengkaji Penubuhan Universiti Islam``, Utusan Melayu 7.5.1971.
3) ``Universiti Kebangsaan Dalam Usia Setahun Jagung``, Utusan Melayu 12.5.1971.
4) ``Gambaran Hitam Di Kampus``, Utusan Melayu 1.7.1971.
5) ``Azam Universiti Kebangsaan Malaysia Mau Menubuhkan Fakulti Perubatannya``, Mingguan Malaysia 11.7.1971.
6) ``Menjelang Pilihanraya Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia Kali Pertama``, Utusan Zaman 5.9.1971.



Penerbitan yang lain yang dihantar ialah makalah yang diberi tempat pada tahun 1971 ialah penulisan dalam Semesta Jil. II, Bil. 1, Tahun 1971/72 berjudul ``Universiti Kebangsaan Tunjukkan Kehandalannya``, - Tahap Kolej sahaja, iaitu laporan mengenai dua orang pelajar UKM berjaya menjadi Johan Forum Pemuda Asean bertempat di Singapore University pada Ogos 1971. Mereka ialah saudari Che Rahimah Abdul Aziz dan Che Sharifah Mastura Syed Abdullah. Kedua-dua adalah mahasiswi Fakulti Sastera UKM yang berjaya melalui saringan tahap pertama di Universiti Malaya dan seterusnya peringkat akhir di Universiti Singapura. Tulisan yang berhubung dengan kegiatan mahasiswa ini ialah kerana keterlibatan Penulis dengan kepimpinan mahasiswa pada masa itu (PMUKM). Bahkan perkembalian mereka dari Singapura disambut oleh pihak mahasiswa yang ditaja PMUKM – di Lapangan Terbang Subang. Sebuah rombongan juga dihantar sebelumnya ke Universiti Singapura dengan sebuah ven diketuai saudara Muhammad bin Kasim Setiausaha PMUKM bagi memberi sokongan pasukan yang mewakili UKM ke Forum peringkat akhir bagi universiti-universiti Asean itu. Pasukan UKM menang sebagai Johan. (Kedua-dua pelajar ini akhirnya menjadi pensyarah di UKM - Rahimah di Jabatan Sosiologi dan Mastura di Jabatan Geography).

Dari segi Majalah yang penulis hantar bersifat makalah lebih awal dari 1971, ialah Majalah Mastika. Ada sebuah makalah yang Penulis hantar sebelum masuk belajar di UKM berjudul, ``Merenung Kembali Kedudukan Umat Islam Pada Masa Kini`` yang dihantar pada 9 Fenruari 1969. Makalah ini tidak mendapat tempat. Penghantaran makalah dilakukan bagi kali kedua ke Mastika, iaitu pada 17 Jun 1970, iaitu selepas Penulis masuk ke UKM. Makalah berjudul, ``Menilai Hasil Kesusasteraan Dari Segi Biography``. Makalah ini tentulah hasil dari pembelajaran Penulis dalam Kursus Kesusasteraan. Namun makalah ini juga tidak mendapat tempat di dalam penerbitan (Mastika).

Namun penghantaran makalah kali ketiga berjudul, ``Mengapakah Britain Menjajah Labuan Dalam Tahun 1846 ?`` diberi tempat dalam Mastika Keluaran Oktober 1971.
Tajuk artikal ini sememangnya dimanfaatkan dari kursus Sejarah yang Penulis ikuti. Dengan mendapat tempat penulisan esei atau makalah ini memberi dorongan kepada penulis untuk menghantar makalah-makalah ke berbagai penerbitan – Majalah pada masa hadapan.

Jelas dari paparan di atas, menunjukkan bahawa Penulis tidak menghantar karya bersifat Makalah, kecuali 2 buah ke Mastika sebelum Penulis belajar di UKM yang semuanya tidak mendapat tempat.
Semua makalah yang diberi tempat selepas Penulis belajar di UKM, khususnya selepas `Breakthrough` yang Penulis dapati di dalam penulisan.
Penerbitan yang banyak memberi tempat bagi makalah awal Penulisan, iaiah Utusan Zaman/Melayu/Mingguan Malaysia yang kesemuanya berjumlah 6 buah dalam tahun 1971 sahaja.

Jelaslah mulai 1971 Penulis semakin mendapat tempat dan ini semakin menaikkan semangat kepada Penulis untuk terus giat menulis.

Sekian.

No comments:

Post a Comment