BBB, 21 Sya`ban 1434 = 30 Jun 2013 (Ahad):
Selepas siapnya bangunan Kompleks Pendidikan Islam, BBB
sejak setengah tahun yang lepas, maka Persatuan Penduduk mempunyai ruang yang
selesa bagi mengadakan berbagai kegiatan. Demikianlah pada hari ini Persatuan
Penduduk BBB mengadakan Mesyuarat Agungnya bagi kali ke 24 di Dewan Kompleks
Pendidikan bahagian bawah bagi bangunan
3 tingkat yang memakan peruntukan lebih RM7 juta itu.
Hadir ke Majlis Perasmian ini Ybhg. Tan Sri Dato` Haji Mohd.
Nor Ismail Pengerusi Koperasi Penduduk BBB, Dr. Shafie Abu Bakar Mantan Adun
Bangi, Dr. Tajul Ariffin Noordin Mantan YDP Persatuan Penduduk BBB yang kini
sebagai Pengerusi Kompleks Pendidikan BBB, Tn. Haji Abdul Razak Mohidin, Pn.
Ayu Norlizawati, AJK Persatuan dan para jemputan yang hadir lebih kurang 150
orang.
Majlis Perasmian diadakan selepas Program Diskusi ringkas
mengenai Status Tanah Bandar Baru Bangi. Majlis Perasmian yang dipengerusikan
oleh Tuan Haji Ghazali Abbas bermula dengan bacaan doa oleh Ustaz Hashim
Nawawi. Kata-kata aluan disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Sufie Munasir selaku
YDP Persatuan Penduduk yang mengucapkan terima kasih di atas kesudian hadir YB.
Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat merasmikan Mesyuarat Agung kali
ke 24. Beliau mengucapkan terima kasih di atas kehadiran ahli yang ramai.
Menurutnya, ``Ini menandakan perjalanan persatuan diurus dengan baik oleh AJK
Persatuan.
Menurut Tuan Haji Sufie, dalam masa 36 tahun usia BBB, pembangunan berlaku dengan pesat, populasi bertambah, tetapi implikasinya pihak pentadbiran tidak mematuhi plan induk bagi BBB, akibatnya, tempat-tempat untuk zon hijau, dicerobah dan digunakan untuk komersil, tempat untuk pendidikan bertukar jadi kawasan perniagaan. Kesan dari kepadatan penduduk dan kehadiran pekerja luar yang tidak disediakan tempat tinggal, mereka berada di tengah penduduk setempat yang menimbulkan masalah sosial, contoh sebagaimana berlaku kepada penduduk Seksyen 16. Kependudukan di sini didominasi oleh pekerja luar. Mereka mengawal kawasan rehat dan taman permainan.
Satu kesan yang nyata ialah berlakunya peningkatan harga
rumah secara mendadak. Kalau dulu rumah teres dua tingkat berharga RM195,000
meningkat kepada RM300,000 dan kini berharga RM420,000. Lebih tinggi
peningkatan berbanding dengan Kajang, bahkan Shah Alam. Akibatnya generasi
kedua, tidak mampu lagi memiliki rumah di BBB dan terpaksa keluar ke pinggir
seperti di Bukit Mahkota, Pajang dan sebagainya. Tuan Haji Sufie meminta pihak
YB Dr. Che Rusli memanjangkan masalah yang dihadapi kepada pihak atas. Kalau
boleh dikawal kenaikan harga rumah dan perbanyakkan rumah mampu milik.
Tuan Haji Sufie menekankan bahawa beliau akan meneruskan
identiti BBB sebagai Bandar Melayu-Islam. Persatuan Penduduk BBB juga mendukung
konsep Hari Sabtu sebagai Hari Ilmu dan Hari Ahad sebagai Hari Keluarga. Beliau
bergembira ceramah yang diadakan di Kompleks Pendidikan Islam mendapat sambutan
sehingga jumlah yang hadir meningkat kepada 500 orang dan respond kepada
facebook meningkat kepada 20,000 pengunjung. Beliau berharap ahli yang hadir
dapat menunggu hingga ke akhir mesyuarat. Sejak tahun lepas dan tahun ini kita
memberi bayaran kepada sesiapa yang menunggu mesyuarat hingga ke akhir.
