BBB, 08 Ramadhan 1434 = 17 Julai 2013 (Rabu):
Dari segi pentadbiran yang dijalankan oleh pihak universiti
ini, saya berpendapat cara tersebut adalah cara pentadbiran yang biasa
dijalankan di mana-mana jabatan. Setakat ini yang ternyata kurang memuaskan
ialah dari segi perpustakaan seperti kekurangan buku dan tempat yang tidak
begitu memuaskan, tetapi soal ini rasanya tidak dapat disalahkan bulat-bulat
kepada pihak universiti. Kelemahan ini tidak dapat diatasi dalam jangka waktu
yang pendek dan universiti ini begitu muda umurnya. Walau macam mana kita
berharap pihak berkenaan dengan perpustakaan haruslah berusaha untuk memberi
perkhidmatan yang lebih memuaskan lagi. Perpustakaan Universiti Kebangsaan mestilah
bertaraf sebagaimana universiti-universiti yang telah maju di dunia ini.
Rasanya hasrat ini boleh dicapai apabila universiti ini mempunyai bangunannya
sendiri kelak.
Di dalam bidang akademik, langkah-langkah universiti
memberikan kursus-kursus secara intensif demi menjaga standard universiti ini
sangat-sangatlah menarik perhatian. Peperiksaan yang diadakan tiap-tiap penggal
itu tentunya untuk menilaikan kemajuan siswa dalam pelajaran mereka, tetapi
haruslah diingat peperiksaan yang kerap diadakan boleh bertukar sebagai bukan
peperiksaan oleh terlalu kebiasaan. Kerapnya peperiksaan hanya memupuk semangat
siswa mengkaji pelajaran dalam bidang tertentu yang ada hubungannya dengan
peperiksaan, bukannya memupuk mereka mencintai ilmu pengetahuan. Peperiksaan
mengikat siswa dengan tajuk-tajuk kursus yang diberi oleh pensyarah. Keinginan
membaca secara meluas selalu terhalang kerana digesa oleh peperiksaan. Bentuk
peperiksaan seperti ini bukan lagi sebagai penilaian, tetapi sebagai suatu
hukuman ! Tiap mereka yang mau diadili dan dihukum perlu bersikap sehabis-habis
baik, berpura-pura dari kebiasaan atau kebolehannya yang sebenar. Di sini
konsep universiti yang pada asalnya bersifat mendorong, tidak lagi sebagai
pendorong, tetapi sebagai hakim yang menghadapi pesalah-pesalah. Saya fikir
tanpa peperiksaan yang kerap pun pihak universiti boleh mengetahui nilai
kebolehan seseorang siswa dari perbincangan, kerja harian, esei, tutorial dan
sebagainya. Lagi pun pada kebiasaannya tiap kali peperiksaan biasanya memberi
keputusan yang lebih kurang sama. Orang yang memang pandai itulah menduduki top
list. Tiap-tiap kali peperiksaan menjadikan orang yang kurang bernasib baik
selalu di dalam kekeciwaan yang pahit …frust ! Kalau tiap kali peperiksaan
memberi keputusan yang sama, apa perlunya diadakan peperiksaan selalu ? Merujuk
kepada pendapat saya di atas bahawa seseorang tidak menguasai semua bidang
kecuali di dalam lapangan tertentu. Berasaskan pendapat ini saya tidak
bersetuju dengan cara yang dijalankan oleh universiti ini yang mewajibkan
siswa-siswanya lulus di dalam semua unit mata pelajaran yang diambilnya.
Sebagaimana pengalaman yang lalu, seseorang siswa yang baik dalam bidang
sastera umpamanya teraninya bila dihukum tidak lulus lantaran gagal dalam mata
pelajaran Hisab yang memang tidak boleh dikuasainya. Syarat-syarat kelulusan
seperti ini sepatutnya dikaji supaya tragedi seperti itu tidak berulang lagi.
