July 5, 2013

Konflik Politik Mencetus Elemen Falsafah

-->
BBB, 25 Sya`ban 1434 = 04 Julai 2013 (Khamis):

Keilmuan adalah dinamik. Ilmu boleh bertambah dengan penemuan dan pertambahan fakta, berlaku penafsiran dan timbulnya isu-isu baru yang perlu kepada jawaban, bahkan pengolahan. Asas bagi sumber keilmuan Islam ialah al-Qur`an dan al-Hadith. Hingga ke zaman Khalifah Amirul Mu`minin Sayyiduna Umar Ibn al-Khattab kelihatan tidak berlaku konflik pendapat dan fikiran yang menggugat kestabilan pemerintahan. Namun pembunuhan Amirul Mu`minin Uthman bin Affan Khalifah Ketiga di rumahnya pada 656M. bukan saja mencetuskan kegoncangan politik, tetapi juga percambahan fikiran dan falsafah keislaman. Berikutan dari kematian Uthman Sayyiduna Ali k.w. dilantik oleh penduduk Madinah menjadi Khalifah menggantikan Uthman, tetapi beliau tidak mendapat sokongan menyeluruh. Ali walaupun tidak bersetuju dengan pembunuhan, kelihatan seperti simpati dengan kebangkitan penentangan dan dikatakan tidak mengambil tindakan menghukum mereka yang menumpah darah. Lantaran itu Abdullah bin Umar di Madinah tidak mengiktirafnya dan meninggalkan Madinah. Muawiyah yang masih menguasai Syria sebagai governor yang dilantik Uthman tidak juga patuh pada Ali lantaran Ali tidak mengambil tindakan terhadap pemberontak, satu kumpulan penentangan lagi diketuai Aisyah (Isteri Rasulullah s.a.w.) bersama dua orang kaya Makkah, iaitu Talhah dan Al-Zubayr terang-terang menentang Ali.  Sayyiduna Uthman teguh dari segi kedudukan lebih mendapat sokongan dari kalangan Quraish, tetapi tidak dari puak Makhzum dari kalangan Ansar yang kurang mendapat peluang dari segi ekonomi, tetapi tidak dikaitkan dengan pembunuhan. Uthman dikatakan memberi tanah kepada pihak tertentu di Iraq yang menimbulkan rasa tidak puas hati oleh yang lain. Uthman juga dikatakan bias dan memberi peluang kepada yang rapat dengannya dan tidak bertindak terhadap pesalah seperti al-Walid bin Uqbah Governor di Kufah yang diadukan tabiat peminumnya. Rasa tidak puas hati membawa kepada pembunuhan `Uthman. Pembunuhan Uthman dan kenaikan Ali di Madinah dan kedudukan Muawiyah di Sham – Syria (Governor dilantik `Uthman dari Kabilahnya) yang tidak menerima Ali sebagai Khalifah, maka dari Konflik kepimpinan menyebabkan bangkitnya satu kelompok berkecuali dari menyokong kedua-dua pemimpin. Mereka `Keluar` dari memberi sokongan kepada Khalifah menjadikan mereka golongan dikenali sebagai `Khawarij` berslogan bahawa, ``Tiada berhukum melainkan dengan Hukum Allah.`` (Watt, W. Montgomery, The Formative Period of Islamic Thought, Edinburgh, Edinburgh University Press, 1973: 9 – 12).

Dengan penentangan yang timbul, maka Ali bertindak bagi memadamkan penentangan yang dilakukan oleh Talhah dan Zubair di Madinah yang diketuai Aishah. Mereka dikalahkan dalam peperangan Jamal dekat Basrah pada 656M. (A. Hanafi M.A. Pengantar Theology Islam, Djakarta, Djayamurni, 1967: 65).

Dengan penghapusan penentangan Ali hanya tinggal berdepan dengan Muawiyah. Tentera dari kedua-dua pihak bertentang selama Jun- Julai 657 di medan peperangan di Siffin berhampiran Raqqa di Hulu Sungai Furat. Ketika peperangan kelihatan bakal dimenangi oleh pihak Ali, seorang tentera dari kalangan Muawiyah mengangkat Qur`an di tengah peperangan yang memaksudkan penyelesaian ialah dengan kembali kepada al-Qur`an. Ini mendorong pihak Ali menerima tawaran penyelesaian berkenaan dan tentera berhenti dan menerima cadangan perdamaian (dikatakan perunding pihak Ali diketuai Abu Musa al-Ashari dan pihak Muawiyah Umar  Ibn Al-As) . Namun selepas persetujuan untuk berdamai dengan Muawiyah timbul rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian dari tentera Ali. Antara daripada mereka menjerit dengan ungkapan:

La hukma illa Allah ! -  Tiada berhukum melainkan dengan hukum Allah !

Tambah mereka adalah berdosa berhukum dengan hukum manusia !

Puak yang tidak puas hati ini diikuti oleh kumpulan pengikut-pengikut. Ribuan daripada mereka berundur ke satu tempat bernama Harurah. Ali berusaha memujuk mereka, antaranya tawaran kepimpinan di kawasan-kawasan. Di sebalik penawaran ini, kumpulan kedua dan pengikut-pengikut berjumlah antara tiga hingga empat ribu tentera,  apabila mengetahui perdamaian diluluskan berundur ke Nahrawan.

Topik utama yang mencetuskan pertentangan dan membawa kepada peperangan dan terus dibincang:

``Apakah wajar Uthman dibunuh dengan kesalahan-kesalahan yang dikaitkan dengannya !

Dalam pada itu pada bulan April 658 Muawiyah diangkat menjadi Khalifah oleh penyokong-penyokongnya.

Manakala Ali berusaha mengembalikan kekuatannya dengan usaha memujuk  kumpulan yang bertindak keluar dari tenteranya di Nahrawan dan Harura  antaranya dengan menyerang yang enggan kembali. Namun ianya bukan pengakhiran penentangan, bahkan ianya merupakan permulaan bagi penumbuhan dan perkembangan bagi kumpulan yang tidak berpuashati yang kumpulan ini bukan sekadar nama `Khawarij`, tetapi mencetuskan idea dan fikiran yang bersifat falsafah.
(Watt, W.M. The Formative Period of Islamic Thought, hlm. 13 – 14).

Kalangan Khawarij juga yang mengatur pembunuhan Ali pada malam 17 Ramadhan = Januari 661 kerana membalas dendam dan membela bagi kelompok yang dibunuh di al-Nahrawan sebelumnya. Adalah dikatakan pada malam pembunuhan yang sama juga diatur pembunuhan terhadap Mu`awiyah, tetapi rancangan gagal. Ali diganti oleh anaknya Hasan, manakala selepas kematian Muawiyah pada 680 diganti oleh anaknya Yazid. Namun kekuasaan politik dikuasai oleh turunan Muawiyah yang membangun Kerajaan Mu`awiyah Selama seabad lamanya (32-132H.) yang menciri satu budaya pemerintahan umat Islam selepas Khulafaur-Rashidin di samping mencambah aliran-aliran pemikiran di dalam Islam.

(Watt, W.M. The Formative Period of Islamic Thought, hlm. 40). Juga Abdul Latip Talib, Khalifah-Khalifah Yang Benar, Batu Caves, Selangor: PTS Litera Utama Sdn. Bhd., 2010: 758.).

Sekian.

No comments:

Post a Comment