YB Dr. Che Rusli Che Mat dalam ucapan perasmiannya sukacita
Persatuan Penduduk memberi perhatian terhadap pengisian ilmu di Komplek
Pendidikan Islam di sini sesuai dengan motto `Bangi Bandar Ilmu`. Menurut YB.
Dr. Che Rusli Persatuan Penduduk BBB adalah persatuan yang kuat. Contoh kedai
Seven Eleven tunduk pada arahan Persatuan Penduduk agar tidak menjual arak di
kedai berkenaan, kalau tidak akan hadapi pemboikotan. Mereka patuh, begitu juga
di Saujana Impian, mereka terpaksa patuh pada kehendak Persatuan Penduduk,
sedangkan kerajaan Negeri hanya meminta masing-masing melaksanakan apa yang
diistilahkan sebagai `Self Regulation` ! Kekuatan Persatuan Penduduk kerana
solid bersatu, tetapi jika ada percanggahan pendapat seperti di Bandar
Teknologi, maka mengakibatkan perpecahan dan gagal mencapai matlamat.
Walau bagaimana YB. Dr. Che Rusli Che Mat melahirkan
kekesalan, matlamat asal mau membentuk masyarakat setempat yang terlibat sama
dalam kegiatan ekonomi tidak kesampaian. Kini kita lihat syarikat besar super
market datang membuka cawangan menguasai kuasa beli penduduk seperti Giant,
Econsave dan sebagainya.
Beliau juga melahirkan kekeciwaan, kawasan-kawasan
`greenbelt` diceroboh. Kawasan penampan ini hilang dan mengganggu ketenterama
penduduk seperti yang berlaku kepada penduduk di kawasan perumahan Seksyen 16
berdekatan Hitachi .
Beliau juga membicarakan soal Bandar Ilmu dan perlu mewujudkan keseimbangan antara
kemajuan fizikal dengan rohani. Beliau juga melahirkan kebimbangan Hulu Langat
akan kehilangan kawasan hijau di kawasan tadahan dan kekurangan oxygen dengan
penerokaan tempat-tempat rekreasi selepas Batu 14 seperti di kawasan Pangsun,
Gabai dan Lui yang seharusnya dipertahankan keaslian dan kehijauan. Sungai-sungai
juga hendaklah dijaga kebersihan dan keindahan.
YB. Dr. Che Rusli juga dukacita hingga kini masih belum ada
dewan yang dituntut oleh penduduk di Bangi yang dapat memuat lebih 1,000 orang
untuk pelbagai fungsi. Orang di Bangi tidak seharusnya terpaksa ke Putrajaya
untuk menggunakan Dewan. Kekurangan ini terasa bila Dewan Bandaran di Kajang
diroboh, tapi gantiannya dibuat di Saujana Impian, tetapi untuk Bangi tidak
ada. Bangi perlu kepada sebuah Dewan tersendiri yang sepatutnya didirikan di
tepi Tasik Cempaka. Adalah disebutkan, `membina Dewan tidak menguntungkan`,
tapi perlu diingatkan bahawa, penilaian jangan hanya dari segi material, tetapi
hendaklah diambil kira dari segi kepentingan kemasyarakatan. YB. Dr. Che Rusli
mau agar Bangi Bandar Ilmu ditingkatkan dan kebersihan dilaksanakan. Adalah
tidak bermakna dikatakan zon bersih, tetapi tidak bersih, begitu juga zon hijau
tak hijau, bahkan pokok yang mati tidak diganti. Untuk keselamatan penduduk BBB
seharusnya bebas dari pencopet dan pencolek. Penduduk hendaklah menekankan soal
kejiranan sebagai tuntutan Islam, agar penduduk tidak di dalam kebimbangan,
sebaliknya hidup dalam tenteram dan aman damai.
Jam 10.50 pagi YB. Dr. Che Rusli meminta hadirin sama
membuka dengan rasmi Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk BBB ke 24 dengan bersama-sama
membaca Ummul Kitab – Al-Fatihah.
Mesyuarat berlangsung jam 11.00 selepas minum dan rehat
sekejap.
Sekian.
No comments:
Post a Comment