BBB, 14 Ramadhan 1434
= 23 Julai 2013 (Selasa):
Mengapa sebuah replika batu yang patah yang tidak menarik
dari segi bentuk diletak dalam almari sebagai sebahagian dari bahan galeri ?
Menerima replika batu dari plastic adalah pengalaman Penulis
yang membentang kertas kerja dalam Seminar Islam Di Terengganu di Muzium Negeri
Terengganu pada 14-15 Julai 1991 dan sebagai cenderahati diberi kepada Penulis
Replika Batu Bersurat Terengganu bersama dengan beberapa buah buku. Mengapa
Penulis begitu menghargai terhadap pemberian replika itu ?
Dari segi realitinya, replika dari plastik yang membentuk
batu patah itu tidak berharga, tetapi makna di sebalik replika berkenaan
mengisyarat kepada keunggulan nilai, sejarah, budaya, penulisan, keilmuan dan
keislaman bukan saja di negeri Terengganu, tetapi juga di Alam Melayu. Batu
Bersurat yang ditemui di Kampung Buluh, Kuala Berang yang dibuktikan secara
kajian ilmiah oleh Profesor Dr. Syed Muhammad Naguib al-Attas bertarikh Jumaat
4hb. Rajab 702H. bersamaan 22hb. Februari 1303M. (Syed Muhammad Naguib
al-Attas, The Correct Date of The Trengganu Inscription, Muzium Negara, Kuala
Lumpur, 1970: 23) membongkar banyak maklumat berhubung dengan keislaman di Alam
Melayu. Antaranya:
1) Bukti
bermulanya tulisan jawi berdasarkan huruf al-Qur`an itu mula digunakan di
Terengganu dan juga di Alam Melayu pada, bahkan sebelum tarikh di atas
2) Penerimaan
Islam di Alam Melayu tidak lewat dari awal abad ke 14 (1303M.)
3) Aqidah
dan aturan-aturan keislaman telah diterima dan dijalankan di Terengganu pada
masa itu. Ini bermakna kemasukan Islam adalah lebih awal daripada tarikh Batu
Bersurat (Shafie Abu Bakar, Tok Pulau Manis Dan Pengasasan Pendidikan Islam,
dlm. Muhammad Abu Bakar, Ulama Terengganu: Suatu Sorotan, Jawatankuasa Koleksi
Terengganu & Utusan Publications & Distributers Sdn. Bhd., Kuala
Terengganu – Kuala Lumpur, 1991: 53).
4) Terengganu
adalah negeri tua yang mempunyai hubungan dagang dengan Pasai yang juga
menerima Islam sejak abad k 13. Terdapat catatan awal mengenai Terengganu
(Foloan = Kuala Berang) oleh pelayar-pelayar
Cina seperti Chao Ju Kua dan Chao Chu Fei yang membuktikan kewujudan negeri
tersebut dan kegiatan-kegiatan sejak awal abad ke 13 (Haji Muhammad Saleh bin
Haji Awang (Misbaha), Terengganu Dari Bentuk Sejarah, Utusan Publications &
Dirtributors, Kuala Lumpur: 1978: 4 – 9).
5) Tulisan
Jawi memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Alam Melayu.
Memang menjadi tabii manusia, apabila menemui sesuatu yang
anih, tergerak rasa ingin tahu. Demikianlah Batu Bersurat yang sekian lama
menjadi pelapik basuh kaki bagi menaiki ke surau di Kampung Buluh, Kuala Berang
bila dikenalpasti pada `Batu` itu ada tulisan oleh seorang peniaga yang datang
ke Kampung Buluh iaitu Syed Husin bin Ghulam al Bukhari dalam tahun 1902, maka
Batu itu dibawa ke Kuala Terengganu dan dipersembahkan kepada Sultan Zainal
Abidin ke III. Oleh kerana tiada pakar yang mampu membaca apa yang terakam di Batu
itu pada masa itu, maka Tuanku Sultan
memerintah Batu itu disimpan di atas Bukit Puteri, Kuala Terengganu.