Adalah baik bagi sesebuah universiti sekiranya dapat
menempatkan semua siswanya tinggal di dalam kampus, dengan demikian mreka dapat
menumpukan sepenuh masa kepada pelajaran tanpa diganggui masalah luar seperti
rumah sewa, makan minum, pakaian dan kenderaan. Walaupun tinggal di kolej
adalah baik tetapi pihak universiti haruslah menyedari bahawa bayaran tinggal
di kolej amatlah tinggi jika dibandingkan dengan perbelanjaan tinggal di luar –
walaupun agak sukar. Siswa-siswa yang tidak mendapat sebarang biasiswa atau
mendapatnya, tetapi tidak mencukupi sudah tentu memilih untuk tinggal di luar.
Kolej nampaknya lebih mementingkan segi keuntungan dari segi kebajikan kepada
siswa-siswanya. Kiranya pihak universiti mau menggalakkan siswa-siswa tinggal
di dalam - baik di Kolej Pertama atau di Kolej Kedua yang masih kosong, pihak
universiti haruslah mengutamakan kepentingan dan kebajikan siswa-siswanya.
Suatu hal yang tidak dapat dinafikan baik siswa-siswa yang tinggal di Kolej
atau di luar mereka mempunyai masalah masing-masing baik dari segi ekonomi,
akademik atau kekeluargaan (bagi mereka yang telah berkeluarga).
Masalah-masalah seumpama ini tentulah mengganggu fikiran mereka di dalam
menghadapi pelajaran. Menyentuh soal ekonomi sebagaimana tersebut di atas,
bahawa tidak semua siswa-siswa mendapat biasiswa sepenuhnya dari pihak-pihak
tertentu. Kalau mereka mendapat pinjaman umpamanya kadang-kadang tidak
mencukupi. Apa lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga yang antaranya membawa
keluarga bersama. Problem ekonomi kadang-kadang benat-benar membuntukan fikiran
mereka lebih-lebih lagi bila menghadapi keadaan-keadaan di luar dugaan seperti
sakit atau kemalangan. Selain dari problem ini siswa-siswa juga mungkin
ditambahi oleh problem akademik, terutama bagi mereka yang kurang maju di dalam
pelajaran. Mereka senantiasa terasa berada di dalam kegentingan – resah dan
bimbang pada hukuman tidak lulus ! Kadang-kadang pula secara berbetulan
terpaksa menerima kerja bertindih tindang lima
enam perkara di dalam seminggu minta diselesaikan di dalam tempoh yang pendek.
Oleh tiada kecukupan masa akibatnya mereka terpaksa berkejar ke sana ke mari bagai kucing
kejatuhan anak untuk menyiapkan kerja-kerja dalam jangka masa yang ditentukan
meskipun tanpa mutu. Saya fakir banyak lagi problem yang dihadapi oleh
siswa-siswa yang tidak kita sedari. Sebaik-baiknya pihak universiti harus
mengadakan `close contact` dengan pihak siswa-siswa untuk mengetahui dan cuba menolong
menyelesaikan sesuatu problem yang patut diberi pertolongan. Meskipun dahulu
ada terdengar pihak universiti ingin mengadakan badan-badan penasihat siswa,
tetapi ura-ura itu nampaknya hingga kini tidak dapat kita tentukan sama ada
telah berjalan atau pun tidak. Badan yang seperti ini atau apa bentuk jua
dengan tujuan yang sama patutlah diwujudkan segera. Sekurang-kurangnya boleh
menjadi tempat pengaduan siswa-siswa untuk menerima nasihat. Untuk mengatasi
masalah ekonomi mereka kalau perlu patutlah pihak universiti menubuhkan Tabung
Bantuan Segera. Tabung ini bolehlah diletak di bawah Persatuan Mahasiswa, jika
difikirkan munasabah.
Waktu akhir-akhir ini kita selalu mendengar orang
membicarakan tentang akhlak dan budi bahasa pelajar-pelajar kita di
institusi-institusi pengajian tinggi. Pada umumnya masyarakat merasa kecewa
dengan tingkah laku mereka, misalnya kerana berambut panjang dan ada pula
membuat kecoh mengatakan ada di antara mereka bersekedudukan sebagai suami
isteri tanpa nikah. Ada
suara-suara menyarankan semacam ugutan terhadap mereka. Siswa berambut panjang
umpamanya dicadangkan supaya dipotong biasiswanya, bukan rambutnya ? Kita
dapati sikap yang diambil oleh pihak tertentu ini sebagai kebudak-budakan.
Pemotongan biasiswa tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut secara
sebenar-benarnya. Tidak ada hubungan sebab musabbab antara keduanya, bahkan
tidak logik sama sekali. Bagaimanakah pendirian pihak tertentu antara siswa
berambut panjang, tetapi jaya dalam pelajarannya dengan siswa yang tidak
berambut panjang tetapi tidak jaya dalam pelajarannya. Yang manakah hendak
dipotong biasiswanya ? Dalam hal ini saya berpendapat environmentlah yang telah
menyebabkan merebaknya pengaruh yang tidak diingini ini. Kepada siapakah
salahnya hendak diletakkan tentang lumrahnya perkembangan pengaruh ini di
kalangan anak-anak muda kita ? Kalau benar-benar pengaruh ini hendak disekatkan
saya berpendapat penyebarannya di mass media hendaklah disekat langsung. Tetapi
saya sendiri ragu-ragu sama ada bolehkah dijalankan langkah yang begini ideal.
Di dalam hal ini saya rasa segala-galanya kembali kepada jiwa seseorang.
Sekiranya jiwanya disaluti budi dan akhlak agak sukar sedikit untuk dipengaruhi
oleh nilai-nilai yang agak kurang sopan. Jiwa yang berbudi tinggi boleh
diibaratkan sebagai ikan yang hidup di air masin, oleh kerana hidupnya betapa
masinnya air di kelilingnya, tetapi dagingnya tidak kemasiman. Ikan yang mati
bila digarami lantas menjadi masin. Demikian jiwa yang mati – tidak berbudi
senang dipengaruhi luar (Suatu petikan dari pendapat Kiyai Haji Anwar
Musaddad). Dalam hal ini Universiti Kebangsaan dalam melengkapi siswa-siswanya
dengan ilmu pengetahuan tidaklah harus mengabaikan niali-nilai akhlak dan budi
dari jiwa mereka supaya suasana yang
tidak diingini dapat kita cegahkan dari awal sebelum merebak masuk di
kalangan kita. Hendaknya peradaban yang kita bina jangan hanya dari
keeping-keping besi, ketul-ketul batu dan longgok-longgok kayu. Peradaban
material tidak akan memberi puncak kepuasan tanpa disertai peradaban jiwa.
Pada mula-mula Universiti Kebangsaan dibuka Mei 18, 1970
saya merasa begitu kagum ketika bersama di dalam majlis perkenalan antara
tenaga-tenaga pengajar dan mahasiswa-mahasiswa. Pihak pensyarah-pensyarah
Universiti Kebangsaan mengatakan bahawa di dalam universiti siswa-siswa
haruslah bergaul mesra dengan tenaga-tenaga pengajar, dari segi sosial
anggaplah mereka sebagai setaraf. Siswa-siswa bebas mengemukakan pendapat dan
buah fikiran. Beberapa majlis pada awalan pembukaan memanglah demikian. Kagum
saya dengan keadaan seperti ini, sebelumnya memang tidak pernah saya alami.
Udara universiti sungguh-sungguh memberi nafas dan cara hidup yang baharu
kepada saya pada masa itu. Di Sekolah kami hormati dan menjunjung tinggi
guru-guru, jauh dari membuat kawan. Setelah berlamaan rupanya suasana seperti
ini buat sementara sahaja. Kadang-kadang saya rasa kata-kata semasa itu bagai
pura-pura. Kontaks sedemikian tidak saya dapati di kebelakangan dan status
sosial rupanya makin jauh merenggang. Problem-problem siswa terus dibawanya
berlalu sendiri. Untuk berkontak dengan tenaga pengajar secara informal
nampaknya menjadi begitu ideal. Bolehkah hasrat ini dikurangkan dengan diadakan
perjumpaan, dialog-dialog di antara tenaga pengajar dengan siswa-siswa dengan
secara tidak formal ?
Saya kira selain dari perlunya siswa-siswa berhubung rapat
dengan tenaga-tenaga pengajar, pihak universiti haruslah memberi kerjasama yang
lebih erat lagi kepada Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia ,
kerana persatuan ini merupakan badan tertinggi mahasiswa-mahasiswa. Pihak
universiti haruslah mendapat fikiran dari Wakil Siswa di dalam masalah-masalah
yang berhubung dengan mereka.
Saya bersetuju dengan pendapat Naib Canselor Universiti
Kebangsaan yang mengatakan bahawa
Universiti Kebangsaan tidaklah sepatutnya menumpukan kegiatannya semata-mata di
bidang akademik, tetapi haruslah juga mengambil berat di dalam bidang sukan. Universiti
Kebangsaan haruslah mewujudkan pasukan-pasukan sukan yang bermutu tinggi
sebagai duta muhibbah yang akan menaikkan imej universiti ini di mata
masyarakat. Pada pendapat saya kegiatan luar ini bukanlah terhad kepada sukan
sahaja. Kadang-kadang kita dapati bakat-bakat terpendam seorang siswa sekiranya
dapat dicungkil dan diberi bimbingan lebih memperlihatkan keistimewaan siswa
dan dapat menaikkan imej universiti. Sebab itu pertumbuhan badan-badan seperti
drama, muzik, kesenian, kebudayan dan
kesusasteraan atau lain-lainnya patutlah digalakkan. Di samping mengasah bakat
siswa-siswa dengan kegiatan seperti ini siswa-siswa boleh melupakan sementara
akan tension mereka terhadap pelajaran. Di samping menumpukan secara mendalam
di bidang ilmiah di Universiti Kebangsaan tidaklah sepatutnya mengasingkan
dirinya dari masyarakat. Langkah yang diambil oleh Prtsatuan Mahasiswa di dalam
masa-masa tutup penggal universiti dengan dengan mengadakan khemah kerja,
gotong royong, melakukan penyelidikan terhadap petani, nelayan, boroh dan
sebagainya banyak menolong menaikkan imej universiti di mata masyarakat.
Usaha-usaha di kalangan pensyarah-pensyarah sendiri seperti memberi penerangan
kepada calon-calon peperiksaan STP,
ceramah-ceramah, forum-forum dan lain-lainnya patutlah diteruskan.
Untuk melayakkan Universiti Kebangsaan sebagai puncak
Dasar Pelajaran Kebangsaan dan puncak
Ilmu pengetahuan di Negara ini, saya bersetuju bahawa universiti ini haruslah
di tempatkan di kawasan yang berhampiran dengan Ibu Kota Kuala Lumpur.
Alasan-alasan saya rasa tidaklah perlu dibentangkan di sini kerana telah lumrah
diperkatakan orang. Hanya dengan kedudukan yang teguh dan kejayaan yang dapat
ditunjukkan di dalam bidang akademik sahajalah yang benar-benar akan dapat
menjaminkan masa depan Universiti Kebangsaan yang cemerlang. Universiti
Kebangsaan haruslah membuktikan bahawa ianya adalah sebuah universiti yang
paling bermutu di Negara ini dan setaraf dengan lain-lain universiti yang maju
di dunia ini.
Sekian.
No comments:
Post a Comment