July 8, 2013

Pertemuan Melantik Al-Fadhil TG Datuk Dr Harun Din Penaung AJK Pembinaan Masjid Al-Umm

-->
BBB, 27 Sya`ban 1434 = 06 Julai 2013 (Sabtu):

Berikut dari Kuliah Di Ambang Ramadhan dan Pelancaran Kempen Solat Berjamaah di Surau-Surau di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) BBB, pihak AJK Pembinaan Masjid al-Umm mengambil peluang menyampaikan Taklimat Perkembangan Pembinaan Masjid al-Umm kepada TG Dato` Dr. Harun Din sempena memohon kesudian penerimaan TG menjadi Penaung bagi AJK Pembinaan Masjid al-Umm. Terima kasih di atas kesudiaan TG menerima perlantikan. Masa yang diambil ialah waktu minum di dalam Bilik Tamu KPI. Turut sama hadir ialah YB Ustaz Shafie Ngah (sekejap waktu minum), Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk BBB, Dr. Tajul Ariffin Noordin Pengerusi PKI yang juga AJK Pembangunan Masjid al-Umm, AJK-AJK Pembangunan Masjid al-Umm dan yang lain.


Sebenarnya cadangan perlantikan Tuan Guru selaku Penaung, telah dicadang sejak awal – Sempena pelancaran Derma Masjid al-Umm pada 11 Mei 2012, tetapi oleh kerana TG pada masa ke Amerika kerana urusan kesihatan, maka cadangan pertemuan ditangguhkan, maka pada hari ini temujanji dapat diadakan.

Pertemuan adalah secara ringkas dengan Pengerusi Pembangunan Masjid – Dr. Shafie Abu Bakar berucap ringkas, bahawa tapak bagi Masjid Al-Umm adalah tapak awal yang telah direzabkan bagi Tapak Masjid sejak awal BBB diteroka (1975), tetapi tapak ini tidak digunakan, sebaliknya tapak Masjid al-Hasanah Sekarang di Seksyen 9 dibangunkan sebagai tapak masjid bagi Masjid al-Hasanah. Tanah seluas 2 ekar Lot 51177 Jalan ¼ A, BBB ini pernah dicadangkan untuk membina surau bagi menggantikan Surau al-Umm, tetapi dicadangkan, oleh kerana tapak itu untuk masjid dan tidak ada tanah seluas itu di BBB bagi masjid, maka untuk jangka panjang lebih baik didirikan masjid. Permohonan pewartaan telah dibuat kepada Kerajaan Negeri selangor dan telah diwartakan pada bulan September 2010, juga kepada JAIS bagi mendirikan Masjid telah dibuat dan mendapat keizinan pada bulan Jun 2011.


Keizinan memungut derma dari pihak JAIS juga didapati dan pada 19 Mei 2012 Majlis Pelancaran Tabung Masjid al-Umm BBB telah dilancarkan oleh YB. Adun Bangi pada masa itu – Dr. Shafie Abu Bakar. Masjid tiga tingkat ini direka bentuk oleh Arkitek Urusbina. Masjid ini mempunyai ruang lantai seluas 4,317 meter persegi yang boleh memuat seramai 3000 orang jamaah. Kos pembinaan Masjid al-Umm dijangka sebanyak RM11.2 juta. Pelancaran Tapak bagi Masjid al-Umm telah dilakukan oleh YAB. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada 6 Januari 2013. Pihak Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menampung kos atas kadar one to one dollar. Setakat ini pungutan yang dibuat mencecah RM2 juta. Kita memerlukan sejumlah RM4juta lagi bagi melayakkan pihak masjid memohon peruntukan yang dijanjikan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor.


Seterusnya penerangan secara power point disampaikan oleh Tuan Haji Abdul Rahman Daud AJK Pembangunan. Beliau menerangkan bahawa Masjid al-Umm adalah terdiri dari tiga tingkat. Tingkat dua adalah aras bagi ruang solat utama, manakala bahagian atas ialah untuk jamaah perempuan dan bahagian bawah ialah untuk urusan serbaguna termasuk untuk Dewan Kuliah dan Pengajaran, kelas tahfiz, ruang untuk majlis aqad nikah, jamuan, pejabat-pejabat dan pengurusan jenazah. Masjid direkabentuk  -membolehkan untuk digunakan secara split air-con. Dan mempunyai lift khas untuk orang OKU dan menaikkan barang-barang.

Pada peringkat ini tawaran telah dibuat kepada kontrektor membersih kawasan, mendirikan pagar dan menegakkan papan tanda yang akan dibina dalam masa terdekat, manakala  tender bagi pembinaan sedang dalam urusan.

Berikut dari Taklimat – Upacara menyerahkan Surat Perlantikan sebagai Penaung kepada Al-Fadhil Tuan Guru Datuk Dr. Harun Din dan dokumen-dokumen disampaikan kepadanya oleh Pengerusi – Dr. Shafie Abu Bakar.

Terima Kasih kepada Tuan Guru Datuk Dr. Harun Din yang sudi menerima perlantikan sebagai Penaung bagi AJK Pembinaan Masjid al-Umm, Bandar Baru Bangi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment