BBB, 10 Ramadhan 1434 = 19 Julai 2013 (Jumaat):
Sebagaimana telah diperkatakan, bahawa pihak UKM pada akhir
1971 telah menganjurkan Peraduan Mengarang di kalangan mahasiswanya berjudul
`Universiti Kebangsaan Yang Saya Kehendaki` bertujuan antaranya bagi mendapat
maklumat dan cadangan dari mahasiswa. Penulis telah mengambil bahagian dan
berjaya mendapat tempat ketiga di dalam peraduan tersebut. Penulis ingin
menarik perhatian antara perkara yang ditimbulkan sebagai sebahagian dari
kekurangan di UKM, Jalan Pantai yang perlu di atasi, ialah soal `Perpustakaan`.
Dalam karangan tersebut penulis menyatakan:
``Setakat ini yang ternyata kurang memuaskan ialah dari segi
perpustakaan seperti kekurangan buku dan tempat yang tidak begitu memuaskan.``
Perlu dingatkan bahawa Kampus UKM di Jalan Pantai, Pantai
Baru Kuala Lumpur adalah menumpang dan sementara. Banyak kekurangan bagi sebuah
institusi bertaraf universiti. Pada permulaan UKM dibuka (18 Mei 1970)
Perpustakaan bagi Kampus Sementara di Jalan Pantai ini terletak di Paras Bawah
Tanah Bangunan asal (Maktab Perguruan) yang digunakan bagi bangunan Fakulti
Sains UKM. Kelihatan seperti stall - anjung bawah bagi bangunan Fakulti Sains,
amat kecil, rendah, tidak sesuai dan tidak menarik sebagai sebuah perpustakaan.
Jumlah buku dalam perpustakaan awal ini menurut Buku Cenderamata Sempena Majlis
Perasmian Penamaan Perpustakaan pada 19 Sya`ban 1400 = 2hb. Julai 1980 hanya
4,000 buah buku sahaja. Jika kita berada di dalam perpustakaan untuk membaca
dan meminjam buku terasa aras di atas kepala begitu rendah dan tidak lawas.
Walau bagaimana sebagai mahasiswa awal, walaupun tempat kurang selesa,
berbanding dengan Perpustakaan Universiti Malaya, kami menerima kekurangan seadanya.
(Gambar
Perpustakaan Awal)
Penulis yang suka menggubah puisi, semasa mutalaah di
Perpustakaan awal Universiti Kebangsaan di sini, mencatat sebuah puisi di
Perpustakaan tersebut (Situasi Bermutalaah):
Di Perpustakaan
Di gedung ini
Hari yang berkunjung pasti terkurung
Mentari berlabuh di dahi tersalji
Beku antara buku-buku.
Di siang yang cepat
Di malam yang lewat
Aku terhambat
Dipalu detik-detik waktu
Jatuh menggelepar antara lembar.
Sehari-harian
Mataku bergulingan
Dari laman ke laman
Jari-jariku bercakaran
Dari garisan ke garisan
Hingga mentari gugur sendiri
---- mati di kaki
Dan unggun-unggun buku membakar diri
---- aku lali.
Universiti Kebangsaan Malaysia ,
Jun 1972.
(Madu Ilmu, Jabatan Persuratan Melayu, UKM, 1999: hlm. 118).
Bagi menampung kekurangan bahan perpustakaan, mahasiswa UKM
dibenar menjadi ahli Perpustakaan Universiti Malaya dan mereka boleh membuat
rujukan dan pinjaman dari Perpustakaan Universiti Malaya. Walau bagaimana
Perpustakaan Universiti Malaya agak jauh dan sukar untuk mahasiswa berulang
alik.
Sama ada secara kebetulan atau memang dari cadangan
pertandingan– termasuk di dalam karangan Penulis, maka kekurangan dari segi
perpustakaan diambil tindakan oleh pihak universiti bagi membina segera sebuah
perpustakaan di dalam Kampus Jalan Pantai. Maka pada tahun 1973 Perpustakaan
Kampus Jalan Pantai yang agak sederhana dari segi bangunan siap dibina, iaitu
sebuah bangunan dua tingkat yang boleh menampung kekurangan ruang dan buku. Bangunan
terletak di atas kawasan tanah yang sempit sebelah kiri pagar jalan masuk ke
kampus dan rapat dengan bangunan yang sedia ada dan perparitan bersebelahan.
Pada 22 Jun 1973 Perpustakaan Jalan Pantai yang dibina oleh
pihak Universiti Kebangsaan ini telah dirasmikan oleh Y.A.B.Tun Haji Abdul
Razak bin Datuk Hussein Canselor Pertama
Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Perdana Menteri Malaysia.
(Gambar Y.A.B. Tun Razak merasmikan Perpustakaan UKM di
Kampus Jalan Pantai)
Mahasiswa bersyukur dengan adanya perpustkaan baru yang
lebih banyak ruang untuk buku dan untuk mutalaah. Walau bagaimana dengan
pertambahan bangunan perpustakaan, ditambah lagi dengan bangunan kayu untuk
bilik tenaga pensyarah, bangunan untuk komputer yang menggunakan sistem kad dan
perlu bangunan sendiri dan kemudian didirikan bangunan 7 tingkat dipinggir
bukit untuk pentadbiran menjadikan ruang kampus di Jalan Pantai begitu sempit
(Bangunan-bangunan ini perlu didirikan, walaupun disedari akan ditinggalkan
kepada Maktab Perguruan – Pemilik asal yang sebenarnya menjadi harta kerajaan
juga).
Barangkali sebagai reaksi penulis terhadap kawasan sempit
didirikan begitu banyak bangunan. Penulis menulis:
Kampus UKM Di Lembah Pantai
Seharusnya letaknya tidak begini
Bukit-bukit di sini terlalu lebar kakinya
Mengasak ruang-ruang terhimpit
Hingga kami bertenggek-tenggek di tepi bukit.
Di ruang yang sempit ini
Kotak-kotak batu berempat penjuru
----
terbaring
Putih
lesu
Lurus kaku
Seharusnya bukan di situ
Kami mau kelawasan
Untuk membuang beban.
Di lembah yang cetek ini
Seharusnya tiada di sini
Pagar-pagar besi
Parit-parit basi
Kerana denyut di kepala kami
Cukup menyesak diri.
Seharusnya di sini
Sebuah hutan kecil
Sebuah kali berlari
Sebuah kolam sepi
Buat kami semadi.
Di lembah yang sempit ini
Terlalu banyak ingin diisi
Kepala kami tiada daya menanggung lagi
Jun 1973.
(Madu Ilmu, Jabatan Persuratan Melayu, UKM, 1999: 103).
Demikian situasi Kampus UKM di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur pada
peringkat permulaan dalam keadaan serba kekurangan. Namun kekurangan berkenaan,
khususnya perpustakaan tidak menghalang mahasiswa mengikuti pengajian. Kampus
UKM, walaupun dengan kekurangan-kekurangan sempat mengeluarkan siswazah
beberapa tahun – sejak 1973 – 1977 bagi peringkat Ijazah pertama, bahkan
peringkat Ijazah Sarjana – termasuklah Penulis.
Sekian.
No comments:
Post a Comment