BBB, 07 Ramadhan 1434 = 16 Julai 2013 (Selasa):
Di bawah diperturunkan Karangan Peraduan yang dianjurkan oleh UKM berjudul di atas
yang telah dihantar kepada Pejabat Perhubungan Awam, Pejabat Pendaftar, UKM pada
25 November 1971 dan dinilai oleh Panel Peraduan dan mendapat tempat Ketiga.
Karangan siswa Tahun Dua Fakulti Sastera ini diperturunkan sebagaimana asal dan
tidak diubah, kecuali sistem ejaan lama kepada ejaan kini.
Universiti Kebangsaan Yang Saya Kehendaki
Universiti adalah menjadi puncak cita-cita bagi tiap pelajar
yang berjiwa besar. Sebelum saya bernasib baik dapat menjejak tangga
universiti, cita-cita tersebut bagi saya tidak mudah terlaksana, namun begitu
jika diibaratkan cita-cita tersebut sebagai puncak gunung yang tinggi maka dari
lembahnyalah saya daki. Berkat dari usaha tersebut tiba saya ke sini. Apakah
sebenarnya yang mendorongkan saya mencari membawa diri ke sini ? Bagi saya
beranggapan bahawa universiti adalah lautan ilmu tak bertepi, di sanalah
seseorang mahasiswa menerima ilmu, hikmat dan hakikat pengetahuan. Bahawa
menyedari kekosongan jiwa, rindu kepada ilmu pengetahuan dan demi memperbaiki
diri sendirilah menyebabkan saya sanggup ke sini meninggalkan anak isteri.
Apakah saya kehendaki dari Universiti Kebangsaan ?
Saya belajar di Universiti Kebangsaan adalah dengan kehendak
dan menjadi pilihan utama saya sendiri. Ini bukanlah bererti kerana saya
datangnya dari sekolah Kebangsaan. Kerana hakikat sebenarnya saya tidak pernah
belajar di sekolah Menengah Kebangsaan. Saya ke Universiti Kebangsaan dengan
kemahuan saya secara belajar sendiri dengan hasrat mau mendukung sama cita-cita
kebangsaan menerusi Universiti Kebangsaan. Sepanjang pengetahuan saya baik
sebelum atau sesudah berada di universiti tersebut tidak dapat dinafikan bahawa
tegaknya Universiti Kebangsaan pada mulanya lebih banyak didorongkan oleh
motif-motif politik yang mau menjadikan ``balance of power`` di dalam bidang
intelektual di antara kaum di Negara ini. Rasa saya meskipun universiti ini
pada mulanya didorongkan oleh motif politik, tapi ia lebih merupakan pemberian
hak kepada mereka yang berhak. Tegasnya Universiti Kebangsaan adalah puncak
yang dituntut oleh Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Apa yang harus diperhatikan oleh Universiti Kebangsaan untuk
menjamin masa depannya, Universiti Kebangsaan janganlah bergantung pada pasang
surutnya politik untuknya mencari tempat tegak. Kerana dalam jangka panjang
politik pasti akan berubah sesuai dengan cita dan selera generasi masa ke masa.
Tanpa asas yang kukuh bukan saja Dasar Pelajaran Kebangsaan tetapi kedudukan
Universiti Kebangsaan sendiri akan goncang. Menurut kronologi Universiti
Kebangsaan adalah universiti ketiga wujudnya di Negara ini, tentunya untuk
mendapat keyakinan masyarakat universiti ini haruslah menunjukkan ketinggian
mutunya tidak terkebelakang dari universiti-universiti yang telah `established`
di Negara ini, dengan kata lain universiti ini haruslah setanding dengan
universiti-universiti lain di dunia ini. Bagaimanakah matlamat ini dapat
dicapai ?