Usaha membacanya untuk mengetahui kandungannya telah dilakukan pada tahun 1922
antaranya oleh H.S.Paterson Penolong Penasihat British di Terengganu, Photonya juga
pernah dihantar ke Universiti Oxford untuk dibaca. Turut mengkajinya oleh Prof.
S.Q Fatimi Profesor Pelawat dari Pakistan di Universiti Malaya .
Beliau membuat kajian terhadap kandungan Batu Bersurat Terengganu dan menjadi
sebahagian dari kandungan bukunya yang berjudul, Islam Comes To Malaysia .
Menurut S.Q. Fatimi:
``The inscription on the stone which was definitely meant to
be a pillar, records an order to promulgate certain legal provisions. The front
face which forms the preface contains a proclamation ordering rulers and
governors to expand and uphold the Islamic faith and the teachings of the
Apostle of Allah, and concludes with a date which reads ``in the month of Rajab
in the Cancer year 702 A.H. (i.e. February 1303 A.D.)``.
(Fatimi, S.Q. Islam Comes to Malaysia , Malaysian Sociological
Research Institute Ltd,. Singapore ,
1963: 60).
Di atas sebagai satu contoh betapa bermaknanya sesuatu
monumen yang bernilai sejarah bagi masyarakat, dan Negara. Dengan satu monumen
banyak maklumat diketahui yang memberi pengenalan dan identiti yang
mewarisinya. Bagi sesuatu masyarakat dan bangsa tentu banyak bahan-bahan yang
dapat dijadikan koleksi dan diangkat sebagai bahan warisan bagi kepentingan
bangsa dan Negara yang mewarisinya. Lantaran itu adalah penting koleksi
berharga dihimpun di dalam satu tempat yang dikenali dengan muzium sebagai
arkif dan warisan bangsa. Muzium sebagai telah disebut adalah kepustakaan yang
sama peranannya dengan perpustakaan. Sebagaimana adanya perpustakaan
mencerminkan budaya masyarakat membaca dan intelektual, maka demikianlah dengan
kewujudan muzium melambangkan budaya tinggi bagi masyarakat yang mewujudkannya.
Kesedaran permuziuman dan kepentingannya patut menjadi budaya masyarakat kita.
Penemuan Batu Bersurat Terengganu, ditambah dengan
bahan-bahan lain yang ditemui di negeri itu menggerakkan usaha mendirikan
Muzium Negeri Terangganu (1978) yang antaranya atas keinginan mengabadikan Batu
Bersurat Terengganu yang paling berharga itu agar tidak kekal di tempat lain sebaliknya
ianya dibawa balik dan diabadikan di negeri asalnya (Terengganu) –(Penyata
Perbelanjaan Program Sambutan Perayaan 25 Tahun Lembaga Muzium Negeri
Terengganu (30 Januari 2003). Pengembalian Batu Bersurat Terengganu ke negeri
Terengganu mengukuhkan identiti negeri itu sebagai negeri yang terawal menerima
dan menggunakan tulisan jawi, negeri yang kukuh dengan niali-nilai keislaman
dan masyarakatnya hidup dengan budaya dan nilai keislaman. Nilai ini terus
diperkukuhkan dengan institusi-institusi pendidikan keislaman di negeri itu_
Kebanggaan negeri itu dengan Batu Bersurat, bukan setakat Batu itu disimpan di
Muzium Negeri Terengganu sebagai monumen paling utama dan berharga, tetapi
replikanya diletak di bulatan jalan utama negeri itu di samping menjadi logo
bagi kegiatan-kegiatan yang releven menggunakan lambang Batu Bersurat
Terengganu berkenaan. Sebenarnya dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu yang
ditemui di Kampung Buluh, Kuala Berang, Trengganu bertarikh 702H/1303M. itu
memberi imej dan identiti yang paling kukuh yang dibanggakan oleh negeri itu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment