German-Malaysia Institut, Bangi, 20 Sya`ban 1434 = 29 Jun
2013 (Sabtu):
Selepas tidak lagi menjadi Adun, tugas merasmikan Hari Sukan
seperti di atas, tidak lagi menjadi tugas biasa bagi Mantan Adun. Tetapi
seminggu sebelum tiba tarikh di atas, saudara Abdul Rahman Hashim Pengerusi
Tadika di atas dari Jalan 6, Seksyen 16, BBB datang menemui Mantan Adun Bangi,
bertanya kemungkinan Mantan Adun dapat
meluangkan masa bagi merasmikan Sukan Tahunan Tadika Maju Gemilang yang
bakal diadakan di Padang German-Malaysia Institut (GMI), Sungai Tangkas, Bangi.
Mantan Adun Bangi bersetuju di atas permintaan saudara Abdul Rahman. Sehari
sebelum berlangsungnya sukan, saudara Abdul Rahman datang sekali lagi ke
pejabat menghantar pamflit bagi aturcara program.
Maka pada pagi Sabtu 29 Jun Mantan Adun Bangi bersama
saudara Azizi ke GMI. Tiba jam 8.45 murid-murid yang berjumlah 98 orang itu
sudah siap berbaris di padang
dan majlis terus dijalankan dengan nyanyian Negaraku. Padang
yang digunakan adalah padang
utama dan terbesar di Kampus GMI. Dengan murid 98 orang dan guru seramai 10
orang, ruang yang digunakan adalah dibawah bayang di hadapan Astaka Sukan
sahaja.
Berikut dari Nyanyian Negaraku bacaan doa dilakukan dan
juruacara majlis menjemput saudara Abdul Rahman Pengerusi Tadika Maju Gemilang
berucap. Saudara Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya berterima kasih di atas
kesudian Mantan Adun Bangi hadir merasmikan `Hari Sukan Tadika Maju Gemilang
Tahun 2013`. Menurut saudara Abdul Rahman, Tadika Maju Gemilang telah diwujudkan
sejak lebih dari satu dekad yang lalu dan Hari Sukan yang diadakan secara tahunan
ini ialah kali ke sebelas. Kata saudara Abdul Rahman,
``Tadika Maju Gemilang adalah diasaskan oleh Puan Suliana
Abdul Rahman dengan kerjasama guru-guru. Tadika mencapai kemajuan dan setakat
ini mempunyai cawangan selain dari Tadika Induk di Jalan 6, Seksyen 16, ada dua
cawangan Tadika ini ditubuhkan, iaitu: Pinggiran Putera dan di Salak Tinggi
Baru dengan jumlah murid-murid di ketiga-tiga tempat ialah 98 orang.
Sedang Tadika meningkat maju kata saudara Abdul Rahman,
Pengerusinya iaitu Pn. Suliana meninggal dunia lebih setahun lepas. Saudara
Abdul Rahman terpaksa mengambil alih pentadbiran dengan bantuan anak lelakinya
- Shafiq dan Puan Noraini Tumin.
Saudara Abdul Rahman
bersyukur kepada Allah kerana cuaca pada pagi itu baik dan tidak lagi berjerubu
sebagaimana dialami sejak dua minggu lepas. Menurutnya, ``Sukan adalah acara
tahunan bertujuan mendedahkan ketrampilan murid-murid. Beliau berterima kasih
kepada ibu bapa yang memberi kerjasama yang erat dengan pihak Tadika dan
sanggup datang dari jauh, kerana sukan hari ini adalah gabungan dari
ketiga-tiga Tadika – Pinggiran Putra, Salak Tinggi dan Jalan 6 B.`` Tambah saudara Abdul Rahman, ``Tadika
bertujuan mendidik akal dan rohani anak-anak. Di samping itu kita tidak
mengabaikan didikan jasmani yang diadakan di luar kelas pada setiap hari
pembelajaran dan pada Hari Sukan ini sengaja kita buat di luar untuk mendedahkan
murid-murid kepada suasana yang lebih terbuka. Melalui sukan dapat mencergaskan
minda dan jasmani dan memupuk semangat perlumbaan di kalangan murid-murid secara
sihat melalui acara-acara pertandingan.``
Mantan Adun Bangi mengucapkan terima kasih di atas jemputan.
Beliau mengucap tahniah kepada pihak pentadbiran Tadika yang dapat mengadakan
sukan setiap tahun dan pada kali di tempat yang menarik, iaitu di sebuah pusat
Pengajian Tinggi – German Malaysia Institut. Tempat ini terlampau besar dengan jumlah
murid-murid yang kecil jumlahnya. Tapi tidak apa sebagaimana kata saudara Abdul
Rahman, bertujuan untuk mendedahkan murid-murid kepada suasana luar dan secara
terbuka. Kita harap dengan berlangsungnya sukan di padang GMI memberi semangat kepada anak-anak
untuk tidak saja datang bersukan, tetapi pada satu hari dapat belajar di pusat
pengajian tinggi seperti di GMI atau dipusat-pusat pengajian tinggi yang lain
baik di Bangi atau di tempat-tempat yang lain, bahkan hingga ke luar negera. Di
dalam hal ini kata Mantan Adun Bangi, ibu bapa adalah berperanan penting, bukan
setakat hantar anak-anak belajar, tetapi terus memberi motivasi kepada
anak-anak dan menanam semangat terhadap mereka suka dan cinta untuk belajar dan
mencari ilmu. Masa depan anak-anak kita lebih mencabar, dengan ilmu dapat
membimbing hidup mereka untuk keselamatan di dunia dan juga akhirat. Mantan
Adun Bangi juga mengingatkan pihak pentadbir, bahawa kemajuan Tadika banyak
bergantung pada pentadbiran dan juga kreativiti guru dalam pengajaran, sebab itu
kedua-dua aspek ini hendaklah diberi tumpuan. Latihan-latihan hendaklah diberi
perhatian mungkin dengan kerjasama tadika atau pasti yang lain. Tadika Maju
Gemilang mempunyai peluang untuk berkembang, kerana ia mempunyai 3 lokasi
berlainan. Usaha untuk menambah murid-murid di tiga lokasi berkenaan hendaklah
dilakukan. Jika sekiranya mutu pendidikan yang diberi tinggi, sudah tentu ibu
bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka belajar di Tadika Maju Gemilang.
Mantan Adun Bangi berharap pihak Pentadbir Tadika Maju Gemilang terus berusaha
memajukan Tadika dengan memenuhi kehendak sesebuah pusat pendidikan
pra-sekolah, iaitu berpandukan kurikulum yang memberi perhatian bagi
perkembangan mental, rohani dan fizikal anak-anak. Dengan harapan itu Mantan
Adun meminta semua yang hadir sama-sama membaca al-Fatihah sebagai pembukaan
Hari Sukan Tadika Maju Gemilang Tahun 2013.
Selepas iti majlis bertukar-tukar cenderahati yang
diserahkan oleh saudara Abdul Rahman selaku Pengerusi Tadika kepada Mantan Adun
dan Mantan Adun menyerahkan 2 buah buku dengan sedikit peruntukan kewangan.
Berikut dari itu acara sukan dijalankan bermula dengan
perbarisan dan senamrobik. Antara acara sukan ialah susun tin, lari bawa bola,
lompat berhalangan, bawa bola pingpong, masuk bola dalam bakul, bawa bola
pusing kon, lari pusing kon, lari dalam tunnel, junjung pundi kacang dan susun
puzzle.
Ibu bapa dilibatkan juga dalam sukan. Untuk ibu – Kerusi
muzikal. Untuk bapa tarik tali
Dan acara ibu bapa ialah, acara kasih sayang
Penyampaian hadiah dijangka jam 11.00 dan jam 12.00 tengahari
bersurai.
Sekian.
No comments:
Post a Comment