BBB, 29 Sya`ban 1434 = 08 Julai 2013 (Isnin):
Tarikh 8 – 11 Julai (Rabu-Sabtu) 1970 adalah tarikh penting
bagi mahasiswa UKM, bahkan bagi UKM. Sejak UKM dibuka pada 18 Mei 1970, maka mahasiswa
telah mulai menghadapi kuliah dan tutorial dan segala kegiatan akademik
berjalan lancar. Sesungguhnya kejayaan penubuhan UKM berjalan lebih lancar
selepas Tun Razak memimpin pemerintahan Mageran dan seterusnya menjadi Perdana
Menteri dan Menteri Pelajaran yang menggantikan Dato` Khir Johari ialah Dato`
(kini Tun) Abdul Rahman Ya`akob. Selaku Menteri Pelajaran beliau bertindak
menyegerakan penubuhan UKM yang selama ini di bawah Khir Johari dianggap lembab
dan lambat. Khir Johari mengumumkan penubuhan UKM pada masa beliau menjadi
Menteri Pelajaran lebih dari desakan masyarakat dan pejuang-pejuang penubuhan
UKM. Tunku Abdul Rahman sendiri dilihat tidak begitu bersungguh-sungguh
melaksanakan penubuhan UKM. Pada masa beliau juga berlaku penangguhan
perlaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa Rasmi kepada 1967. Kejayaan penubuhan
UKM dilihat hasil dari tindakan Perdana Menteri Tun Razak dan Dato` Abdul
Rahman Ya`akob.
Namun setelah UKM ditubuhkan tidak sampai dua bulan,
tiba-tiba pecah berita pada hari ini (8 Julai), bahawa Dato` Abdul Rahman
Ya`akob tidak lagi menjadi Menteri Pelajaran, lantaran beliau diberi tugas
sebagai Ketua Menteri Sarawak bagi memperkukuhkan kerajaan di Sarawak. Berita ini
mengejutkan mahasiswa UKM dan mereka bagai tidak dapat menerimanya. Mahasiswa
UKM bertindak secara spontan dan mengambil keputusan untuk menunujuk perasaan
dan segera pada malam itu juga menyiapkan sepanduk-sepanduk. (PMUKM belum
ditubuhkan – ditubuh pada 13 September 1970, yang ada pada masa itu ialah AJK
Dewan Rendah Kolej UKM ditubuh pada Sabtu 30 Mei 1970 di ODT UKM – Protem
Committee dilantik sebelumnya, iaitu pada 17 Mei 1970). Maka pada pagi 9 Julai
1970 mereka bergerak berdemonstrasi berhimpun ke pintu pagar UKM Jalan Pantai.
Inilah demonstrasi pertama mahasiswa UKM. Sebelum itu semasa di ODT UKM mereka
dinasihati oleh Prof. Dr. Syed Naguib agar tidak keluar dari pagar universiti.
Nasihat juga diberi oleh Dr. Ghazali Abdul Rahman. Mereka meneruskan
demonstrasi hingga Wakil Tun Razak datang memujuk agar menghentikan
demonstrasi, turut meminta mereka bersurai ialah Naib Canselor Dr. Rushdan Baba, tetapi mereka tetap
meneruskan demonstrasi, bahkan ke luar kampus. Mereka menuntut mau menemui
sendiri Dato` Abdul Rahman Ya`akob. Mengenai rasa tidak puas hati mahasiswa
ini, penulis sebagai mahasiswa UKM merakamkan ke dalam sebuah puisi:
Bapak kami
Bapak
Institusi yang kau diri
Dari keping-keping cita bangsa
Belum erat tegaknya di persada
Dan gema ikrar yang kami sumpahi
Masih bergema di dada ini.
Kini
Berita yang kami terima
Tentang menginjaknya bapak
Melemah denyut-denyut nadi.
Bapak
Sejak berkibar panji-panji
Dari lonjakan tangan-tangan bangsa
Kami telah labuhkan kepercayaan
Pada teluk hati murnimu.
Kalau pagar-pagar duri
Hanya benteng-benteng pemisah kami
Percayalah
Dengan angkuh kan
kami rempuh
Untuk menjulangmu menjulang cita bangsaku.
Bapak
Api yang kau nyalakan
Terus berbara di dada ini
Mengobar terus perjuangan suci
Shafie Abu Bakar,
Universiti Kebangsaan Malaysia ,
8 Julai 1970.
(Dari Madu Ilmu, Jabatan Persuratan Melayu, UKM, 1999: 162).
Adalah menarik, bahawa tunjuk perasaan kali pertama
mahasiswa UKM ini adalah cetusan spontan dari jiwa dan semangat menyala-nyala
mereka yang merasa bahawa jasa Dato` Abdul Rahman Ya`akob dan ketegasannya
menyebabkan UKM dapat didirikan dengan segera, Dato` Abdul Rahman Ya`akob
berucap pada Majlis Perasmian Penubuhan UKM pada 18 Mei 1970 selaku Menteri
Pelajaran, lantaran mahasiswa UKM mengasihi dan terhutang budi terhadapnya dan
maukan beliau terus menjadi Menteri Pelajaran, tanpa menyedari bahawa kekukuhan
kedudukan pemerintahan kerajaan di Sarawak juga amat penting bagi kerajaan.
Tunjuk perasaan yang dilakukan oleh Mahasiswa UKM ini adalah
bersih, tidak ada unsur luar, bahkan tidak dipengaruhi oleh mahasiswa dan
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya yang menjadi jiran bagi UKM. Demonstarsi
yang dilakukan oleh mahasiswa UKM adalah Demonstrasi Kasih Sayang !
Kesan dari tunjuk perasaan ini amat penting bagi mahasiswa
dan UKM sendiri.
Demonstrasi mahasiswa UKM berterusan hingga ke petang,
bahkan gemanya ke malam dan mereka meneruskan tunjuk perasaan hingga esoknya
yang akan diperkatakan esok.
Sekian.
Jazaakumullah Dr.Shafie krn sudi mengingati perjuangan ayah saya, Allahyarham Tun Rahman. UKM sendiri sudah lupa beliau. Jasa beliau tidak lagi di sebut dalam sejarah penubuhan UKM.
ReplyDeleteYang paling sedih ialah umat kita tidak lagi memperjuangkan Bahasa Malaysia bukan sekadar sebagai bahasa negara tetapi Bahasa TAMADUN.
Saya terharu menitis air mata bila membaca tulisan Tuan. Hanya Allah swt sahaja yg dpt membalas jasa Tuan.
جزاكم الله أعلى مرتبة في الدنيا والآخرة