BBB, 28 Sya`ban 1434 = 07 Julai 2013 (Sabtu):
Kompleks Pendidikan Islam (KPI) yang dinaik taraf dari
Bangunan Sekolah LEPAI setingkat yang siap pada pertengahan 2012 setinggi tiga
tingkat dengan peruntukan lebih dari RM7 juta ringgit merupakan mercu tanda
pendidikan di BBB. Bangunan ini selain dari digunakan meneruskan pendidikan
persekolahan, KPI ini menjalankan Program Kuliah Mingguan pada setiap hari
Sabtu yang dikenali sebagai Hari Ilmu di samping hari Ahad sebagai Hari
Keluarga. Tokoh-tokoh terkenal dijemput menyampaikan kuliah pada setiap hari
Sabtu.
Pada hari ini diadakan Program Kuliah Di Ambang Ramadhan
yang disampaikan oleh Ybhg. Al-Fadhil Tuan Guru Dato` Dr. Harun Din. Di samping
itu pada hari ini juga Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi melancarkan Kempen
Solat Berjamaah.
Tuan Guru menyebutkan bahawa kita berada diambang Gerbang
Ramadhan sebagai Bulan Barakah, Bulan menwarkan pahala berganda kepada yang
menghidup dan menghayatinya, bulan yang awalnya Rahmat, di pertengahannya
Maghfirah dan akhirnya Pelepasan dari api Neraka. Sebab itu dari awalnya
pasanglah niat untuk mengisi Ramadhan dengan sebaik mungkin. Beliau mendoakan
keampunan di bulan Rajab dan Sya`ban dan semoga Allah menyampaikan kita ke
Ramadhan.
Kuliah disampaikan di ruang legar tengah bangunan KPI itu
amat mendapat sambutan, terutama dari kalangan generasi muda, lelaki dan
perempuan. Menurut Dr.
Tajul Ariffin Noordin Pengerusi KPI, kerusi yang disediakan sejumlah 700 buah
tidak mencukupi. Hadir ke Majlis Kuliah ialah YB. Ustaz Shafie Ngah Adun Bangi
bagi tujuan melancarkan Kempen Solat Berjamaah, Dr. Shafie Abu Bakar Mantan
Adun Bangi yang juga merupakan Pengerusi Pembangunan Masjid al-Umm yang akan
memberi Taklimat kepada Ybhg. Dato` Dr. Harun Din mengenai perkembangan
Pembangunan Masjid. Tuan Haji Sufi Munasir selaku YDP Persatuan Penduduk BBB,
AJK Persatuan Penduduk, AJK Pembangunan Masjid al-Umm dan para tamu yang datang
mengikuti kuliah.
Sebelum daripada itu Dato` Dr. Harun Din membicarakan bahawa
kita berada di dalam nikmat Allah sejak dari dalam kandungan ibu membawalah
kepada kelahiran kita. Menurut TG, ada dua jenis nikamt yang kita terima dari
Allah, iaitu:
1) Nikmat
melalui `Aynun Nazirah (Nikmat melalui mata lahir)
2) Nikmat
melalui `Aynul-Basirah (Nikmat melalui mata akal dan mata hati).
Beliau bercakap berdasarkan ayat-ayat al-Qur`an yang dibaca
dan dihuraikan.
Dari segi mata lahir Allah mengurniakan kepada kita
pendengaran, penglihatan dan panca indera yang lain yang mana melaluinya kita
dapat menikmati ciptaan Allah - fenomena di langit dan bumi. Sesungguhnya manusia
adalah dicipta sebaik-baik kejadian. Allah membezakan stiap ciptaan yang Dia
juga kalau mau dapat menyamakan. Beliau menarik perhatian tentang keagungan
Allah misalnya membezakan urat ibu jari (banan) adalah berbeza antara satu sama
lain – jika jumlah manusia 7 bilion, maka tujuh billion cop jari adalah
berlainan.
Menurut TG Dato` Dr. Harun Din, manusia dicipta dari unsur
tanah dan istilah Adam itu sendiri adalah bermakna tanah. Dari segi unsur
jasmani kita adalah sama kejadian dari tanah seperti makhluk-makhluk yang lain
seperti haiwan dan tumbuhan dan lain-lain, tetapi manusia mempunyai perbezaan
dan keistimewaan dari makhluk-makhluk yang lain kerana dikurnia Allah dengan
aspek `Aynul-Basirah` - ada pada manusia Mata Akal dan Mata Hati. Melalui
`Aynul-Basirah` dapat meningkatkan manusia. Tetapi manusia tidak meningkat
dengan unsur ini, kecuali dengan belajar meningkatkan ilmu melalui akal yang mampu
dengan akal menghayati ciptaan Allah serta mengolah dengan keilmuan yang
dimaksudkan Allah mengajar manusia dengan `al-Bayan`. Kemajuan fizikal yang
dicapai manusia adalah dari segi kemampuan mengolah ciptaan Allah dengan apa
yang diistilahkan sebagai Sains dan Teknologi. Pun begitu pencapaian manusia
dari segi keilmuan adalah kecil berbanding keilmuan Allah yang diibaratkan jika
ilmu Allah mau dicatatkan dengan dakwat seluas tujuh lautan dan pena dari
segala tumbuhan tidak tercatat, kering tujuh lautan ditambah berganda dakwat
nescaya tidak habis ilmu Allah dicatat – maksud dari (al-Kahfi: 109).
Peningkatan dari segi `Aynul-Basirah` ialah dengan
meningkatkan aspek kerohanian yang ada pada diri manusia, iaitu dengan
menggilatkan `Hati-Rohani` melalui ilmu-ilmu kerohanian dan ibadat –
termasuklah puasa yang kita akan sambut beberapa hari lagi dan Solat yang akan
dilancarkan sedikit masa lagi.
Kita perlu bersyukur di atas kurniaan Allah terhadap kita
dengan `Aynun Nazirah` dan `Aynul Basirah. Sesungguhnya jika kita bersyukur
Allah akan menambah dan menggandakan nikmatnya (Maksud Surah Ibrahim: 7),
sebaliknya jangan bersifat kufur, kerana azab Allah teramatlah pedih (Maksud
Surah Ibrahim: 7). Walau bagaimana kita hendaklah bersifat ikhlas dari segi
amalan kita dan tidak bersifat riya` dan takabbur.
Berikut dari kuliah yang disampaikan oleh Tuan Guru Dato`
Dr. Harun Din, Majlis Pelancaran Kempen Solat Berjamaah oleh Persatuan Penduduk
Bandar Baru Bangi dilancarkan dengan ucapan ringkas dari YB Ustaz Shafie Ngah.
Beliau melahirkan sukacita pengimarahan ilmu di BBB, khususnya di KPI semakin
meningkat. Tapi beliau berharap tidak berlaku pertembungan dengan kegiatan
seperti yang dilakukan di Surau An-Nur yang pada hari Ahad banyak dilakukan
oleh wanita. Beliau mau kegiatan ilmu dapat dinikmati semua. Selepas pelancaran
– Wakil-wakil dari setiap surau di BBB – 36 surau dijemput seorang demi seorang
menerima postar dari YB Ustaz Shafie Ngah untuk dipamerkan di surau
masing-masing.
Majlis seterusnya ialah Taklimat mengenai Pembangunan Masjid
al-Umm bakal diperkatakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment