July 29, 2013

Haji Muhammad Saleh Bin Haji Awang (Misbaha) Tokoh Sejarah & Muzium Negeri Terengganu

-->
BBB, 17 Ramadhan 1434 = 28 Julai 2013 (Ahad):


Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang (Misbaha) adalah salah seorang penulis lulusan Madrasah Sultan Zainal Abidin, Ladang Kuala Terengganu peringkat awal (Sekolah dibuka 1925). Misbaha dilahirkan pada 13hb. Jun 1917 di Kuala Terngganu. Meminati bidang penulisan dan menulis di akhbar-akhbar, dan majalah-majalah sejak 1930an lagi. Beliau juga menghasilkan beberapa buah buku. Menjadi guru Sekolah agama di negeri Terengganu sejak 1937 dan pernah menjadi Pemeriksa Hal Ehwal Agama Islam Terengganu sehingga bersara pada 31 Mei 1971.

Dengan kegiatan Misbaha menulis mendorong beliau meminati bidang sejarah, terutama sejarah yang berhubung dengan negeri Terengganu. Beliau telah menulis buku:

1)      Mengkaji Sejarah Terngganu (1960an) dua jilid
2)      Negara Nabi-Nabi (1960an)
3)      Terengganu Dari Bentuk Sejarah (1978)

Dari kegiatan menulis sejarahnya, apabila Persatuan Sejarah Terengganu ditubuhkan beliau dilantik YDP Persatuan Sejarah Terengganu (1970an). Bidang yang diminatinya ialah mengkaji tentang Batu Bersurat Terengganu. Memimpin ekspedisi dan penyelidikan
Seperti ke Gua Batu Tok Bidan di kaki Gunung Bewah Hulu Terengganu pada tahun 1975 yang menemui kapak batu dan bahan tembikar dan pada tahun 1976 yang membawa kepada penemuan rangka manusia yang membuktikan bahawa sejak 2.000 hingga 300 S.M. Hulu Terengganu telah dihuni dan pada tahun 1980an membawa kepada penempatan lebih awal di Gunung Taat berhampiran dengan Gunung Bewah. Artifek dan rangka manusia yang dijumpai menunujukkan adanya penempatan manusia di kawasan itu sejak zaman mesolitik.

Penemuan Batu Bersurat Terengganu bertarikh 4 Rajab 702H. = 22 Februari 1303 di Kampung Buluh, Kuala Berang pada 1902 dan usaha mengkajinya dilakukan sejak 1922 dan penemuan artifek-artifek di kaki Gunung Bewah dan Taat di Hulu Terengganu mencetus kesedaran kepada keperluan diwujdkan muzium di negeri Terengganu. Oleh kerana ketiadaan muzium, maka Batu Bersurat yang diketemui di Hulu Terengganu itu, maka Dulu Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Barul Alam Shah berkenan supaya Batu Bersurat itu disimpan di Muzium Gambar Raffles di Singapura.

Pada tahun 1955 Menteri Besar Terengganu Dato` Kamaruddin bin Haji Idris menubuhkan AJK bagi menghimpun barang-barang bersejarah. AJK yang dilantik ialah:

1)      Engku Pengiran Anom
2)      Haji Muhammad Salleh Bin Haji Awang (Misbaha)
3)      Muhammad Akil bin Atan
4)      Haji Wan Endut bin Othman
Jawatankuasa ini dipertingkatkan sebagai Jawatankuasa Barang Lama dan Sejarah Negeri Terangganu melalui mesyuarat 14 Januari 1960 dengan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Dato` Andika Indera Ishak bin Mohd. Isa. AJK terdiri dari:
1)      Dato` Setia Wangsa
2)      Dato` Sangsura Pahlawan
3)      Dato` Purba
4)      Dato` Indera Pahlawan
5)      Dato` Balai Mohd. Anuar bin Lub Abdul Shukur
6)      Ahmad bin Anuar
7)      Haji Endut bin Othman
8)      Kamaruddin bin Ibrahim
9)      Mubin Sheppard
10)  Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang
11)  Mohd Akil bin Atan

Jawatankuasa ini bergiat mulai 1960 mengumpul Bahan Lama dan Bersejarah. Barang-barang yang dihimpun ini pada peringkat permulaan disimpan pada satu sudut khas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Jalan Cherung Lanjut, Kuala Terengganu. Sebuah AJK lagi kemudian dibentuk pada 3 Februari 1974 dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Dato` Wira Jaya. Akhirnya Akta Penubuhan Lembaga Muzium Negeri Terengganu dibawa kepada Dewan Negeri dan diluluskan menurut (Enakmen Bil. 9/1976 pada 28 Disember 1976. Enakmen ini berkuatkuasa pada 1 November 1977. Maka tarikh 1 Novemver 1977 ini dikira sebagai tarikh awal penubuhan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Kita melihat sepanjang perkembangan dan perlantikan AJK ke arah penubuhan Muzium Negeri Terengganu, maka nama Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha) terus wujud sebagai AJK. Ini ialah kerana peranannya di dalam Persatuan Sejarah dan kegiatan-kegiatan yang memperlihatkan keterlibatan beliau dengan bidang yang ada hubungan dengan muzium.

Dalam buku Perayaan Jubli Perak Muzium Negeri Terengganu tercatat sedemikian:

``Antara tokoh yang memainkan peranan di dalam penubuhan Muzium ini ialah Dato` Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang dan Cikgu Haji Othman bin Haji Ali. Kedua-duanya banyak menyumbang tenaga dan pandangan sebagai Ahli Lembaga dari mula Lembaga Muzium dibentuk sehingga meninggal dunia pada tahun 1992. Begitu juga dengan Cikgu Haji Othman bin Haji Ali masih memberi sumbangan sebagai Ahli Lembaga Muzeum hingga ke hari ini.

(Perayaan Jubli Perak, Muzium Negeri Terengganu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, 2003: X.

Sumbangan Misbaha tidak saja di dalam bidang sejarah dan permuziuman di negeri Terengganu, tetapi beliau juga melakukan kerja-kerja kebajikan hingga beliau diberi amanah;

1)      Yang Dipertua Persatuan Sejarah Malaysia Caw. Trg. – Pertengahan 1970an.
2)      Ahli Lembaga Muzium Negeri Terengganu (1977-1992)
3)      YDP Persatuan Kebajikan Islam (PERKASA) Darul Falah
4)      YDP PIBG Sekolah Mrnrngsh Padang Midin, Kuala Terengganu.
5)      Penasihat Persatuan Penulis Terengganu (PELITA)
6)      AJK Penasihat Urusan Kebajikan Haji
7)      Ahli Lembaga Yayasan Islam Terengganu.
8)      Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu.

(Haji Muhammad Saleh Bin Haji Awang (Misbaha), Terengganu Dari Bentuk Sejarah, Utusan Publications & Distributors, Kuala Lumpur, 1978: Kulit Luar – Belakang).
 Demikianlah peranan Misbaha di dalam bidang Sejarah dan permuziuman negeri Terengganu.

Sekian.

2 comments: