July 25, 2013

Keterlibatan Dengan Muzium-PADAT Selangor

-->
BBB, 15 Ramadhan 1434 = 24 Julai 2013 (Rabu):

Keterlibatan Penulis dengan Muzium-PADAT Selangor, ialah berikutan dengan perlantikan Penulis sebagai Adun Bangi selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Adat-Adat Melayu. Surat EXCOHA/2008/04/11 bertarikh 29hb. April 2008 bersamaan 22 Rabiul Akhir 1429H. Surat ditandatangani oleh Dato` Dr. Hasan Bin Mohamed Ali selaku Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infra-Struktur dan Kemudahan Awam. Surat ini diperkukuhkan lagi dengan surat dari Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor berjudul ``Perlantikan Sebagai Pembantu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Pembantu Exco) bertarikh 30 Mei 2008 dengan salinan kepada YB. Dato` Dr.  Hasan Bin Mohamed Ali. Penulis berterima kasih di atas Perlantikan ini. Walaubagaimana skop selaku Pembantu lebih kepada bidang Agama Islam dan Pendidikan Islam.


Keterlibatan Penulis dengan Muzium-PADAT ialah apabila Lembaga Muzium Negeri Selangor hendak ditingkatkan tarafnya kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor. Beberapa siri Mesyuarat telah diadakan dan Penulis selaku Pembantu Exco dijemput dan turut sama hadir ke mesyuarat-mesyuarat diadakan. Apabila Majlis Pelancaran PADAT hendak diadakan pada 24 April 2010 oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor, maka Penulis atas nama Adun Bangi dijemput hadir oleh YB. Exco Dato` Dr. Hasan Ali dan Penulis memang hadir pada Majlis Pelancaran yang gilang gemilang itu.


Buat permulaan keterlibatan Penulis dengan Muzium- PADAT setakat itu saja. Ahli Lembaga PADAT dilantik dengan Pengerusi ialah Dato` Dr. Hasan Ali (Exco) dan Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baru dilantik ialah – Puan Azlinda Azman. Beliau menggantikan Encik Mohd Zainal Mohd Nor YDP Majlis Daerah Sabak Bernam pada masa itu yang dilantik sebagai CEO PADAT dan diluluskan oleh pihak Exco, tetapi oleh kerana sebab tertentu tidak bertugas . Tiada nama Penulis tersenarai sebagai Ahli Lembaga PADAT.


Perubahan mengejut berlaku apabila Dato` Dr. Hasan Ali berundur dari Exco menyebabkan kekosongan berlaku. Berbagai spekulasi berlaku tentang siapa yang bakal mengisi kerusinya. Pihak negeri sebenarnya meminta sama biodata Penulis. Atas permintaan Penulis menghantar biodata antaranya menyebut yang Penulis pernah menjadi Ahli Lembaga Muzium negeri Terengganu. Sebenarnya bukanlah menjadi harapan Penulis untuk mengisi kekosongan oleh kekurangan banyak faktor. Walaubagaimana pengumuman yang dibuat pada 18 Januari 2012 dalam mana YB Dr. Ahmad Yunus Hairi menerima wathiqah dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Exco Adat Resam Melayu Belia dan Sukan, nama Penulis juga disebut oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor bahawa Penulis dilantik selaku Pengerusi PADAT. Surat Rasmi perlantikan dikeluarkan memaklumkan perlantikan sebagai Pengerusi Padat diluluskan  oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 18/2012 yang diadakan pada 16 Mei 2012 dan berkuatkuasa mulai 18 Januari 2012. Surat ditandatangani oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor. Tiada had tempoh perlantikan disebut. Jadi mulai dari 18 Januari 2012 itu Penulis selaku Adun Bangi menerima amanah selaku Pengerusi kepada Ahli Lembaga yang sedia dilantik untuk mentadbir dan memajukan PADAT.


Sebenarnya melihat kepada pola perlantikan Ahli Lembaga PADAT berbanding dengan pola perlatikan Ahli Lembaga Muzium negeri Terangganu dari segi jumlah dan pemilihan ahli tidak begitu berbeza dengan wakil-wakil jabatan yang diketuai Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Terangganu dengan sejumlah ahli akademik antara 4 – 5 orang. Cuma perlantikan walaupun ada tempohnya, misalnya di Selangor selama dua tahun sekali, tetapi keahlian di Terengganu tidak ditukar setiap sampai tempoh. Purtukaran berlaku bila ahli bertukar atau uzur. Sebagai contoh Penulis yang mula dilantik dari 1993 kekal selama sebelas tahun, itu pun bukan digugurkan, tetapi kerana pertukaran kerajaan. Penulis tidak dipanggil mesyuarat, walaupun tempoh belum tamat. Keadaan yang sama (dari segi berterusan tempoh) berlaku kepada sahabat-sahabat Ahli Lembaga dari kalangan akademik (Walau bagaimana keahlian terlampau lama dan jika tidak memberi sumbangan juga bermasalah). Keadaan sedemikian tidak berlaku kepada Lembaga Muzium/PADAT negeri Serlangor. Perubahan secara ramai-ramai setiap dua tahun, terutama dari kalangan pakar merugikan PADAT, oleh kerana dalam dua tahun tidak sempat bagi pakar memberi sumbangan, apalagi jika diberi tugas mengetuai bidang penyelidikan dan penerbitan. Mereka yang pakar seperti ini perlu dipelihara dan dijaga hati mereka, jangan sampai mereka tidak berpuashati dan tidak senang untuk memberi sumbangan. Ini tentulah merugikan PADAT.


Setelah dilantik selaku Pengerusi PADAT, Penulis melihat perbedaan yang ketara antara Muzium Negeri Selangor dengan negeri Terengganu. Bangunan Muzium Negeri Terengganu adalah merupakan Muzium terbesar di Asia Tenggara, tetapi mungkin tidak dari segi pengisian. Tumpuan Lembaga adalah di Muzium Negeri Terengganu bertempat di Losong, Kuala Terengganu, kalau ada bidang-bidang yang melibatkan luar kawasan, ianya diuruskan dari Muzium di Kuala Terengganu berbeza dengan PADAT Selangor mencakupi banyak tempat dan banyak bangunan dari Shah Alam hingga ke Kuala Langat yang mempunyai beberapa bangunan, membawalah ke Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Kelang. Begitu luas kawasan dan begitu banyak bangunan dan sudah tentulah memerlukan kecekapan pentadbiran. Keluasan ini ada baiknya, ianya menunjukkan banyaknya bahan-bahan yang dapat menarik perhatian dan mungkin juga bermasalah jika pentadbiran lemah.


Walaupun banyak kawasan permuziuman di bawah PADAT, sebagaimana negeri Selangor yang tidak mempunyai dan tidak dapat menonjolkan identiti khusus dan istimewa bagi negeri Selangor, setakat yang diteliti Penulis PADAT dan Permuziuman negeri Selangor juga masih belum dapat menonjolkan identiti khusus. Ini berbeza berbanding dengan negeri Terengganu dengan Batu Bersurat dan Imej Keislamannya yang kukuh, begitu juga dengan negeri Sembilan dengan imej adatnya dan Melaka dengan imej Sejarahnya. Ini bukan bermakna tidak ada bidang dan ruang untuk ditonjolkan, tetapi belum mampu menampilkan pendekatan. Penulis selama ini telah mengambil pendekatan menonjolkan `Bangi Bandar Ilmu`. Setakat ini imej ini berjaya dan mesyarakat bukan saja di Bangi, tapi di Malaysia mengenali `Bangi Bandar Ilmu`. Sedari awal Penulis dilantik menjadi Pengerusi PADAT, Penulis berhasrat memprojekkan Selangor sebagai Pelopor Pendidikan – termasuk Pendidikan Islam dengan menubuhkan `Muzium Islam Dan Pendidikan` di Kelang. Namun banyak halangan dan cabaran bagi melaksanakan hasrat ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment