BBB, 30 Sya`ban 1434 = 09 Julai 2013 (Selasa):
Sebagaimana telah dibicarakan semalam, berikut dari maklumat
didapati pada 8 Julai 1970 (Rabu), bahawa Dato` Abdul Rahman Ya`akob (kini Tun)
mengundur diri dari Menteri Pelajaran Malaysia kerana menerima tugas baru
sebagai Ketua Menteri Sarawak, maka mahasiswa UKM yang menyanjungi Dato` Abdul
Rahman Ya`akob sebagai Menteri Pelajaran yang menyegera dan melicinkan
penubuhan UKM pada masanya (18 Mei 1970), maka mahasiswa UKM secara spontan
menunujuk perasaan pada 9 Julai 1970 (Khamis) membantah Dato` Abdul Rahman
Ya`akob dari mengundur diri dari Menteri Pelajaran Malaysia. Mereka mau Dato`
Abdul Rahman Ya`akob kekal sebagai Menteri Pelajaran Malaysia yang beliau mengambil alih
dari Encik Khir Johari. Mereka juga mau menemui sendiri Dato` Abdul Rahman
Ya`akob. Dari segi politik perpindahan jawatan Dato` Abdul Rahman Ya`akob dari
Menteri Pelajaran kepada Ketua Menteri Sarawak selain dari mengukuhkan
kedudukan Sarawak di bawah pimpinan Dato` Abdul Rahman Ya`akob, dari satu segi
membuka ruang kepada Dato` Hussein Onn
(Ipar Tun Razak) menjawat Menteri Pelajaran Malaysia yang dengan kementerian
senior ini menyediakan peluang kepada Dato` Hussein meningkat dan realitinya
beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas Tun Razak.
Sesungguhnya pada pagi 10 Julai 1970 (Jumaat) mahasiswa UKM
terus berdemonstrasi, bahkan pada pagi ini semua kuliah dibatalkan. Berikutan
dari Demonstrasi Kasih sayang ini ada beberapa berita dimaklumkan kepada
mahasiswa UKM
Iaitu Dato` Abdul Rahman Datang Sendiri Menemui Mahasiswa
UKM
Pada pagi ini tersebar berita bahawa Dato` Abdul Rahman
Ya`akob terbang dari Sarawak khusus bagi
menemui mahasiswa UKM yang berdemonstrasi maukan beliau kekal sebagai Menteri
Pelajaran Malaysia .
Ketibaan beliau jam 11.00 disambut dengan penuh emosi oleh mahasiswa di hadapan
foyer UKM. Mahasiswa berpeluk dengan Dato` Abdul Rahman Ya`akob sambil menangis
! (Gambar Utusan Melayu artikal semalam saudara Muhammad Ali dan sdri. Asiah
Sarji menyambut ketibaan Dato` Abdul Rahman Ya`akob penuh emosi) . Ramai yang menangis
termasuklah Penulis yang tidak tahan membendung perasaan.
Dato` Abdul Rahman Ya`akob mengungkap ungkapan berikut
sebagaimana dirakamkan oleh Utusan Melayu Sabtu 11 Julai 1970 – Muka hadapan (termasuk
gambar):
`Saya Terharu ….`
``Air mata saya telah kering sejak kelmarin kerana menangis
…..``
``Saya sangat-sangat terharu … kerana telah menerima kasih
sayang sebagai Menteri Pelajaran sejak dulu hingga sekarang``.
``Saya tidak akan melupakan kasih sayang itu sepanjang hidup
saya dan ini akan menjadi sejarah saya``. Demikian Bekas Menteri Pelajaran,
Dato` Haji Abdul Rahman Ya`kob (kelihatan mengesat air mata) memberitau mahasiswa-mahasiswa
di Universiti Kebangsaan semalam. Pemimpin-pemimpin mahasiswa kelihatan dengan
cucuran air mata masing-masing menyambut ketibaan Dato` Haji Abdul Rahman ke Universiti itu – Gambar oleh Ayub Tahir.
Sebagai melahirkan kasih sayangnya pada pagi ini Dato` Abdul
Rahman Ya`akob dermakan gajinya RM3,000 kepada Universiti Kebangsaan. Berita
dalam Utusan Melayu:
Kuala Lumpur 10 Julai – Ketua Menteri Sarawak, Dato` Rahman
Ya`akob hari ini menderma sebulan gajinya sebagai Menteri Pelajaran yang
berjumlah RM3,000.00 untuk Universiti Kebangsaan dan Tabung Pertubuhan Pelajar
di universiti itu. Derma tersebut akan dibahagikan sama rata RM1,500 untuk
Universiti Kebangsaan dan Tabung Pertubuhan Pelajar-Pelajar Universiti
Kebangsaan.
Dato` Abdul Rahman membuat pengumuman ini ketika beliau
mengadakan pertemuan dengan mahasiswa-mahasiswa dan pensyarah-pensyarah
universiti tersebut pagi ini. Ikut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Naib
Canselor, Dr. Rashdan Baba, Setiausaha Tetap Kementerian Pelajaran Dato` Sheikh
Hussain dan Ketua Penasihat Pelajaran, Haji Hamdan bin Sheikh Tahir.
Dato` Abdul Rahman kemudiannya telah menerima derma RM540
dari Encik Muhammad Salleh Hashim, Bekas Pengasas Persatuan Pelajar-Pelajar
Islam Johor untuk Universiti Kebangsaan.
Berhubung dengan Demonstrasi dan Kehadiran Dato` Abdul
Rahman Ya`akob Menemui Mahasiswa UKM ini Penulis mencatat dalam sebuah puisi
berjudul:
Demonstrasi
Bapak Pejuang
Dasar Pelajaran dan Bahasa Kebangsaan
Sejak warta menerpa
Bahawa undurmu dari berjuara
Dada kami luka dengan rasa.
Ini kami tidak sabar
Dengan kocak rasa
Mau luahkan segala
Dalam demonstrasi ini
Kami serumu seru semangatmu
Dalam lagu
Dari pagi kecondong mentari.
Kami tau
Jiwamu jiwa kami berpadu
Kami tiada puas pada restu beralas
Kami tunggumu kami tunggumu.
Berita terbangmu ke mari
Dalam sehari memberi erti
Betapa besarnya hajat kami
Betapa luhurnya bapak kami.
Pagi-pagi
Awan tinggi meninggi
Memayung rasa sebak di dada
Tibamu disambut dengan pilu
Bila berpadu
Kami mengerti perjuanganmu
Tapi kami mau jaminan
Bahawa semangatmu terus dinyalakan.
Shafie Abu Bakar,
9 Julai 1970.
(Madu Ilmu, Jabatan Persuratan Melayu, UKM, 1999: 161).
(Lanjutan selepas ini - Ucapan Dato` Abdul Rahman Ya`akob &
Tawaran Menggembirakan).
Sekian.
No comments:
Post a Comment