Saya berpendapat Universiti Kebangsaan tidaklah seharusnya
meletakkan cita-citanya setakat menjayakan cita-cita kebangsaan semata-mata,
misalnya kerana melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan atau mengeluarkan
tenaga intelek untuk kepentingan Negara. Kita tidak menolak akan pentingnya
tujuan ini, tetapi kalau inilah menjadi tujuan, maka peranan dan daerah yang
dimainkan oleh universiti ini begitu sempit sekali. Penyelarasannya dengan
universiti-universiti lain di dunia ini mungkin sukar didapati. Universiti
Kebangsaan haruslah meletakkan nilai `pure ilmiah` di atas dari `applied
ilmiah`. `Applied ilmiah` haruslah menjadi product dari `pure ilmiah` dan
bukannya menjadi tujuan utama. Universiti ini hendaklah meletakkan kebenaran
menjadi puncak tujuan dari berbagai pengkajian ilmu pengetahuan. Kerana kebenaran
adalah menjadi rinduan insan dan menjadi perhentian yang dituju oleh semua
liku. Untuk ini universiti haruslah mempunyai kebebasan yang sepenuh-penuhnya
untuk berbuat demikian. Mungkin ini adalah satu sebab mengapa sesebuah
universiti itu memerlukan kuasa otonominya sendiri. Pada pendapat saya kita
belum mencapai kebebasan sebenar-benarnya dalam mencari kebenaran. Saya
mengambil satu contoh dari kursus yang saya ikuti berhubungan dengan sejarah.
Kita telah menyedari bahawa penilaian baru amat perlu terhadap sejarah Negara
kita yang berbentuk Eropah Sentrik itu. Ertinya ketidakpuasan hati kita
menunjukkan kita menyedari akan tidak benarnya sejarah kita yang kita pelajari
selama ini. Katakan kita berdaya merekonstruksikan kembali sejarah Negara dan
bangsa kita, saya tidak yakin kita mendapat kebebasan sepenuhnya mencari
kebenaran. Di dalam kita mencari identiti kita dari sejarah lampau Negara dan
bangsa kita umpamanya, kita mungkin menghadapi rintangan dari batas-batas
politik. Malaysia misalnya selain dari mempunyai jaringan sejarah dengan
Indonesia, kita juga mempunyai jaringan sejarah yang rapat dengan negeri-negeri
tua Melayu di selatan Thailand dari Segenting Kra membawa ke sempadan Negara
kita dengan Thailand sekarang ini. Tetapi hingga kini kita tidak melihat adanya
usaha-usaha ke arah tersebut kerana halangan politik. Hasrat mau meletakkan
kebenaran puncak ilmiah adalah bersesuaian dengan lambang universiti ini yang
dengan lima kuntum bunga raya yang belum kembang melambangkan Rukun Negara,
bendera di kanan melambangkan Negara Malaysia dan harimau yang memegang keris
dan obor di kanannya melambangkan keberanian menentang kebatilan bersuluhkan
pengetahuan, sedang motto di atas sekali sebagai puncak ialah kecintaan
terhadap pengetahuan dalam mencari kebenaran `Zidni Ilman` - Ertinya wahai
Tuhanku Tambahlah ilmuku.
Sebagai sebuah universiti yang termuda di Negara ini, saya
berpendapat Universiti Kebangsaan mestilah berani menghadapi rintangan dan
problem yang tentunya perlu diselesaikan. Saya pernah mendengar pendapat umum
yang mengatakan bahawa Universiti Kebangsaan akan menerima nasib yang sama
seperti Sekolah Menengah Kebangsaan. Anggapan masyarakat ini perlu diberikan
perhatian yang berat, kerana anggapan ini benar-benar akan menjejaskan imej
universiti ini. Bila saya hubungkan perkara ini dengan pendapat Laporan
Jawatankuasa Mengkaji Universiti Kebangsaan dan Universiti Pulau Pinang yang
mengatakan bahawa adalah menjadi suatu tragedi Negara sekiranya siswa
Universiti Kebangsaan tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Pada pendapat
saya pendapat ini mungkin ada
kebenarannya bila kita menilaikannya
pada diri saya sendiri. Ini mungkin saya tidak pernah mempelajari bahasa
Inggeris secara sistematik sebelum ke universiti ini, tetapi dari tinjauan saya
ramai kawan-kawan yang berkeadaan yang sama dengan saya. Kesilapan ini ialah
kerana environment tidak menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris. Saya tidaklah
mengagungkana bahasa Inggeris, tetapi rasa saya pengaruh bahasa Inggeris tidak
mudah dihapuskan dalam dua tiga dekad ini. Kiranya mahasiswa Universiti
Kebangsaan tidak mempunyai kebolehan di dalam penggunaan bahasa tersebut,
khususnya di dalam percakapan masyarakat akan menilaikan mutu kita rendah
meskipun pada hakikatnya dari segi ilmiah universiti kita adalah sama dengan
universiti-universiti lain. Dalam hal ini saya berpendapat Universiti
Kebangsaan tidaklah memada mengumumkan kepada masyarakat yang universiti ini
mewajibkan siswa-siswanya lulus bahasa Inggeris hingga ke tahun ketiganya.
Universiti Kebangsaan haruslah mengkaji setakat mana kesan dan kebolehan
siswa-siswanya di dalam penggunaan bahasa Inggeris. Universiti ini juga
tidaklah sepatutnya menggantungkan
harapannya pada kejayaan Dasar Pelajaran Kebangsaan semata-mata hingga
berubahnya tanggapan masyarakat terhadap keistimewaan bahasa Inggeris, kalaupun
Dasar Pelajaran Kebangsaan mencapai kejayaan sepenuhnya. Pada pendapat saya
kepentingan bahasa tersebut perlu ditekankan kerana ia akan terus digunakan
dalam rujukan-rujukan lebih-lebih lagi bagi mereka yang akan menyambungkan
pelajaran ke luar Negara.
Menyentuh mengenai bentuk kursus, saya berpendapat sesebuah
universiti yang berkembang akan terus memperkembangkan bidang-bidang kursusnya,
sebab itu adalah wajar bagi Universiti Kebangsaan menambahkan lagi
fakulti-fakultinya baik Fakulti Perubatan, Undang-Undang, Engineering, Institut
Bahasa dan sebagainya, tetapi sebelum sesuatu fakulti mau diwujudkan segala-galanya
haruslah terlebih dahulu dirancang dengan secukup teliti supaya ianya tidak
akan lahir dalam bentuk yang kurang memuaskan dari segi akademiknya. Setakat
ini kita tidaklah boleh berbangga misalnya dengan kejayaan di dalam Fakulti
Sastera atau Islam kerana kejayaan seperti ini pernah ditunjukkan oleh
universiti lain di Negara ini. Kita mau Universiti Kebangsaan menunjukkan
kejayaannya di dalam bidang Perubatan, Engineering, Undang-Undang, Pertanian
dan sebagainya menerusi bahasa Kebangsaan.
Bentuk kursus Universiti Kebangsaan yang mewajibkan
siswa-siswa di dalam Fakulti Sastera dan Islam mengikuti kursus untuk mencapai
B.A Honoursnya selama empat tahun itu menyebabkan timbulnya sangkaan orang
ramai bahawa ini adalah disebabkan oleh kelemahan bahasa Melayu menguasai bidang
akademik. Ini berlainan sekali dengan keupayaan bahasa Inggeris di universiti
di Negara ini yang dapat menjayakannya dalam masa cuma tiga tahun sahaja.
Walaupun pihak Universiti Kebangsaan mempunyai alasan yang baik untuk
mempertahankan kursusnya, tetapi ini adalah menjadi salah satu sebab bahawa
Universiti Kebangsaan tidak menjadi pilihan utama kepada bakal-bakal siswa.
Hingga sekarang kita belum mendapat kepastian apakah seorang siswa yang akan
mengambil diploma umpamanya mesti menghabiskan masanya selama lima tahun ? Kalau demikian bagaimanakah
caranya? Pihak universiti haruslah memberi penjelasan mengenai perkara tersebut
lebih awal. Mahasiswa pioneer tidaklah sepatutnya dijadikan mangsav experiment
!
Universiti Kebangsaan yang pertama mengemukakan kursus
secara liberal di peringkat universiti di Negara ini adalah merupakan suatu
konsep yang baharu. Ditinjau dari sudut mempelbagaikan pengetahuan siswa dari berbagai
fakulti, saya berpendapat kursus ini ada baiknya, tetapi dilihat dari sudut
yang lain ada kelemahanntya. Sebagaimana diketahui kebolehan seseorang pada
kebiasaannya terbatas dan tidak meliputi dalam semua bidang. Tiap-tiap seseorang biasanya mempunyai suatu
keistimewaan yang tertentu sahaja. Mewajibkan berbagai mata pelajaran khususnya
yang tidak diminati oleh naluri siswa merupakan suatu pengkhianatan terhadap
jurusan kebolehannya. Sebagai suatu contoh pada tahun 1970/71 pihak Universiti
Kebangsaan telah mewajibkan mahasiswa Fakulti Sastera dan Islam mengambil
matapelajaran Hisab, pada tahun itu Hisab
telah mengkhianati sebahagian besar masa yang paling berharga kepada
siswa mempelajari dan memaksa diri terhadap apa yang mereka tidak dapat kuasai
dan tidak disukai. Kegagalan mata pelajaran ini didiami oleh pihak universiti.
Dalam hal ini mahasiswa pioneer telah menjadi mangsa experiment. Saya tidak
menolak akan faedah yang saya dapati dari konsep liberal terutama dalam Sains
Umum. Kadang-kadang saya rasa konsep seperti ini adalah lebih praktis jika
dijalankan di Sekolah menengah peringkat atas. Apakah kita telah mundur,
meletakkan diri kita dengan sistem campur baur ke peringkat Sekolah menengah ?
Saya berpendapat masa yang pendek dan paling berharga semasa di universiti
haruslah digunakan oleh pihak universiti untuk memupuk siswa-siswa dari segi
kebolehan mereka. Benar bahawa di peringkat yang lebih tinggi dari B.A.
siswa-siswa berpeluang membuat pengkhususan di dalam bidang yang dikuasai
mereka, tetapi masa yang dilalui mereka sebelumnya sudah cukup untuk menenggelamkan kebolehannya
kerana terpaksa struggle untuk menguasai apa yang tidak diminati. Dengan itu
ramailah mereka yang tidak berpeluang melayakkan diri ke peringkat yang lebih
atas lagi.
Apa yang saya nampak Universiti Kebangsaan merangka dasarnya
untuk mengeluarkan siswa-siswanya yang bersesuaian dengan kehendak Negara
semata-mata. Dalam hal ini kita akui bahawa universiti ini tidaklah seharusnya
mengasingkan diri dari masyarakat, tetapi sebagaimana saya tegaskan di atas
bahawa nilai ilmu pengetahuanlah seharusnya menjadi puncak cita-cita universiti
ini. Universiti Kebangsaan janganlah hanya menjadi kilang yang memproses dan
memprodakkan `Made In Malaysia` sahaja, tetapi haruslah bersifat universal
selari dengan mana-mana universiti yang maju di dunia ini. Bila puncak ini
dapat dicapai keperluan Negara dengan sendiri dapat diselesai. Universiti
Kebangsaan haruslah mengkaji konsepnya supaya benar-benar bersifat membimbing
kebolehan siswa, ttapi bukan memaksa..
(Akan diikuti sambungan Bahagian Kedua)
Sekian.
No comments:
Post a Comment